07 Ogos 2015

Siapakah Al-Mukhbitun

Siapakah Al-Mukhbitun
Al-Mukhbitun juga adalah mereka yang mendirikan dan menjaga solat.

RAMADAN berlalu meninggalkan jiwa yang melaluinya dengan mengharapkan keampunan dan kebahagiaan dunia dan kebahagiaan abadi kurniaan ALLAH SWT kepada hamba-Nya iaitu syurga yang penuh dengan segala kenikmatan.

Antara sekian banyak manusia yang mengharapkan kebahagiaan itu dan meraihnya dikenali sebagai adalah Al-Mukhbitun.

ALLAH menyifatkan golongan itu sebagai ahli syurga dalam firman-Nya: "Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh serta mereka yang akhbatu (merendahkan diri) kepada Tuhan, mereka adalah ahli syurga kekal di dalamnya." (Surah Hud: 23)


Siapakah Al-Mukhbitun?

Bagi mengenali Al-Mukhbitun dan ciri-cirinya, ALLAH menjelaskan melalui Surah Al-Haj ayat 34 dan 35 bermaksud: "Sampaikanlah (Muhammad) khabar gembira kepada Al- Mukhbitin orang yang tunduk patuh kepada ALLAH. Iaitu orang yang apabila disebut nama ALLAH, hati mereka akan berasa gentar.

Orang yang sabar atas musibah yang menimpa mereka. Orang yang mendirikan solat dan orang yang menafkahkan sebahagian daripada apa yang telah kami anugerahkan kepada mereka."

Al-Mukhbitun berasal daripada perkataan Al-Khabtu atau Al-Ikhbat. Al-Khabtu menurut pengertian bahasa ialah permukaan tanah yang luas dan tenang.

Atas dasar ini Ibn Abbas menyatakan lafaz al-Mukhbitun dalam ayat di atas sebagai Al-Mutawadi’in iaitu orang yang tawaduk merendah diri dan makna itu juga yang dinyatakan oleh Al-Dahhak dan Qatadah (Madariju Al-Salikin dan Tafsir Al-Qurtubi).

Menurut Mujahid pula ia bermaksud orang yang hatinya berasa tenang bersama ALLAH sementara Al-Akhfasi pula menyatakan orang yang khusyuk.

Setelah mengetahui makna daripada perkataan Al-Mukhbitun iaitu seorang yang tunduk merendah diri serta menyerah diri kepada ALLAH, khusyuk dan tenang, perlu juga mengetahui dan meneliti sifat yang dijelaskan oleh ALLAH lagi menerusi ayat di atas sehingga mereka ini disebut ALLAH sebagai penghuni syurga yang kekal dalamnya.

Pertama: Gementar hati apabila disebut nama ALLAH

Perasaan hati yang gementar ini kerana mengingatkan kekuasaan-Nya, takut dan bimbang jika amalan yang dilakukannya tidak diterima seterusnya takut kepada azab dan neraka-Nya. Perasaan inilah yang selalu ada dalam jiwa Al-Mukhbitun kesan daripada keimanan kepada ALLAH.

ALLAH juga berfirman: "Sesungguhnya orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama ALLAH gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan ayat-Nya bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal. Mereka itu orang yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka, itulah orang yang beriman dengan sebenarnya." (Surah Al-Anfal: 2-4)

Ciri pertama ini akan menambahkan keikhlasan dan kekhusyukan seseorang dalam beribadah lalu menjadikan mereka tenang

Kedua: Sabar terhadap musibah yang menimpa

Sabar ialah menahan jiwa daripada sedih dan kegelisahan, cemas, marah juga menahan anggota daripada kekacauan. Sabar yang dituntut dalam Islam ialah dalam tiga keadaan iaitu sabar dalam menjalankan ketaatan kepada ALLAH, sabar untuk tidak bermaksiat kepada ALLAH dan sabar atas musibah yang dihadapi.

Seorang yang dilanda dengan suatu musibah dengan tetap mentaati perintah ALLAH dengan penuh ikhlas, reda dan berharap pahala daripada ALLAH adalah sifat Al-Mukhbitun.

Bagaimana caranya agar orang yang terkena musibah boleh tetap tenang? Caranya adalah dengan mengharapkan pahala dan berharap dosanya terhapus dengan sebab musibahnya.

Ketiga: Mendirikan solat

Al-Mukhbitun ialah mereka yang mendirikan dan sentiasa menjaga solatnya. Mereka solat dengan hatinya yang khusyuk. ALLAH menyifatkan mereka ini sebagai seorang mukmin yang berjaya.

Firman ALLAH: "Telah berjayalah orang orang yang beriman, iaitu mereka yang dalam solatnya khusyuk." (Surah Al-Mukminun: 1-2)
Solat, ibadah teragung yang memiliki pengaruh besar bagi kesolehan peribadi seseorang.

Keempat: Menafkahkan sebahagian rezeki

Infak atau menafkahkan sebahagian rezeki meliputi yang bersifat wajib seperti zakat, kafarah dan nafkah keluarga mahupun yang sunat. Sifat Al-Mukhbitun ialah mereka sentiasa menafkahkan sebahagian harta mereka walaupun dalam kesulitan.

Abu Hurairah RA menceritakan seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya sedekah apakah yang pahalanya besar. Rasulullah SAW menjawab bersedekah dalam keadaan sihat, dalam keadaan takut miskin dan dalam keadaan berharap kekayaan.

Sedekah adalah sebab kelapangan jiwa, orang yang hidupnya sentiasa bermanfaat dan berbuat baik kepada orang lain. Seorang yang sentiasa bersedekah adalah orang yang paling lapang jiwanya dan paling baik hatinya.

Inilah sifat Al-Mukhbitun yang disebut ALLAH dalam ayat ini dan digambarkan ulama dengan gambaran yang indah iaitu ketenteraman, ketenangan, lapang dada, kerendahan hati, kesolehan peribadi, keyakinan dan iman yang kukuh.

Segala sifat yang dinyatakan, melahirkan hati atau jiwa yang khusyuk iaitu jiwa yang tunduk dan merendah diri di hadapan ALLAH, khusyuk terhadap kitab ALLAH dan sunnah Rasulullah SAW.

ALLAH mengingatkan kepada orang yang beriman dalam firman-Nya: "Belum sampaikah waktunya bagi orang yang beriman untuk secara khusyuk mengingati ALLAH dan mematuhi kebenaran (yang telah diwahyukan) dan janganlah menjadi seperti orang yang diberikan kitab sebelum itu, di mana mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak antara mereka menjadi orang-orang fasiq." (Surah Al-Hadid: 16)

Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan Al-Muhkbitun, semoga ALLAH mengurniakan ilmu yang bermanfaat dan menjadikan kita rendah hati, tawaduk dan khusyuk.

Oleh: MOHD KHAIRIL ANWAR ABDUL LATIF
Kaunselor Agama Institut Jantung Negara (IJN)
Sumber: Sinar Harian [24 Julai 2015]

0 comments: