11 Disember 2013

Demi Anak ~ Taska, Pengasuh Atau Berhenti Kerja?

Taska

Setiap wanita bekerja yang bakal melahirkan anak, sering tidak lari daripada berhadapan dilema di mana hendak ditempatkan si manja apabila kembali bertugas selepas tamat tempoh berpantang.
 
Di Malaysia, dalam soal menjaga si manja terdapat beberapa pilihan bagi kaum hawa yang bekerjaya tetapi ia bukanlah semudah yang disangka. Antaranya mereka boleh memilih untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada anak dan keluarga.
 
Namun bukan semua wanita berkeluarga mampu meninggalkan pekerjaan kerana rezeki mereka itu penting untuk menampung keperluan keluarga.


Pilihan lain, yang mungkin praktikal bagi kebanyakan wanita bekerjaya adalah meminta bantuan keluarga untuk menjaga anak semasa bekerja, mendapatkan orang gaji, atau menghantar kepada pengasuh ataupun pusat penjagaan kanak-kanak.
 
Walau apa jua pilihan yang diambil, sudah tentu ada kebaikan atau kelemahannya. Ramai ibu yang khuatir untuk meninggalkan anak di bawah jagaan mereka yang bukan ahli keluarga memandangkan terlalu banyak kemalangan atau kes penderaan ke atas kanak-kanak dilaporkan oleh media.
 
Secara realiti akan wujud keresahan di kalangan setiap ibu apabila memikirkan langkah terbaik untuk anak dan pada masa yang sama mereka boleh meneruskan usaha mencari rezeki.

BERHENTI KERJA DEMI ANAK

Ani Fadhilah Arrif, 23, memilih untuk berhenti kerja setelah melahirkan anak sulung bersama pasangannya, Syafiq Othman, 29 tahun.
 
Menurut Ani, beliau lebih selesa untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dan menetap di rumah mertua bagi menjamin keselamatan dan keselesaan anaknya.
 
"Zafri adalah anak sulung kami, dan saya tiada pengalaman menjaga bayi. Saya dan suami sepakat untuk menetap di rumah mertua supaya mereka boleh bantu saya menjaga anak semasa Syafiq pergi kerja," katanya.
 
Ani berpendapat bagi menimba pengalaman menjaga si manja, ia adalah keputusan yang tepat, tambahan pula beliau pernah mengalami alahan yang teruk ketika mengandung.
 
"Sejak lepas pantang sehingga sekarang saya ada mencari kerja, tapi terpaksa lepaskan semuanya kerana masa kerja tidak sesuai dan ikut 'shift'," katanya.
 
Tambah Ani lagi, kini beliau tidak lagi menghadapi masalah menjaga anak.
   

Pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi mereka

PUSAT ASUHAN BUKAN PILIHAN YANG MUDAH

Bagi ibu muda, Roslina Anuar, 29, beliau dan suami pada mulanya bercadang untuk menghantar anak ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak, dan ketika itu dirinya mula diselubungi perasaan takut dan bersalah walaupun anak belum dilahirkan.
 
"Sejak mendapat tahu saya mengandung, kami membuat keputusan untuk menghantar anak ke pusat asuhan atas faktor usia ibu bapa serta mereka pula tinggal jauh dari rumah kami," katanya yang bekerja dan tinggal di Ampang, Selangor.
 
Namun sebaik anak sulung dilahirkan, Roslina dan suaminya, Jumadi Boyot, 29, mengubah fikiran dan meminta ibu Roslina yang tinggal di Kuantan untuk mengasuh anak sulung mereka.
 
"Sedih tu memang sedih, tapi kami terpaksa kak, demi mencari rezeki. Perasaan rindu di kala berjauhan hanya Allah yang tahu hingga kadangkala saya menitiskan air mata kerana terlalu rindu. Hanya gambar dan video keletah anak sebagai penawar," kata Roslina dengan nada yang sebak.
 
Bagi mengurangkan beban ibunya, setelah anak sulung mereka Husna berusia tiga tahun Roslina menghantar anak keduanya, Hanis untuk dijaga ibunya dan mengambil Husna untuk dihantar ke rumah pengasuh di Ampang.
 
"Pada mulanya kami ingin menghantar Hanis dan Husna ke Taska namun Hanis diserang kudis buta," katanya.
 
Keadaan itu memaksa Roslina sekali lagi meminta ibunya mengasuh Hanis manakala anak sulungnya Husna dibawa pulang tinggal ke Kuala Lumpur.

SUKAR MEMBUAT KEPUTUSAN

Lain pula cerita Mashitah Mamat, 30, yang kini mengandung tujuh bulan anak sulung.
 
Menurut Mashitah, beliau belum mengambil sebarang keputusan namun telah mula membuat persiapan mental untuk apa jua yang bakal berlaku.
 
"Saya tak pasti kerana pengasuh yang paling dekat dengan rumah saya sudah menjaga dua bayi lain, saya rasa terlalu ramai untuk seorang pengasuh menjaga lebih daripada dua bayi pada satu-satu masa," katanya.
 
Mashitah, yang agak risau dengan keputusan yang bakal diambil itu, turut berkata, beliau bersedia untuk berhenti kerja jika tidak sanggup berjauhan dengan anaknya nanti.
 
"Saya ada bercadang untuk meminta emak saya di kampung menjaga anak. Rumah emak jaraknya satu jam perjalanan dari rumah saya. Jika saya terlalu sedih dan tidak dapat tumpu dengan kerja kerana risaukan anak, saya mungkin akan berhenti kerja sementara anak saya cukup besar untuk dihantar ke tadika," kata Mashitah sambil mengusap perutnya yang kian membesar dengan peralihan hari.

PASTIKAN PENGASUH DAN TASKA BERDAFTAR

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Noraini Mohd Hashim ketika dihubungi memberitahu Bernama ibu bapa adalah diingatkan agar sentiasa memantau pengasuh dan taska yang mereka pilih.
 
"Pertama sekali, ibu bapa bekerja yang ada anak tetapi tiada pengasuh, hantarlah ke taska yang berdaftar di bawah JKM dan senarai taska yang berdaftar boleh didapati di laman web JKM," katanya.
 
Taska menawarkan alternatif dalam penjagaan anak. Apabila taska itu berdaftar bermakna JKM telah semak seluruh aspek termasuk kemahiran pengasuh, keselamatan premis, kebersihan premis dan kebersihan dapur serta tandas.
 
"Kami juga menyarankan ibu bapa supaya kerap memeriksa keadaan fizikal serta emosi, tingkah laku anak yang dihantar kepada pengasuh dan taska," katanya.
 
Menurut Noraini lagi, ibu bapa seharusnya peka tentang apa jua perubahan kepada anak masing-masing dan tidak bersikap lepas tangan setelah anak dihantar kepada pengasuh atau pusat asuhan.

JANGAN ABAI TANGGUNGJAWAB

Apa jua pilihan yang dibuat oleh ibu bapa, pilihan itu sepatutnya mengutamakan kebajikan anak.
 
Ibu bapa yang bertanggungjawab harus peka dan tahu akan setiap perubahan anak mereka dan tidak bergantung kepada pengasuh atau pusat asuhan semata-mata.
 
Ibu bapa janganlah ambil mudah kebajikan, keselamatan dan segala keperluan anak termasuk penjagaan didikan mereka pada peringkat awal.
 
Banyak kajian membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi dan menanam nilai-nilai murni dalam diri mereka.

Oleh Siti Nursuraya Ali
Sumber: BernamaSinar Harian [26 November 2013]

0 comments: