17 Mac 2014

Kotak Hitam Pesawat

Apakah warna Kotak Hitam Pesawat?
Mengapa ianya digelar Kotak Hitam?



Kotak hitam (black box) adalah suatu nama gantian yang digunakan bagi merujuk kepada beberapa alat rakaman dalam bidang pengangkutan - umumnya merujuk kepada perakam penerbangan atau perakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR)) dalam kapal terbang, perakam peristiwa kereta api dalam kereta api dan perakam data peristiwa dalam kereta.

Fungsi kotak hitam adalah untuk merakam komunikasi antara juruterbang dengan pusat kawalan lalu lintas udara (ATC) serta untuk mengetahui tekanan udara dan keadaan cuaca selama penerbangan.

Walaupun dinamakan kotak hitam tetapi sesungguhnya perakam penerbangan tersebut tidak berwarna hitam melainkan berwarna jingga/oren. Hal ini kerana untuk memudahkan pencarian jika pesawat itu mengalami kemalangan.




Perakam penerbangan (Flight recorder) adalah alat rakaman elektronik yang diletakkan di dalam pesawat bagi memudahkan penyiasatan kemalangan pesawat. Perakam penerbangan dibina agar kekal berkeadaan baik walaupun dalam kemalangan pesawat yang teruk.

Perakam penerbangan dibina dalam keadaan mampu untuk menahan kesan (impak) 3400 G (Graviti Bumi) dan suhu lebih 1,000 ° C.

Terdapat dua jenis Perakam penerbangan iaitu perakam penerbangan data (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR). Dalam beberapa kes, kedua-dua perakam boleh digabungkan dalam satu unit FDR / CVR tunggal.

Perakam data penerbangan (FDR)  adalah alat elektronik yang digunakan untuk merekodkan apa-apa arahan yang dihantar ke mana-mana sistem elektronik kapal terbang itu. Ia adalah alat yang digunakan untuk merekodkan parameter tertentu prestasi pesawat.

Satu lagi jenis perakam penerbangan adalah perakam suara kokpit atau cockpit voice recorder (CVR), yang merekodkan perbualan dalam kokpit, komunikasi radio antara krew kokpit dan lain-lain (termasuk perbualan dengan kakitangan kawalan trafik udara). Dalam kedua-dua fungsi FDR dan CVR kini telah digabungkan ke dalam satu unit tunggal yang digelar Sistem Perakam Data Penerbangan.

FDR atau "kotak hitam" merekodkan data yang akan digunakan untuk siasatan kemalangan, dan juga untuk menganalisis isu-isu keselamatan udara, kemerosotan prestasi bahan dan prestasi enjin. Selaras dengan kepentingannya dalam menyiasat kemalangan, kotak hitam dikawal selia dengan teliti kejuruteraan dan dibina untuk menahan daya kesan kelajuan tinggi dan haba yang tinggi.

Bahagian luar "kotak hitam" dicat dengan warna oren yang tahan haba tinggi agar mudah dilihat dalam bangkai pesawat dan unit ini biasanya dipasang bahagian ekor pesawat kerana bahagian ini adalah yang paling kurang terjejas dalam kemalangan yang teruk.

Asal istilah "Black Box" mungkin dari reka bentuk awal perakam data penerbangan (FDR) yang berasaskan filem. Bahagian dalam yang berwarna hitam diperlukan di dalam perakam agar kekal gelap untuk mengelakkan kebocoran cahaya dari merosakkan rekod.

Sejak tahun 1970-an, kebanyakan pesawat pengangkutan awam telah dilengkapi dengan "perakam akses cepat" atau "quick access recorder" (QAR). Data rekod ini disimpan dalam medium storan boleh alih (removable). Akses kepada FDR dan CVR semestinya sukar kerana keperluan bahawa peralatan ini kekal tidak rosak semasa kemalangan.

FDR juga memerlukan peralatan khusus untuk membaca rakaman. Medium rakaman QAR adalah mudah dipindahkan (removable) dan direka agar boleh dibaca oleh peralatan yang disambung ke komputer standard.

Banyak sistem pesawat moden adalah dikawal secara digital. Selalunya, sistem digital akan merekodkan maklumat mengenai operasi sistem di mana maklumat ini juga boleh diakses untuk membantu penyiasatan sesuatu kemalangan atau kejadian.

Sumber: wikipedia - flight recorder / wikipedia - kotak hitam / wikipedia - FDR

Kotak hitam yang berwarna jingga



SETIAP kali terdapat kemalangan pesawat, pastinya kotak hitam menjadi keutamaan untuk dicari. Apa sebenarnya kotak hitam? Mengapa kotak hitam dicari? Dan mengapa ia dipanggil kotak hitam?

Kotak hitam atau black box ialah satu kumpulan peranti yang digunakan dalam bidang pengangkutan. Biasanya ia merujuk kepada perakam data penerbangan atau flight data recorder (FDR) dan perakam suara kokpit atau cockpit voice recorder (CVR) dalam pesawat terbang.

Fungsi dari kotak hitam sendiri adalah untuk merakam perbualan antara juruterbang dengan pengawal lalu lintas udara atau air traffic controller (ATC) serta untuk mengetahui tekanan udara dan keadaan cuaca semasa penerbangan.

Setiap penerbangan komersial diwajibkan membawa dua kotak hitam iaitu FDR yang mengandungi data tentang kelajuan, ketinggian dan arah pesawat, manakala CVR akan menyimpan perbualan kokpit, sebarang bunyi dan pengumuman.

Walaupun disebut sebagai kotak hitam, sebenarnya ia berwarna jingga atau oren dengan jalur putih yang mudah dilihat dan setiap satunya dianggar seberat tujuh hingga 10 kilogram.

Kotak hitam diperkenalkan untuk penerbangan pada 1960-an. Perakam penerbangan dibaluti kemas dengan besi tahan lasak yang mampu menahan daripada kerosakan walaupun direndam di lautan yang dalam.

Bertahan

Ia boleh bertahan pada kedalaman 6,000 meter di dalam laut serta boleh terdedah kepada suhu yang tinggi - satu jam dalam 1,100 darjah Celcius. Ia dilengkapi dengan petunjuk yang boleh mengeluarkan isyarat selama satu bulan.

Keupayaan kotak hitam mengeluarkan isyarat adalah bergantung kepada kekuatan bateri. Kekuatan bateri pula bergantung kepada pengeluar kotak hitam, tidak semestinya 30 hari. Kotak hitam masih boleh dicari walaupun tiada isyarat dipancarkan selepas kehabisan bateri.

Kotak hitam berwarna jingga bagi memudahkan pencarian jika pesawat mengalami kemalangan. Biasanya terdapat dua unit kotak hitam , satu diletakkan pada bahagian depan dan satu lagi di ekor pesawat (bahagian yang biasanya mudah ditemui selepas kemalangan).

Terdapat pelbagai cerita menarik dalam penemuan kotak hitam atau alat perakam dalam dunia penerbangan. Lebih-lebih lagi ketika berlaku kemalangan pesawat, biasanya pesawat akan hancur sehingga sukar dicari.

Ini telah mendorong seorang pakar letupan Dr. David Warren, menghasilkan peranti yang dapat merakam semua maklumat sebelum terjadi kecelakaan. Ideanya diambil daripada sebuah alat pita perakam yang berukuran saku. Beliau kemudian mereka bentuk satu peranti untuk merakam semua komunikasi dalam penerbangan.



Merakam

Peranti berkenaan berupaya merakam suara juruterbang dan semua data yang diterima daripada lapan alat berbeza. Semua data boleh dipisah dan menghasilkan data tepat mengenai punca kecelakaan.

Alat rakaman ini kemudian dimasukkan dalam kotak yang kuat bagi menghalangnya daripada hancur atau berkecai ketika kecelakaan pesawat. Kotak ini kemudian dilapisi bahan tahan api sehingga kabel-kabelnya tidak rosak kerana panas.

Masalah lain ialah kebimbangan perbualan juruterbang selama penerbangan tersebar kepada masyarakat umum dan disalahgunakan. Bagi mengatasinya, dicipta komputer khusus yang disambungkan kepada perakam dan dengan bantuan grafik bagi menghasilkan gambar daripada setiap kejadian.

Istilah kotak hitam muncul selepas penemuan perakam penerbangan komersial pertama yang dinamakan Red Egg kerana warna dan bentuknya. Tapi seseorang memberikan komen: “Ini adalah kotak hitam yang menakjubkan".

Kotak hitam ialah istilah yang lebih humor dan hampir tidak pernah digunakan dalam industri keselamatan penerbangan.

Ketika insiden 11 September 2011 yang dikenal dengan 9-11, muncul saranan daripada pihak keselamatan penerbangan agar kokpit pesawat dilengkapi Video Data Recorder (VDR) yang merakam aktiviti dan situasi juruterbang semasa penerbangan termasuk minit-minit terakhir dalam kecelakaan untuk melihat situasi sebenar.

Pada Januari 2004, kotak hitam milik syarikat penerbangan dari Mesir yang terhempas di luar pantai Sharm el-Sheikh ditemui selepas usaha mencari dilakukan selama seminggu di kedalaman 1,022 meter di bawah laut.

Dalam tragedi Air France melibatkan penerbangan AF447 pula, kotak hitam ditemui selepas 23 bulan tenggelam pada kedalaman 3,900 meter di Lautan Atlantik yang telah membongkar rahsia pesawat itu terhempas pada 1 Jun 2009.

Sumber: UtusanSinar Harian



Saksi terakhir nahas pesawat

Kotak hitam bukan sahaja mampu merungkaikan persoalan kepada teori-teori tentang kehilangan atau nahas sesebuah pesawat, namun ia merupakan saksi akhir yang penting dalam menemukan jawapan tentang apa sebenarnya berlaku ke atas pesawat.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Kamarul Arifin Ahmad memberitahu, kotak hitam adalah satu istilah yang dialih bahasa daripada bahasa Inggeris iaitu black box dan ia juga istilah untuk dua peralatan penting yang wajib ada dalam pesawat.

Peralatan pertama dalam kotak hitam adalah perakam suara kokpit (CVR) manakala satu lagi ialah perakam data pesawat (FDR).

Merakam

Peralatan CVR yang ada dalam sistem pesawat mempunyai mikrofon dan ia dipasang di bahagian tengah panel kawalan dalam kokpit. Selain itu, ia turut dipasang pada mikrofon komunikasi juruterbang dan pembantu juruterbang.

"Jadi, CVR akan memainkan peranan merakam segala perbualan dalam kokpit dan juga segala bunyi daripada sekecil-kecil bunyi termasuk ketika memadam suis sehingga kepada bunyi penggera amaran apabila pesawat hilang kawalan.



"Bagaimanapun, lazimnya CVR merakamkan bunyi bagi tempoh dua jam terakhir tamatnya sesuatu penerbangan tersebut. Ini bermaksud, dalam tempoh itu sama ada pesawat itu selamat mendarat atau terhempas," katanya.

Mengambil contoh kejadian MH370 yang berakhir di Lautan Hindi, Kamarul menambah, kemungkinan rakaman perbualan yang berlaku di Laut Cina Selatan sebelum itu tidak dapat diperoleh memandangkan jarak dan tempoh masa kejadian telah melebihi dua jam terakhir.

Mengupas lebih lanjut, beliau memberitahu, dahulunya kotak hitam menggunakan sistem analog (pita rakaman seperti kaset) dan ia boleh membuat rakaman dalam setiap 30 minit terakhir sahaja.

Namun selepas beberapa tahun kebelakangan ini, tempoh rakaman tersebut telah ditingkatkan kepada dua jam terakhir.

Analisis

"Dalam tempoh dua jam berkenaan (tempoh kecemasan), juruterbang yang mengendalikan pesawat akan cuba berpatah balik untuk melakukan pendaratan kecemasan atau sebaliknya ditimpa musibah iaitu terhempas," ujarnya.

Berbeza dengan FDR pula, Kamarul menjelaskan, sistem itu berupaya merakamkan data sepanjang penerbangan dengan kapasiti 24 jam.

Katanya, ada banyak data akan tersimpan menerusi sistem FDR. Antara data terpenting ialah kelajuan pesawat, ketinggian pesawat dari aras laut selain kedudukan terkini pesawat tersebut.

Pada masa sama, FDR turut merakam data seperti status atau jumlah minyak pesawat, kedudukan kawalan sayap (daya angkat pesawat) sama ada berlaku pembelokan atau kenaikan dan penurunan.

Daripada data FDR tersebut, jelas Kamarul, analisis dan siasatan akan dapat mengetahui secara tepat bagaimana pesawat tersebut terhempas mahupun mendarat.

"Bagaimanapun, bagi mengetahui bagaimana kejadian menimpa sesebuah pesawat itu bukan bergantung kepada kotak hitam sahaja tetapi ada faktor lain turut diambil kira, misalnya latar belakang juruterbang, kru dan para penumpang," jelas beliau.

Sementara itu, Kamarul memberitahu, hanya beberapa negara sahaja yang memiliki sistem penerima peranti lokasi dalam air (ULD) bagi mengesan kotak hitam.

Katanya, sistem ULD ini akan mengeluarkan isyarat bunyi (beep) setiap satu saat, namun ia ada kekangan kerana mempunyai had jarak iaitu lingkungan 3.5 kilometer sahaja.

"Kita harapkan kedalaman Lautan Hindi hampir 4,000 meter dengan puratanya 3.5 kilometer, jika sistem ULD betul-betul berada di atas kotak hitam, maka ia boleh menerima isyarat bunyi tersebut.

"Disebabkan itu, kita perlu tahu terlebih dulu kedudukan sebenar pesawat itu terhempas bagi memastikan kotak hitam berkenaan sememangnya ada di sekitar kawasan pencarian," ujarnya sambil menambah kotak hitam sebenarnya berwarna oren supaya ia mudah dikesan.

Mengenai MH370, kata Kamarul, sebenarnya banyak kemungkinan tetapi semuanya 'atas meja' yang tidak boleh dipastikan, namun ini bukan spekulasi tetapi dipanggil sebagai jangkaan secara ilmiah berdasarkan kepada petunjuk dan seterusnya apa akan berlaku.

Meskipun sistem transponder dan peranti komunikasi dalam pesawat MH370 telah dimatikan menyebabkan ia hilang dari radar sekunder (utama) ATC, namun juruterbang boleh berhubung kembali dengan menara kawalan menerusi radio.


PESAWAT sentiasa diselenggara mengikut jadual bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan baik.

Ujian

Malangnya dalam kes MH370, komunikasi tersebut tidak berlaku dan antara kemungkinan tidak adanya komunikasi itu adalah disebabkan berlakunya kebakaran dalam pesawat.

"Sebagai juruterbang, kita diajar untuk memadam semua suis elektronik bagi mengelak kebakaran daripada terus merebak.

"Persoalannya, apabila suis dipadam, kenapa tidak dilaporkan kepada ATC?"

Sementara itu, pakar sistem pesawat, Prof. Madya Dr. Mohd. Harridon Mohammed Suffian dari Universiti Kuala Lumpur Malaysia Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) memberitahu, sistem kotak hitam ini wajib dipasang pada pesawat komersial oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Katanya, sebelum dipasang, kotak hitam itu telah melalui pelbagai ujian seperti ketahanan impak berkapasiti 3,200 G (graviti bumi), tahan suhu lebih 1,000 darjah Celsius serta tekanan kedalaman laut lebih 6,000 meter.

Jelas beliau, apabila telah siap diuji dan lulus, kotak hitam akan dipasangkan di bahagian ekor pesawat yang biasanya terakhir menyentuh tanah ketika jatuh atau terhempas, secara tidak langsung ia akan mengurangkan impak atau kerosakan pada kotak hitam.

"Kotak hitam ini dibuat daripada besi aluminium dan titanium yang tahan hentakan sehingga 3,200 G dan ia akan mengeluarkan isyarat jika ada hentakan kuat, maknanya pesawat itu meletup atau terhempas. Secara automatik isyarat akan aktif supaya ia mudah dikesan.

"Lazimnya, kotak hitam akan diperiksa dan diuji setiap tahun bagi memastikan ia masih berfungsi dengan baik termasuk pemeriksaan terhadap baterinya yang mempunyai jangka hayat antara 30 hingga 35 hari," kata Mohd. Harridon.

Katanya, menerusi rakaman data dan suara daripada kotak hitam tersebut, pasukan penyiasat dan penganalisis akan melakukan simulasi berdasarkan maklumat tadi bagi mengenalpasti punca sesebuah pesawat itu terhempas.

"Mereka akan cuba melakonkan semula kejadian pesawat terhempas itu dengan menggunakan teknologi grafik bagi memahami kejadian berlaku dan ia akan dibentangkan kepada DCA.

"Selain pesawat, kotak hitam juga ada dipasang pada kenderaan pengangkutan yang lain seperti bas ekspres dan kapal-kapal laut," katanya.

Sumber: Kosmo [02042014]

Kotak hitam bantu disiplinkan juruterbang

SEBAIK memasuki ruang kokpit, juruterbang dan pembantunya akan menjadi seorang yang begitu profesional dan berintergriti.

Dengan kata lain, apabila bertugas mengendalikan sesebuah pesawat, juruterbang akan menjaga segala tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang serta keselarasan antara kepentingan diri dengan kepentingan umum.

Juruterbang West Star Aviation, Kamarul Ariffin Abdul Aziz berkata, juruterbang akan menjadi seorang yang amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi dan boleh dipercayai ketika mengendalikan pesawat.

Jelas beliau, setiap percakapan, tindakan, perbuatan dan disiplin di dalam kokpit ketika penerbangan akan dirakam serta direkodkan oleh sistem yang dinamakan kotak hitam.

"Bukan ingin memperkecilkan kredibiliti intergriti dan profesionalisme seseorang juruterbang, tapi kotak hitam sememangnya mempunyai karakter dalam mendisiplinkan juruterbang ketika bertugas.

"Juruterbang tidak boleh berbohong atau mencarut yang bukan-bukan ketika berada dalam kokpit memandangkan semuanya akan dirakam dan direkodkan," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Kamarul Ariffin menambah, menerusi data yang dirakam pada kotak hitam, seseorang juruterbang yang melanggar etika dan disiplin ketika bertugas akan diambil tindakan tegas.

Mereka tidak boleh menipu atau menyorok kesilapan atau kecuaian yang berlaku sekiranya berlaku sesuatu kepada pesawat yang diterbangkan, kecuali kesilapan itu datangnya daripada masalah teknikal.

"Walaupun juruterbang itu berkeras mengatakan dirinya tidak bersalah (jika berlaku insiden dalam penerbangan), sesebuah organisasi penerbangan akan merujuk kotak hitam bagi mengenalpasti puncanya.

"Meskipun mulut akan menipu untuk menyelamatkan diri, tapi adalah sukar untuk menipu kotak hitam dan teknologi itu juga tidak mungkin dapat dimanipulasi," ujarnya.

Sumber: Kosmo

0 comments: