28 November 2013

Kenal Pasti Kalori



Seseorang perlu mendapatkan berat badan yang ideal bagi memastikan tahap kesihatan berada pada paras sewajarnya.

Kajian menunjukkan purata rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas mengambil 2,500 kilokalori (kcal) sehari. Angka tersebut melebihi daripada jumlah disarankan iaitu 2,000 kcal sehari untuk lelaki dewasa dan 1,500 kcal untuk wanita dewasa.

Mengenali Malaysia sebagai 'syurga makanan', membuatkan rakyatnya sukar untuk menolak 'godaan' sekali gus menjerumuskan masyarakat di negara sebagai antara yang menghadapi ancaman obesiti.

Secara umumnya pengambilan lebihan 500 kcal sehari boleh meningkatkan berat badan sebanyak setengah hingga sekilogram dalam seminggu atau dua hingga empat kilogram dalam sebulan. Apatah lagi jika ia tidak disusuli dengan aktiviti kecergasan.


Memburukan lagi keadaan apabila kesedaran dan pengetahuan tentang jumlah kalori yang perlu diambil dalam kalangan masyarakat masih rendah.

Jurulatih kecergasan terkenal, Kevin Zahri berkata, tubuh seseorang memerlukan kalori untuk menjana tenaga, tetapi jika ia diambil terlalu banyak dan tidak dibakar, akan ditukar menjadi lemak yang tersimpan dalam badan.

Keadaan ini akan menyebabkan pertambahan berat badan dan membahayakan kesihatan.

"Ramai orang tidak tahu jumlah keperluan kalori mereka sehari. Apa yang mereka tahu, menambah, mengurangkan atau mengekalkan berat badan tanpa mengetahui berapa jumlah sebenar keperluan kalori mereka.

"Jika kita tidak tahu berapa keperluan kalori, sukar untuk kita melakar pelan diet yang benar-benar berkesan bagi tubuh badan kita," katanya.

Menurut Kevin, keperluan kalori seseorang bergantung kepada lima faktor utama seperti jantina, berat, tinggi, umur dan gaya hidup. Lima faktor itu juga dikenali sebagai Kadar Metabolik Aktif.

"Setiap individu adalah unik dan keperluan kalori seharian adalah berbeza-beza. Jadi amat penting bagi seseorang mengenal pasti keperluan tersebut.

"Jika tidak, dikhuatiri jumlah pengambilan boleh menjadi terlalu banyak atau terlalu sedikit," katanya.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak untuk mengawal pengambilan kalori, dinasihatkan supaya menyimpan 'jurnal makanan' bagi memudahkan mereka mengira berapa banyak kalori yang diambil.

"Tulis dalam jurnal setiap apa yang kita makan. Secara tidak langsung ini dapat memupuk satu tabiat yang baik di mana kita akan sentiasa mengawal pemakanan harian kita," katanya.

Dalam pada itu, menurut Kevin, menurunkan berat badan bukan bermakna seseorang perlu berkurung 12 minggu di dalam rumah, makan makanan yang sama dan melakukan aktiviti fizikal yang rutin sehingga berasa bosan.

Untuk menjadikan proses penurunan berat badan berkesan, terdapat pelbagai cara lain yang lebih menyeronokkan, seperti yang dilakukan dalam program Jom Kurus anjuran Kevin.

Menurut Kevin menerusi program ini 10 kilogram (kg) boleh dikurangkan oleh para peserta dan setakat ini ramai yang menyertainya telah menunjukkan reaksi yang positif.

"Pelbagai aktiviti diadakan di mana para peserta akan diberikan kaunseling dan beberapa aktiviti menarik yang dapat membantu mengurangkan berat badan seterusnya menjadi individu yang lebih sihat," ujarnya,

Dalam pada itu, Kevin menasihatkan rakyat Malaysia agar mengamalkan memakan hanya segenggam nasi atau separuh pinggan setiap kali makan.

Katanya, jumlah pengambilan nasi yang ideal bagi seorang dewasa adalah pada kadar segenggam atau 20 peratus daripada mangkuk sukatan nasi yang biasa digunakan di restoran.

"Tiada jalan mudah untuk kurus. Apa yang penting, pastikan jumlah kalori yang diambil dan jumlah kalori yang dibakar.

"Jika hendak mengurangkan 1 kg, seseorang individu perlu membakar kira-kira 7700 kcal. Ini bukan mudah.

"Pengurangan berat badan adalah sesuatu yang mengambil masa, tetapi jika seseorang itu mempunyai keazaman yang tinggi dan sentiasa konsisten, ia bukan sesuatu yang mustahil,"ujarnya,

5 tip kawal nafsu makan

Catat makanan anda

Salah satu cara kawal nafsu makan adalah melalui cacatan pemakanan harian. Bukan soal kesempurnaan diet tetapi anda boleh kenal pasti kelemahan pemakanan anda. Yang penting amalkan kesederhanaan dalam memilih makanan.

Kenali diri anda

Jika anda penggemar coklat, sedarilah kelemahan itu. Jadi seperti kawasan periuk api yang bahaya, pastinya anda akan mengelak dari kawasan yang bahaya itu. Samalah dengan kedai-kedai coklat.

Perancangan

Katakan anda ke majlis perkahwinan. Adalah lebih baik untuk membawa snek sihat atau makan sebelum bertolak. Ini kerana waktu makan pada majlis sukar untuk dijangka. Perancangan awal boleh membantu anda mengelak daripada makan secara berlebihan.

Kurang kasih sayang

Berapa banyak karekter dalam filem yang mengaitkan ais krim dan coklat setiap kali menghadapi kekecewaan dalam bercinta? Jadi carilah seorang kekasih dan cintai dengan sebaiknya agar dapat menstabilkan hormon dan emosi anda.

Anda tertekan

Tekanan merupakan faktor penting yang mendorong keinginan atau nafsu anda terhadap makanan tapi daripada melepaskan tekanan terhadap ais krim atau coklat, cubalah cari hobi yang positif untuk melawan stres.

Sumber: Utusan [14/11/2013]

0 comments: