BALANG kaca berbentuk bulat itu diletakkan kemas di atas meja. Kemudian, ia diisikan pula dengan ketulan batu-batu bersaiz sederhana besar berwarna kelabu. Satu persatu batu tersebut dimasukkan dengan cermat bagi mengelakkan balang kaca menjadi retak.
Ia diikuti dengan meletakkan batu bersaiz sedikit kecil, sebelum beberapa gumpalan lumut kering dialaskan di atasnya.
Kurang daripada 15 minit, selepas meletakkan beberapa lapisan bahan komposit, balang kaca yang tadinya hanyalah sebuah bekas kosong, sudah bertukar kepada sebuah taman mini dengan tumbuhan hidup yang indah.
“Inilah yang dinamakan terarium,” ujar Loo Chuang Kiak, seorang pengusaha produk seni hiasan tumbuhan dalam balang kaca.
Menurut Chuang Kiak, terarium berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu tera dan rium. Tera bermaksud tumbuhan manakala rium didefinisikan sebagai bekas kaca. Jika digabungkan, ia membawa erti tumbuhan di dalam bekas kaca.
“Perkataan terarium ini sendiri jarang didengari oleh penduduk negara ini. Kebiasaannya, orang lebih tahu dengan istilah table plant. Cuma istilah terarium ini lebih meluas digunakan di negara Eropah,” ujar Chuang Kiak yang banyak melakukan kajian mengenai tumbuhan hiasan tersebut.
BALANG kaca kuih seperti ini boleh dijadikan taman mini di dalamnya.
Penjagaan
Uniknya mengenai seni hiasan ini ialah ia menggunakan jenis tanaman tertentu yang memiliki ciri-ciri tahan lasak untuk dibela di dalam ruang sempit. Tumbuhan hiasan ini dianggap lasak kerana mampu bertahan di dalam balang kaca dengan penyerapan air dan cahaya matahari yang minimum.
“Tidak semua jenis tumbuhan hidup boleh digunakan bagi menghasilkan terarium ini. Spesies tumbuhan seperti kaktus, lumut, sukulen, dan tillandsia antara yang banyak digunakan dalam seni hiasan dalam balang kaca ini.
“Ini disebabkan kesemua tumbuhan itu mempunyai ciri-ciri semula jadi yang boleh hidup tanpa penjagaan yang rapi,” ujarnya yang merupakan graduan Teknologi Maklumat Perniagaan dari Kolej Antarabangsa INTI.
Justeru, terarium amat bersesuaian untuk penggemar yang suka akan konsep malar hijau dengan penjagaan yang minimum.
Biarpun begitu, Chuang Kiak memberitahu, sungguhpun tumbuhan tersebut tahan lasak, tidak bermaksud ia boleh dibiarkan begitu sahaja. Terdapat teknik-teknik tertentu bagi memastikan kesemua tumbuhan dalam kaca itu mempunyai jangka hayat yang lama.
“Tumbuhan ini perlu disembur dengan sedikit air seminggu sekali. Kuantiti air yang diberikan bukanlah seperti tumbuhan hidup biasa. Ini kerana jika terlalu banyak air, ia juga akan mati,” katanya sambil menambah, tumbuhan itu tidak perlu dibaja bagi mengelakkan saiznya membesar dengan cepat.
Chuang Kiak memberitahu, tahap kelembapan tanah di dalam balang kaca itu boleh diukur dengan menggunakan lidi kayu yang dibiarkan tercucuk di dalamnya. Sekiranya bahagian bawah lidi itu terasa kering, ia menunjukkan tumbuhan itu perlu disembur dengan air.
Namun, jika terasa basah lagi, katanya, ia bermaksud tumbuhan itu masih mempunyai tahap kelembapan yang mencukupi. Ekoran daripada itulah, beberapa lapisan batu dan komposit tanah diperlukan untuk memastikan air tidak terlalu banyak di permukaan atas tanah.
Katanya, setiap lapisan batu dan tanah komposit itu berperanan untuk menyerap lebihan air yang terdapat ketika semburan dilakukan.
Bagi terarium yang dihasilkan pemilik syarikat Frozen Trees ini, ia menggunakan susunan bahan dasar bermula daripada batu besar, batu kecil, arang kayu, lumut kering dan tanah organik di bahagian permukaan.
“Selain berperanan sebagai seni dekorasi, ia berfungsi sama seperti penapis air. Air berlebihan yang tidak diperlukan akan diserap mengalir ke bahagian batu besar di bawah,” ujar pemuda berusia 33 tahun ini.
BEKAS yang ditutup perlu dibuka seminggu sekali bagi proses pengudaraan.
Komposit tanah
Menyentuh mengenai bahan komposit yang digunakan, katanya, beliau menggunakan bahan campuran dengan formula tertentu untuk menyesuaikan dengan keadaan cuaca di Malaysia.
“Saya dapati kebanyakan pokok seperti sukulen yang diambil dari kawasan sejuk seperti Cameron Highlands, tidak tahan lama dan akan mati dalam masa seminggu. Jadi, bahan komposit tanah yang digunakan mesti bersesuaian dengan persekitaran semasa. Jika tidak, tumbuhan itu tidak akan tahan lama,” katanya.
Bagi setiap produk tanah komposit yang dihasilkan, Chuang Kiak menggunakan tanah bakar, batu kecil dan serbuk arang.
Dalam pada itu, katanya, terarium di negara ini agak berbeza dengan terarium di luar negara khususnya di Eropah. Terarium kebiasaannya dibuat dengan ditutup sepenuhnya. Namun atas faktor cuaca Malaysia yang panas, kebanyakan terarium mempunyai ruang terbuka untuk kemasukan udara dan lembapan.
TUMBUHAN seperti kaktus, sukulen, lumut dan tillandsia antara yang banyak digunakan dalam seni hiasan taman dalam kaca.
Tanpa ruang terbuka, tumbuhan tersebut akan cepat mati. Biarpun begitu, terdapat tumbuhan yang unik mampu hidup dalam balang kaca seperti lumut.
“Lumut antara tumbuhan hiasan yang boleh hidup lama biarpun dibela di dalam bekas tertutup,” ujar Esther Pang, 31, yang mengimport lumut berkualiti dari Switzerland.
Katanya, harga lumut Switzerland bersaiz 50 sentimeter (sm) persegi ialah RM30. Kebanyakan baka tumbuhan hiasan yang dibeli di luar negara akan dibiakkan sendiri.
“Lumut di Malaysia berbeza sedikit dengan di luar negara biarpun boleh diambil dari longkang-longkang. Namun, memandangkan ia digunakan untuk hiasan, faktor kebersihan diambil kira. Oleh sebab itulah, saya akan mengimport lumut.
“Lagipun, di sini lumutnya agak nipis berbanding lumut yang dibela untuk dikomersialkan yang agak tebal,” ujarnya.
Esther Pang memberitahu, harga terarium ditentukan berdasarkan jenis tumbuhan, saiz dan kerumitan menghasilkannya. Harga sebuah terarium boleh mencecah sehingga RM600 seunit. Tumbuhan jenis airplant atau juga dikenali sebagai tillandsia adalah antara yang mendapat permintaan tinggi.
“Airplant ini tidak memerlukan tanah untuk hidup. Jika dibiarkan di mana-mana tempat pun ia mampu tumbuh dengan baik. Cuma sembur air seminggu sekali pada daunnya,” katanya.
Harga tumbuhan itu mahal sedikit iaitu RM20 bagi 5sm panjang yang diimport dari China.
Dalam pada itu, katanya, penggunaan miniature atau hiasan model mini juga antara elemen penting dalam menghasilkan konsep taman.
Bukan sekadar hiasan, terarium juga dipercayai mampu memberi persekitaran yang sihat pada satu-satu kawasan.
“Tumbuhan ini dipercayai dapat menyerap pencemaran sekali gus bertindak sebagai tumbuhan antipencemaran dan antiradiasi,” ujarnya.
Perkara itu turut dipersetujui oleh Pengarah Urusan Terra Garden, Desmond Ho, yang menganggap penggunaan terarium mampu menyuntik elemen ketenangan.
“Tumbuhan hidup mempunyai auranya yang tersendiri jika diletakkan di dalam rumah. Malah, apa sahaja tumbuhan yang diletakkan di dalam balang kaca, kita dapat melihatnya sekali gus menenangkan fikiran,” ujarnya.
Oleh ZULHILMI JALIL
Sumber: Kosmo
0 comments:
Catat Ulasan