Rakyat Malaysia jadi hamba 30 tahun di Britain diselamatkan
Pada 22 November 2013, polis Britain melaporkan tiga wanita termasuk seorang warga Malaysia diselamatkan selepas mereka didakwa menjadi hamba domestik selama 30 tahun di sebuah rumah di selatan London.
Mereka diselamatkan oleh polis pada 25 Oktober 2013 dari sebuah flat di Brixton, London selepas salah seorang wanita berkenaan membuat panggilan telefon secara rahsia dengan menghubungi sebuah badan amal (pertubuhan kebajikan) di Britain. Badan kebajikan itu kemudian membuat laporan polis
Kakitangan pertubuhan itu membawa polis ke rumah berkenaan dan tiga wanita tersebut kemudian diselamatkan. Warga Malaysia yang dipercayai bernama Siti Aisyah telah dikurung bersama dua lagi wanita lain iaitu penduduk berketurunan Ireland, Josephine Herivel, 57, dan penduduk Britain, Rosie Davies, 30.
Mereka semua ditahan oleh seorang yang dipercayai pemimpin sebuah kumpulan ekstremis komunis Mao yang bergerak cergas pada 1970-an. Menurut polis, tiada bukti berlakunya penderaan seksual ke atas mangsa.
Rosie merupakan anak perempuan kepada seorang lagi anggota kumpulan Mao itu iaitu Sian Davies yang mati pada tahun 1997 selepas terjatuh dari tingkap rumah sewa mereka di London. Rosie dipercayai telah menjadi hamba sepanjang usianya.
'Suspek' Perhambaan
Polis menambah, dua suspek iaitu seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 67 tahun ditahan di rumah mereka kerana disyaki menggunakan buruh paksa. Polis menyifatkannya sebagai kes terburuk perhambaan yang pernah berlaku di London.
Balakrishnan, 73, yang berketurunan India didakwa melakukan jenayah itu bersama isterinya yang berusia 67 tahun, Chanda yang berasal dari Tanzania.
Mereka dibebaskan secara bersyarat sehingga siasatan berhubung kes yang melibatkan seorang warga Malaysia, Siti Aishah Abdul Wahab itu selesai manakala pasport pasangan tersebut turut dirampas.
Seorang wanita Malaysia mendakwa seorang daripada tiga wanita yang ditahan sebagai hamba selama 30 tahun di Britain merupakan adiknya yang hilang dalam tempoh sama selepas menyertai fahaman komunis Maoist.
Kamar Mahtum Abdul Wahab, seorang guru bersara, ketika diwawancara akhbar Britain, The Daily Telegraph hari ini berkata, adiknya yang dikenali sebagai Siti Aishah Abdul Wahab, 69, dipercayai ditahan oleh pasangan suami isteri, Aravindan Balakrishnan dan Chanda yang memimpin sebuah kumpulan ekstremis komunis pada 1970-an.
GAMBAR lama Aishah sebelum wanita itu hilang pada tahun 1968.
Pengesahan Pihak Berkuasa United Kingdom
Pihak berkuasa United Kingdom mengesahkan status wanita yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London adalah warganegara Malaysia dengan nama berdaftar Aishah Wahab dan bertarikh lahir 27 Mei 1944.
Menurut Kementerian Luar memandangkan kes itu masih di peringkat siasatan, akses bagi mendapatkan maklumat lanjut adalah terhad dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Data 1998 di bawah undang-undang tempatan United Kingdom.
Pihak berkuasa tempatan masih belum memberikan akses terus kepada mangsa setakat ini.
"Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) akan menghulurkan kerjasama sepenuhnya kepada pihak-pihak terlibat dalam membantu urusan penyiasatan," kata Kementerian Luar dalam kenyataan di sini.
Kementerian Luar melalui STM di London memantau rapi status wanita itu yang sebelum ini dijadikan hamba selama 30 tahun di selatan London.
Kenyataan itu menyebut STM juga akan mengambil langkah susulan bagi menentukan status mangsa tersebut dari segi undang-undang.
"Sekiranya beliau secara tidak disedari telah kehilangan kewarganegaraan Malaysia serta tidak mempunyai sebarang kerakyatan dalam tempoh 30 tahun yang lalu di bawah keadaan daif, STM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain bagi mengembalikan semula kerakyatan beliau.
"Bantuan konsular selanjutnya akan dihulurkan kepada mangsa dan ahli keluarga, sebagaimana sesuai dan perlu," kata Kementerian Luar.
Sejarah Kehilangan
Menurut Kamar Mahtum, Siti Aishah pernah belajar di Kolej Tunku Kursiah di Seremban, Negeri Sembilan sebelum menyambung pengajian dalam bidang juru ukur bahan di London dengan biasiswa Komanwel.
Siti Aisyah, berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School of Economics (LSE) di United Kingdom.
Siti Aishah berpindah ke Britain pada 1968 bersama tunangnya, Omar Munir dengan impian untuk memulakan kerjaya di negara tersebut bersama keluarga.
Namun, ketika berada di sana, dia dikatakan terpengaruh dengan pergerakan Maoist iaitu politik melampau sehingga mengabaikan pengajiannya.
Pasangan itu terlibat dalam Forum Pelajar Malaysia dan Singapura (Mass) yang mempunyai reputasi sebagai sebuah kumpulan ekstremis Maoist yang beroperasi di London.
"Namun, adik saya terlibat dalam politik pelampau dan meninggalkan segalanya termasuk tunangnya, Omar untuk mengikuti fahaman Maoist yang diketuai Balakrishnan.
"Dia begitu mengagumi Balakrishnan yang dikenali sebagai Komrad Bala dan Chanda atau Komrad Chanda sehingga sanggup membuang cincin pertunangannya ke Sungai Thames sebagai membuktikan kesetiaan terhadap fahaman komunis itu," katanya.
Menurut keluarga Siti Aishah, kerajaan Malaysia mengikuti perkembangan politik wanita itu di London dan pernah memberi amaran pada 1970-an tentang tindakannya itu akan menyukarkan dia untuk pulang ke tanah air.
Dia berhijrah ke Britain pada 1968 bersama tunangnya dan berhasrat mencapai cita-citanya, namun terlibat dengan kegiatan politik melampau, termasuk menganggotai pertubuhan mahasiswa kiri yang menggelar diri mereka New Malayan Youth.
Kes itu dirahsiakan sehingga penangkapan dua suspek yang disifatkan polis sebagai bukan warga Britain kerana disyaki terbabit dalam kegiatan buruh paksa dan perhambaan di rumah.
Gambar kanan telah dirakamkan pada tahun 1997 oleh seorang jurukamera stesen televisyen ITV
Siti Aishah dipercayai pernah mengunjungi abangnya yang ketika itu tinggal di London dengan ditemani Balakrishnan dan seorang wanita tempatan.
Dia juga dipercayai pernah berhubung dengan aktivis, Hishamuddin Rais yang mendakwa wanita terbabit mempelajari fahaman Marxist-Leninist dan pemikiran pemimpin China, mendiang Mao Zedong.
Pada 1991, abang Siti Aishah pernah meminta bantuan Hishamuddin yang ketika itu hidup dalam buangan untuk mencari adiknya yang hilang sejak berpindah ke Britain.
Abang ipar mangsa, Md. Noh Md Dom, 67 berkata, dia tidak pernah bertemu dengan Siti Aishah sejak berkahwin dengan Kamar Mahtum pada 1970.
''Saya hanya pernah dimaklumkan oleh isteri saya tentangnya dan sebelum ini diberitahu bahawa Siti Aishah melanjutkan pelajarandi London.
''Malah, sebelum ini adik-beradik Siti Aishah juga pernah cuba mencarinya tetapi gagal. Dua abangnya juga pernah ke London untuk mencarinya," ujar beliau.
Jelasnya, Siti Aishah yang merupakan anak ke-11 daripada 12 adik-beradik dikatakan tidak mahu pulang kerana kecewa selepas ikatan pertunangannya putus.
Pertemuan Mohd Tahir Dengan Kakaknya
Mohd. Tahir Abdul Wahab, 66, adik bongsu kepada Siti Aishah mendedahkan Siti Aishah atau lebih mesra dipanggil Kak Esah dipercayai terpengaruh dengan fahaman komunis semasa melanjutkan pelajaran di London.
"Seingat saya, pengajian Kak Esah terganggu dan pencapaian akademiknya tidak membanggakan. Selepas itu dia menghilangkan diri dan tidak pernah pulang ke tanah air.
"Tindakannya itu membuatkan abang saya terutama sekali Abu Mansor (sulung), Ibrahim dan Abdullah Bakri berulang kali ke London untuk mencarinya dan mahu membawa pulang ke Malaysia.
"Ketika itu telah bertiup cerita tentang pengaruh komunisme meresap dalam kalangan pelajar luar negara dan saya rasa dari situlah abang saya mengetahui pergerakan Kak Esah.
"Saya yakin percubaan mereka ini untuk mencari Kak Esah bukan mahu dia dibawa balik ke kampung semata-mata malah mahu menyelamatkan dia daripada terus terjebak (dengan komunis).
"Bagaimanapun, usaha abang- abang saya ini menemui jalan buntu sekalipun mereka telah ke rumah Kak Esah di London namun kakak saya itu tetap enggan keluar bertemu," katanya.
Mohd Tahir memberitahu, beliau adalah orang terakhir yang bertemu Siti Aishah pada 1981 di London.
"Saya ketika itu berusia 35 tahun dan berkhidmat sebagai Pengurus Besar Bank Bumiputera di London. Saya dan isteri amat terkejut apabila menerima panggilan telefon dari Kak Esah yang telah menghilangkan diri selama 16 tahun. Dari mana dia mendapat nombor telefon saya?
"Saya amat gembira menyambutnya kerana telah lama tidak bertemunya. Dua kali dia datang ke rumah kami iaitu selang seminggu dan Kak Esah hadir bersama dua sahabatnya yang saya yakin adalah salah seorang wanita yang turut diselamatkan baru-baru ini dan Aravindan Balakrishnan yang menjadi ketua kumpulan ekstremis komunis itu," katanya.
Menceritakan tentang pertemuan itu, Mohd. Tahir menyifatkan situasi itu tidak ubah seperti keadaan formal malah dia yakin setiap pergerakan Kak Esah dipantau Balakrishnan.
Dari kiri, Wok Salleh (ibu mertua Mohd. Tahir Abdul Wahab,) Siti Aishah Abdul Wahab, Rahimaton Mohd. Hassan (isteri Mohd. Tahir), Rozziana (anak kedua Mohd. Tahir), Tina (anak sulung Mohd. Tahir) dan seorang wanita yang dipercayai turut menjadi hamba Comrad Bala. Turut kelihatan lencana Mao Zedong yang dipakai Siti Aishah dan rakannya (dalam bulatan).
Aishah Bukan Mangsa Culik
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan identiti wanita itu sebagai Siti Aishah Abdul Wahab dan merupakan individu yang dikehendaki pada 1970-an di negara ini kerana aktiviti berhaluan kiri termasuk komunis.
Polis juga mengesahkan Siti Aishah Abdul Wahab, 69. yang didakwa dikurung dan dijadikan hamba selama 30 tahun di London bukan mangsa culik.
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis pernah memantau pergerakan Siti Aishah kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan kumpulan pelampau komunis dan dikesan bergerak dalam kalangan aktivis pelajar berhaluan kiri.
"Siti Aishah lari ke London di mana kita terus mengawasi pergerakannya. Oleh kerana United Kingdom mengamalkan kebebasan bersuara, dia bergerak di kalangan aktivis pelajar di sana," katanya.
“Saya mengesahkan wanita itu adalah Siti Aishah, namun saya tidak dapat sahkan sama ada dia masih lagi berstatus warga negara Malaysia atau tidak selepas tidak pulang ke negara ini sejak lebih 30 tahun.
“Kita tidak perlu menangkap Siti Aishah apabila dia pulang ke sini kerana kes itu telah lama berlaku dan ia tidak perlu dijadikan isu sekarang,” katanya.
Pengecaman Mangsa
Kakak Siti Aishah, Kamar Mahtum, 73, berlepas ke London bersama aktivis pelajar 1970-an, Hishamuddin Rais bagi tujuan pengecaman adiknya.dan dalam usaha membawa pulang adiknya itu. Mereka turut ditemani seorang wartawan The Telegraph yang beribu pejabat di London.
Kamar Mahtum diminta melakukan pengecaman dan dia juga membawa barangan milik Siti Aishah seperti gambar serta pakaian yang masih tersimpan.
Kamar Mahtum berjaya menemui Siti Aisyah buat kali pertama selepas 30 tahun di satu lokasi rahsia dalam suasana dikawal ketat pihak berkuasa negara itu pada 29 November, 2013.
Sumber Wisma Putra berkata, Siti Aishah dikawal ketat bagi mengelak sebarang maklumat bocor sehingga boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.
"Siasatan kes itu masih lagi berjalan dan pihak Kementerian Luar sendiri sukar mendapatkan sebarang maklumat tentang Siti Aishah. Informasi yang diberikan juga sangat sedikit dan tidak banyak membantu pihak kementerian," kata sumber itu.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, Datuk Seri Zakaria Sulong mengesahkan Kamar Mahtum telah dibenarkan bertemu Siti Aishah selama setengah jam dalam satu pertemuan yang diaturkan oleh pihak negara tersebut.
"Dalam pertemuan itu, Kamar Mahtum telah memberikan Siti Aishah satu sejadah. Malah Aishah juga diminta untuk menulis satu surat kepada keluarganya di Malaysia," katanya
Perbualan mereka berdua adalah di dalam bahasa Inggeris kerana Siti Aishah kini tidak lagi fasih berbahasa Melayu kerana terlalu lama meninggalkan tanah air iaitu sejak berusia awal 20an.
Menurut Kamar Mahtum, Siti Aishah menafikan menjadi hamba kepada mana-mana pihak sepanjang berada di London. Siti Aishah juga mendakwa dia gembira dan menerima layanan baik daripada rakan-rakannya di London. Siti Aishah tidak sedikit pun menunjukkan reaksi tertekan atau takut dengan situasi kini.
Berjanji Pulang Ke Malaysia
Siti Aishah berjanji akan pulang ke pangkuan keluarga selepas selesai menjalani tempoh penahanan selama sembilan bulan.
Kakaknya, Kamar Mahtum berkata, Siti Aishah ketika ini berada dalam tahanan polis bagi membantu siasatan kematian Sian Davies pada 1997.
Menurut Kamar Mahtum, Siti Aishah bersetuju untuk pulang selepas dipujuk. Siti Aishah mulanya enggan pulang ke tanah air kerana mendakwa banyak urusan yang perlu diselesaikan di London terutamanya kerja-kerja kemasyarakatan.
Sumber: Utusan [26/11/2013], BHarian [26/11/2013], Sinar Harian [28/11/2013], Bernama [28/11/2013], Kosmo [28/11/2013], Utusan [29/11/2013], Utusan [30/11/2013], Utusan Artikel1 & Utusan Artikel2 [01/12/2013]
P/S: Bagaimanakah nanti kesudahan kisah ini?
0 comments:
Catat Ulasan