30 Ogos 2015

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra Kenangan Abadi Negarawan Ulung



GAMBARAN sewaktu Malaysia atau dikenali de­ngan nama Tanah Melayu sebelum memperoleh kemerdekaan daripada pihak Bri­tish terasa saat menjejakkan kaki di luar pekarangan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.

Seperti berada di zaman era pemerintahan penjajah, pera­saan bangga pasti akan menyelubungi hati pengunjung tatkala mengunjungi memorial negarawan yang mendapat jolokan sebagai Bapa Kemerdekaan Malaysia

Terletak di Jalan Dato’ Onn yang agak terpinggir dari kesi­bukan pinggir kota Kuala Lumpur, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra bukan sahaja menyimpan kisah kedaulatan bumi Malaysia menyelusuri gelombang kemerdekaan, bahkan menyingkap rahsia kehidupan Tunku sepanjang hayatnya.


Sebahagian besar daripada kita pada hari ini mungkin tidak pernah melalui saat getir sewaktu Tanah Melayu berjuang me­nuntut kemerdekaan daripada pihak British.

Sebagai pemimpin negara pada ketika itu, Yang Teramat Mulia Tunku memainkan peranan penting kepada masyarakat dengan meniup semangat memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Perjuangan menuntut pembebasan daripada pihak penjajah merupakan agenda utama di dalam jiwa Tunku walaupun terpaksa mengharungi pahit getir berhadapan dengan ancaman sekelompok kumpulan yang tidak senang melihat usaha yang diperjuangkan oleh beliau.

Sumbangan dan bakti

Dalam memperjuangkan negara, Tunku begitu menekankan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di tanah air dengan menyatupadukan rakyat daripada pelbagai kaum dan ternyata perpaduan ini telah memacu ke arah kemerdekaan yang dikecapi hari ini.

“Kemerdekaan itu adalah suatu benda yang tinggi harga­nya dan kemerdekaan itu satu benda yang tidak dapat dibeli dengan wang atau dengan harta kerana ia suatu benda yang kita tuntut dengan segala kekuatan kita hingga kita terpaksa membelinya dengan nyawa kita sendiri,” demikian kata-kata semangat dari Tunku sewaktu berjuang menuntut kebebasan.


GAMBAR yang diambil sekitar tahun 1950-an menunjukkan beberapa orang pembantu rumah Tunku Abdul Rahman bergambar membelakangi bangunan Residensi.

Membawa masyarakat menghayati perjuangan serta mengenali dengan lebih dekat kehidupan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra menjadi lokasi yang menarik khususnya bagi generasi pada hari ini.

Dibangunkan di atas tanah seluas 2.8 hektar, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra ditubuhkan untuk menghargai sumbangan dan bakti Tunku sebagai negarawan terulung sepanjang 13 tahun memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama.

Menurut Pengurus Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Norazman Ahmad, 50, projek untuk membina Memorial Tunku Abdul Rahman Putra adalah satu usaha kerajaan dan rakyat untuk memperingati seorang bekas Perdana Menteri yang telah banyak berjuang dan berkorban demi bangsa dan agama.

“Dengan penubuhan memorial ini akan mengimbas kembali sejarah pembentukan negara Malaysia di bawah pimpinan Alhamrhum Tunku,” jelas Norazman sewaktu ditemui di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.

Projek selama dua tahun bermula dari bulan Ogos 1992 dan siap pada Februari 1994 itu kemudiannya telah dirasmikan oleh Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 10 November 1994.

“Memorial Tunku Abdul Rahman Putra merangkumi tiga bangunan penting iaitu Bangunan Residensi sebagai bangunan utama dan dua bangunan baharu iaitu bangunan blok A dan blok B yang menempatkan ruang pameran, gedung simpanan bahan, bilik penyelidikan, auditorium, ruang kerja dan ruang pejabat,” jelas Norazman tentang pecahan di memorial tersebut.

Kereta vintaj

Pengunjung yang melawat ke Memorial Tunku Abdul Rahman Putra akan berada di bangunan blok A terlebih dulu yang terletak di bahagian hadapan.

Kedatangan pengunjung akan disambut dengan pameran dua buah kereta vintaj yang merupakan sebuah kereta rasmi jenis Cadillac Fleetwood keluaran tahun 1959 dan sebuah kereta yang digunakan oleh beliau selepas pulang dari London bersama rombongan kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka pada 20 Feruari 1956.

Berada di ruang galeri, pengunjung akan disajikan dengan catatan perjalanan sejarah Malaysia ke arah kemerdekaan dengan penghayatan beberapa peristiwa penting seperi misi rombongan kemerdekaan yang diketuai Tunku ke London.


ANTARA koleksi barangan peribadi milik Almarhum Tunku yang masih dalam keadaan elok.

Antara kupasan lain yang terdapat di aras satu itu ialah upa­cara menandatangani perjanjian Persekutuan Tanah Melayu oleh Raja-Raja Melayu yang telah dilakukan di King’s House, Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1957.

Upacara menandatangani perjanjian tersebut telah diwa­kili oleh Sir Donald MacGillivray bagi pihak British termasuk 15 orang yang terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu yang telah menandatangani 40 salinan perjanjian iaitu 20 salinan dalam bahasa Melayu dan 20 salinan dalam bahasa Inggeris.

“Tunku dari kaca mata masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu menjadi tokoh yang amat disegani kerana sifatnya yang tegas dan berani demi mempertahankan kedaulatan bangsanya,” tambah Norazman yang berharap agar memorial yang dibuka itu mampu menjadi panduan bagi generasi muda hari ini.

Tambahnya lagi, biarpun Malaysia telah mencapai kemerdekaan sejak 58 tahun lalu, semangat perpaduan dalam kalangan penduduk di negara ini masih utuh hasil pengorbanan para pemimpin terdahulu yang inginkan sebuah negara yang makmur dan harmoni.

Banyak pengisian menarik lain yang terdapat di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra seperti pameran Biografi Almarhum Tunku bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Tun Sharifah Rodziah yang dipersembahkan dalam bentuk audio, visual, artifak dan dokumen.

Jiwa seni

Menurut Pegawai Arkib Seksyen Perancangan dan Pemuliharaan, Shaharuddin Ismail, semua artifak dan dokumen termasuk koleksi peribadi yang dipamerkan di memorial tersebut adalah asli selepas diserahkan sendiri oleh keluarga Tunku untuk diabadikan dalam bentuk pameran.

“Kita mahu mewujudkan sebuah memorial seperti yang dibuat di Amerika Syarikat iaitu Presidential Library de­ngan mengumpul koleksi-koleksi peribadi barisan Presiden negara itu untuk tatapan umum,” jelas Shaharuddin yang telah berkhidmat dengan Arkib Negara selama 30 tahun.

Bangunan di blok B yang memiliki tiga tingkat juga tidak kurang menarik apabila dipamerkan meja mesyuarat Kabinet yang digunakan semasa mesyuarat Kabinet Tunku yang pertama pada tahun 1956 di bangunan Parlimen, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur sebelum berpindah di bangunan Parlimen di Jalan Parlimen.

Pengunjung juga akan didedahkan tentang kehidupan seha­rian Almarhum Tunku terma­suk minatnya dalam sukan golf dan fotografi selain pendedahan tentang pembabitan Tunku dalam bidang perfileman seperti filem Sumpahan Mahsuri (1989) apabila Almarhum bertindak sebagai penerbit dan pengarang bagi filem tersebut.

Sumber: Kosmo

0 comments: