25 Februari 2015

Si Pemuzik Cilik Dalam Persembahan Tarian Singa


TARIAN singa dipercayai mampu memberi perlindungan dan mendatangkan tuah serta kekayaan kepada sesebuah keluarga.

WALAUPUN umurnya 10 tahun, namun minat yang mendalam terhadap tarian singa mendorong Teng Kuan Heng untuk melibat diri dalam seni warisan kaum Cina itu.

Selepas menonton persembahan tarian singa menerusi layar kaca televisyen kira-kira lima tahun lalu minatnya terus berputik terhadap tarian singa.

Selepas hampir lima tahun menunggu, akhirnya anak kelahiran Banting, Selangor itu diberi lampu hijau oleh kedua-dua ibu bapanya untuk menyertai Persatuan Tarian Singa dan Naga Hong Teck.


Tarian singa merupakan seni tradisional yang melambangkan adat dan kebudayaan warisan masyarakat Cina. Tarian ini dipercayai wujud sejak Dinasti Tang (618-907) dalam kalangan bangsawan Cina. Selain menghiburkan penonton, tarian singa juga dipercayai menjadi pelindung dan mendatangkan tuah serta kekayaan kepada sesebuah keluarga.

Disebabkan bertubuh kecil dan tidak mempunyai keupayaan mengendalikan kepala mahupun ekor singa, Kuan Heng hanya ditugaskan oleh jurulatihnya untuk bermain salah satu instrumen dalam tarian tersebut iaitu simbal.

Simbal merupakan alat muzik yang dihasilkan daripada sepasang piring loyang. Kedua-dua piring itu kemudiannya dihantuk bagi menghasilkan bunyi.

“Saya menyertai persatuan ini kerana minat. Lenggok dan pergerakan singa mampu memberi ketenangan kepada saya.

“Saya memasang impian untuk mengendalikan kepala singa suatu hari nanti,” katanya.

Kuasai lagu

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, dia menyertai persatuan tersebut kira-kira empat bulan lalu bersama adik lelakinya yang berumur lapan tahun.

Walaupun masih mentah dalam dunia seni itu, namun pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Chong Hua, Banting itu sudah mampu menguasai 12 buah lagu yang wajib dimainkan dalam sesebuah persembahan tarian singa.

Antaranya ialah Naik Kepala, Tiga Hormat, Naik Bukit, Bergesel, Bayang Air dan turun bukit, Bergerak Lurus dan Lambat Bergerak.

Jelas Kuan Heng, dia agak sukar bermain simbal dengan baik seperti yang dikehendaki oleh jurulatihnya.

“Bermain alatan ini tidak semudah yang disangka kerana saya perlu menghafal rentak-rentak lagu agar ia serasi dengan pergerakan singa.

“Sekiranya tidak serasi ia akan memberi kesan kepada singa sekali gus menjejaskan sesuatu persembahan,” jelas anak kecil berkaca mata itu.

Katanya, walaupun perlu memperuntukkan masa antara lapan hingga 10 jam setiap minggu untuk latihan pada waktu malam, namun Kuan Heng tidak pernah mengabaikan pelajarannya.


PERSATUAN Tarian Singa dan Naga Hong Teck mempunyai 15 orang pemain instrumen yang terdiri daripada kanak-kanak.

Sehubungan itu, dia akan mengulang kaji pelajarannya pada waktu petang selepas pulang dari sekolah bersama anggota persatuan yang lain.

“Selalunya kami akan berlatih tiga kali seminggu iaitu dua jam setiap sesi. Namun jika sambutan Tahun Baru Cina semakin hampir, maka latihan perlu dilakukan lebih kerap.

“Tambahan pula, pemain alat muzik dalam persatuan kami kebanyakannya masih muda dan baharu dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, salah seorang ibu kepada pelajar persatuan tersebut, Low Siew Lian, 42, berkata, dia menggalakkan anaknya menyertai persatuan tersebut kerana ia merupakan satu aktiviti yang berfaedah.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, anaknya juga mempunyai minat bermain instrumen dalam tarian singa iaitu gong.

Gong merupakan sejenis alat muzik tradisional Cina. Bagi menghasilkan bunyi, pemain perlu memukul sebatang kayu yang hujungnya diliputi lapisan getah ke permukaan logam. Permukaan logam tersebut berbentuk leper.

Selepas hampir setahun anak lelakinya terlibat dalam persatuan tersebut, dia mendapati Chew Jing Tuen, 6, lebih ceria dan berdisiplin.

Dia percaya bagi menjayakan sesebuah persembahan, setiap pemain itu perlu mempunyai disiplin yang tinggi.

“Saya tiada halangan membenarkan anak-anak terlibat dalam persembahan tarian singa.

“Malah, saya tumpang gembira kerana anak saya merupakan salah seorang ahli termuda dalam persatuan ini,” ujarnya yang mempunyai perniagaan sendiri di pekan Banting.

Sokongan

Siew Lian juga tiada masalah membenarkan anaknya membuat persembahan di luar Banting sempena Tahun Baru Cina.

Jelasnya, menerusi persembahan di kawasan-kawasan tumpuan mampu meningkatkan tahap keyakinan anaknya, malah dia juga ke lokasi persembahan.

“Jika ada jemputan persembahan di sekitar Banting ini, saya dan suami turut serta bagi memberi sokongan moral kepadanya,” terang Siew Lian.

Jurulatih tarian singa Persatuan Tarian Singa dan Naga Hong Teck, Ricky Chea Man Kai, 42, berkata, persatuan tersebut ditubuhkan sejak 12 tahun lalu.

Pada awal penubuhannya, persatuan tersebut mempunyai ramai ahli yang terdiri daripada golongan remaja dan dewasa yang aktif dalam persembahan tarian singa.

Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini, ia semakin berkurangan sehingga memaksanya membuka penyertaan dalam kalangan kanak-kanak.

“Dulu kita mempunyai ramai penari tarian singa sehingga boleh dipecahkan menjadi empat hingga lima pasukan (dua ekor singa untuk setiap pasukan dan enam orang pemain instrumen).

“Kini, ia semakin berkurangan kerana kebanyakan golongan remaja dan dewasa tidak lagi menggemari aktiviti berkaitan kebudayaan. Jadi, saya buka peluang kepada kanak-kanak terutamanya untuk bermain gong, simbal dan gendang,” ujar Man Kai. Bagi mengatasi masalah tersebut, persatuannya telah membuka keahlian kepada lain-lain kaum yang berminat mempelajari seni muzik dan tarian singa.

Bagaimanapun, usaha tersebut juga gagal kerana tidak ramai yang mampu memberi komitmen latihan dan persembahan.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, persatuan berkenaan mempunyai 15 anggota tarian singa yang berumur dalam lingkungan enam hingga 12 tahun.

Mengulas mengenai kelebihan melatih pemain kanak-kanak, ia ternyata jauh lebih mudah kerana mereka patuh pada arahan.

“Melatih kanak-kanak lebih mudah kerana mereka senang mengikut arahan kita dan tidak melawan.

“Tambahan pula, kebanyakan kanak-kanak ini memang berminat mempelajari tarian singa,” jelasnya yang telah hampir dua dekad terlibat dalam persembahan tersebut.

Persatuan tersebut telah bersetuju untuk memberikan ganjaran dalam bentuk wang tunai kepada kanak-kanak yang menunjukkan peningkatan dalam pelajaran mereka.

“Sebelum ini, kami menerima aduan ada segelintir ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka bergiat aktif dalam tarian singa kerana pelajaran terjejas.

“Jadi, kami telah mengambil keputusan untuk memberi ganjaran kepada mereka yang berjaya menunjukkan peningkatan, misalnya jika seseorang pelajar itu berjaya memperoleh gred A dalam sesuatu mata pelajaran,” katanya.

Setiap kali tibanya Tahun Baru Cina, Man Kai memberitahu, persatuan tersebut menerima tempahan sebanyak 50 persembahan sepanjang tempoh 14 hari sebelum tibanya Chap Goh Mei.

Perayaan Chap Goh Mei disambut 15 hari selepas Tahun Baru Cina. Ia juga menandakan berakhirnya sambutan tersebut.

Bagi anggota yang terlibat sepenuhnya sepanjang tempoh berkenaan, jumlah upah yang diterima boleh mencecah sehingga RM1,000.

“Kebanyakan anggota yang terdiri daripada kanak-kanak ini tidak terlalu mementingkan wang, sebaliknya mereka lebih mencari kepuasan diri.

“Setiap persembahan kita caj sebanyak RM300 hingga RM10,000 bergantung kepada berapa jumlah ekor singa dan tempoh persembahan,” jelas Man Kai yang memiliki perniagaan kedai kunci.

Oleh SHAZWAN YUSOP
Sumber: Kosmo

0 comments: