31 Ogos 2015

Tiga Kali Ke London Untuk Rundingan Kemerdekaan Tanah Melayu



Begitu panjang perjalanan tuntutan sejarah kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra dan salah sebuah cabaran yang getir adalah membawa rombongan pertama untuk menuntut diadakan pilihan raya.

Sebelum beliau dan rombongan berangkat ke London pada 21 April 1954, sepucuk surat telah dihantar kepada Setiausaha Tanah Jajahan Takluk British, Oliver Littleton untuk mengadakan pertemuan. Tetapi jawapan yang diterima adalah sebaliknya.


Menceritakan peristiwa yang berlaku dalam perjuangan Tunku untuk mencapai kemerdekaan, Pembantu Operasi Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Rossli Adnan memberitahu, Tunku telah pergi ke London sebanyak tiga kali.

“Pada April 1954 itu adalah rombongan pertama Tunku yang mewakili orang Melayu bersama pemimpin-pemimpin masyarakat lain telah pergi ke London. Waktu itu, mereka bertolak dengan kapal terbang di Singapura.

“Keputusan pergi ke London dibuat sebulat suara dalam mesyuarat tergempar Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 18 April 1954 selepas Oliver Littleton menyatakan tidak mahu bertemu dengan Tunku.

“Dalam mesyuarat itulah berlakunya peristiwa bergolok-bergadai beramai-ramai oleh masyarakat yang hadir. Menariknya, bukan sahaja orang Melaka yang datang, ramai dari Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan negeri lain yang hadir,” katanya


TANDATANGAN pemimpin pada dokumen pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu sewaktu di London pada 8 Februari 1956.

Tambah beliau lagi, peristiwa bergolok-bergadai itu adalah kisah yang paling unik kerana ia melibatkan pengorbanan semua lapisan masyarakat.

Menurut beliau lagi, rombongan Tunku seterusnya adalah pada 1 Januari 1956 bertujuan untuk menetapkan tarikh kemerdekaan.

“Pergi yang kali kedua, tiada lagi orang bergolok bergadai untuk bantu. Tidak tahulah saya kalau bantuan pada 1954 masih berbaki untuk tanggung rombongan kedua.

“Dalam rombongan itu, ada wakil-wakil kaum yang turut serta kecuali India. Seingat saya, V.T. Sambanthan menyatakan sokongan penuh kepada Tunku sebelum beliau bertolak.

“Rombongan kali ini, mereka memilih untuk menaiki kapal laut. Tujuannya, tempoh sebulan perjalanan boleh digunakan untuk berbincang mengenai perancangan pembangunan negara.


ORANG ramai mengiringi ketibaan Tunku Abdul Rahman Putra sebaik sahaja tiba di Padang Pahlawan, Banda Hilir, Melaka untuk mengumumkan tarikh pengisytiharan kemerdekaan.

“Pada 19 Februari 1956, mereka semua pulang dengan kapal terbang dan membawa berita gembira buat kita semua. Sebaik sampai di Singapura, keesokannya Tunku telah mengambil penerbangan ke Batu Berendam, pada hari itulah tarikh kemerdekaan diisytiharkan pada 31 Ogos 1957,” jelasnya.

Sebelum menyambut kemerdekaan, menurut Rossli lagi, Tunku telah pergi ke London pada Mei 1957 untuk membincangkan perkara-perkara sebelum Tanah Melayu diisytihar sebagai sebuah negara yang bebas.

Oleh: ROSSLI ADNAN
Sumber: Utusan

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-58
"SEHATI SEJIWA"

0 comments: