02 Ogos 2015
Yayasan Chow Kit (YCK) Beri Sinar Harapan Untuk Anak-anak Chow Kit
Sebahagian kanak-kanak miskin bandar di PAKK, Chow Kit Foto Bernama
Untuk kebanyakan anak miskin bandar yang tinggal di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur, Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) adalah "rumah" mereka.
PAKK yang terletak di bawah naungan Yayasan Chow Kit (YCK) ini adalah satu-satunya tempat di mana mereka boleh belajar, bermain serta bergaul dengan kawan dalam persekitaran yang selamat.
Memandangkan kawasan tempat tinggal mereka dikelilingi jalan raya dan bangunan, anak-anak ini tidak boleh melakukan banyak kegiatan sebaik sahaja habis waktu sekolah.
Dengan keadaan ekonomi keluarga yang tidak mengizinkan, ibu bapa mereka tidak mampu untuk menghantar mereka ke kelas tambahan atau program lepas waktu sekolah.
Malahan ada yang terpaksa bekerja selepas balik dari sekolah untuk mencari wang bagi membantu keluarga masing-masing.
Hidup dalam kemiskinan serta tinggal dalam persekitaran yang kurang menyenangkan mungkin ada bahayanya untuk anak-anak ini.
Ini memandangkan mereka terdedah kepada kumpulan samseng jalanan, keganasan dan kegiatan jenayah serta penyalahgunaan dadah.
Yang lebih teruk sekiranya mereka dimanipulasi dan terlibat dalam pelacuran, pemerdagangan manusia dan buruh kanak-kanak.
KISAH YCK
YCK bermula sebagai pusat harian yang dikendalikan kerajaan dan kemudiannya ditukar kepada pusat krisis serta persinggahan 24 jam dipanggil Nur Salam.
Pusat ini menyediakan kemudahan asas, kegiatan serta perkhidmatan sosial untuk kanak-kanak sekitar Chow Kit yang mudah terdedah kepada risiko di bawah Yayasan Salam.
YCK ditubuhkan pada Januari 2011 dengan wawasan untuk memperbaiki kehidupan kanak serta golongan belia di kawasan berkenaan.
Pada masa ini YCK mengendalikan empat pusat iaitu Taska Baitul Amal untuk bayi dan kanak-kanak sehingga berumur empat tahun, PAKK untuk kanak-kanak lima hingga 12 tahun, Kuala Lumpur KrashPad untuk yang berumur antara 13 hingga 18 tahun serta Pusat Jagaan Baitul Amal bagi kes-kes yang memerlukan perhatian khas.
DENGAR SUARA HATI KANAK-KANAK
Pengasas YCK, Dr. Hartini Zainuddin berkata pihaknya perlu berdamping rapat dengan kanak-kanak untuk memahami keadaan mereka dengan lebih baik dan mewujudkan program yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
"Sering kali kita mengasingkan kanak-kanak atas sebab sosio-ekonomi. Sekarang adalah masa terbaik untuk merapatkan jurang ini," tambahnya.
Sehubungan dengan itu, PAKK telah mengenalpasti beberapa perkara yang perlu ditangani termasuk pendidikan kanak-kanak di samping menganjurkan kegiatan di dalam dan luar PAKK.
Di samping kelas tambahan, PAKK mengendalikan perkhidmatan sokongan untuk kanak-kanak dan golongan belia, khemah motivasi dan lawatan pembelajaran.
PAKK turut mengadakan perkhidmatan khusus untuk keluarga yang mempunyai anak yang dilanda krisis.
MENJADI TELADAN
Muhammad Abdul Aziz Nurmin, 21, yang pernah mendapatkan perkhidmatan di YCK berkongsi kisah hidupnya dengan pemberita bagaimana pusat itu membentuk dirinya.
"Dahulu saya hanya menghabiskan masa di pusat internet sehinggalah pada suatu hari adik saya perkenalkan KrashPad.
"Saya mula jatuh hati dengan apa yang YCK buat. Setiap hari saya datang. Daripada tak kenal orang sampai rapat jadi satu keluarga," kata Aziz, anak sulung daripada tiga beradik.
Di samping membantu pelajarannya, program yang dianjurkan oleh YCK telah juga membangun kualiti diri anak muda ini, antaranya meningkatkan keyakinan diri dan memberi peluang berkhidmat untuk masyarakat.
"Saya suka menari hip-hop dan YCK bawa saya ke tempat untuk belajar menari. Daripada tak tahu apa-apa, bersama kawan-kawan saya masuk pertandingan tarian 'Showdown' pada 2012 dan 2013. Kumpulan kami, Slash Shoot Dance Down' tersenarai dalam 20 teratas pada edisi 2013," kata beliau.
Aziz, yang kini bekerja dengan YCK sebagai penyelaras program, berkata pengalaman menyertai pelbagai jenis perkhemahan anjuran YCK banyak membantu dirinya dalam mengendalikan program berkenaan.
"Di sekolah kita cerita tentang belajar. Di YCK kita bincang tentang kehidupan. Memang masyarakat masih memandang rendah terhadap kami yang datang dari Chow Kit tapi bagi kami itulah cabarannya. Kami mahu membuktikan bahawa anak-anak Chow Kit juga boleh berjaya," katanya.
LAWATAN KEDUA PFIZER
Pfizer Malaysia menerusi perkongsian dengan YCK berazam menyediakan persekitaran yang selesa untuk kanak-kanak ini dengan memberi sumbangan bukan setakat wang ringgit.
"Kami berasa bangga dapat menjalin kerjasama dengan YCK dalam menyediakan tempat yang lebih selamat untuk kanak-kanak ini membesar dan mengembangkan kebolehan mereka.
"Tempat seperti YCK ini memberi peluang dan harapan kepada anak-anak miskin bandar," kata Azwar Kamarudin, Pengarah Hak Ehwal Korporat, Kesihatan dan Nilai Pfizer Malaysia.
Pada pertengahan bulan Julai, sekumpulan pekerja Pfizer daripada pelbagai peringkat pengurusan, bangsa serta agama menghabiskan masa sehari di PAKK untuk mengecat pusat itu dan memberikannya wajah baru.
Ini adalah kali kedua mereka ke pusat itu setelah melakukan kunjungan ke sana pada awal tahun ini.
Di samping mengecat, mereka juga mencuci tangga serta dinding, tangga serta lorong di belakang pusat itu.
Amilia Sharni, Pengurus Perniagaan Kawasan Pfizer, berkata beliau memang tersentuh dengan nasib kanak-kanak itu kerana mereka tidak mempunyai peluang seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengan mereka.
"Apabila saya melihat mata mereka dan betapa gembiranya mereka dengan kedatangan kami, semuanya ini amat bermakna bagi kami.
"Mereka hanya mahukan secebis perhatian dan kasih sayang dan itulah yang kami berikan kepada mereka," katanya.
Bagi Malini Tahrumalingam, Pengarah kanan Asia Pasifik Pfizer, beliau mahu melibatkan diri dalam kerja kemasyarakatan sementara berada di negara ini.
"Antara nilai yang kami galakkan dalam kalangan pekerja kami ialah kesukarelawanan.
"Kami menggunakan pendekatan yang mana pekerja boleh mencadangkan program kemasyarakatan yang mereka mahu anjurkan dan syarikat akan membiayai projek itu," jelasnya.
Oleh Ali Imran
Sumber: BERNAMA
Bangkit Daripada Keadaan Negatif Chow Kit
Muhammad Abdul Aziz Numin berkongsi kisah hidupnya dengan golongan remaja di KL KrashPad.
Pernah satu ketika, anak muda ini tidak pernah memikirkan langsung tentang masa hadapannya. Saban hari bila pulang dari sekolah beliau akan menghabiskan masa seharian di kafe siber.
Tinggal di tengah-tengah hutan batu Kuala Lumpur, tidak banyak yang boleh dibuat Muhammad Abdul Aziz Numin, kini berumur 21 tahun, untuk mengisi masa yang terluang. Kalau pun ada, ia pasti memakan belanja di luar kemampuannya.
Melihat kepada keadaan dirinya, beliau bukanlah anak orang kaya. Pendapatan ayah dan ibu hanya cukup makan menanggung mereka berlima sekeluarga.
Jadi apa lagi yang boleh dibuat? Kafe siberlah yang satu-satunya tempat yang sesuai dengan jiwa Aziz pada ketika itu.
Ini semua sebelum Aziz mengenali KL KrashPad (KrashPad), sebuah pusat aktiviti untuk golongan remaja di Chow Kit kelolaan Yayasan Chow Kit.
SITUASI CHOW KIT
Umum mengetahui di sebalik kemegahan dan kemajuan bandaraya Kuala Lumpur, kawasan Chow Kit masih dibelenggu isu sosial yang tidak berkesudahan.
Majoriti penghuni di kawasan ini terdiri daripada golongan miskin bandar. Dengan himpitan kewangan yang mendesak, kedua-dua ibu bapa terpaksa bekerja untuk menyara keluarga.
Tanpa pengawasan ketat ibu bapa, kanak-kanak dan remaja yang membesar di kawasan ini mudah terdedah kepada anasir buruk seperti penglibatan dalam kumpulan samseng, keganasan dan penyalahgunaan dadah.
Tidak cukup dengan itu, risiko terjebak dengan sindiket pelacuran, pemerdagangan orang dan penggunaan buruh bawah umur juga cukup tinggi buat anak-anak Chow Kit, jika tidak diberi perlindungan sebaiknya.
Di sinilah YCK memainkan peranan penting, sebagai pusat perkumpulan dan aktiviti anak-anak sekitar Chow Kit. Di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) dan KrashPad mereka diberi peluang untuk beraktiviti secara sihat.
Untuk nota, PAKK menumpukan program-program mereka untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun manakala KrashPad menjadi pusat untuk remaja 13 hingga 18 tahun.
Dengan adanya kedua-dua pusat ini, anak-anak di Chow Kit mempunyai pilihan untuk berkunjung ke tempat yang boleh memberikan mereka perlindungan daripada anasir buruk, dalam masa sama memberi nilai tambah kepada diri mereka.
PERUBAHAN SIKAP
Mula mengenali KrashPad pada 2010, Aziz berkata ia adalah detik pemula paling penting merubah keadaan dirinya daripada remaja yang tidak pernah memikirkan masa hadapan hingga menjadi manusia berguna hari ini.
"Adik perempuan saya mengenalkan saya dengan aktiviti anjuran YCK. Sejak itu saya terus konsisten menghadiri program-program anjuran mereka. Beliau sekarang menunggu keputusan untuk masuk universiti. Adik saya yang kini berumur 14 juga sudah saya bawa ke sini," katanya.
"Sekarang, ibu bapa selalu menjadikan saya sebagai contoh untuk adik-adik ikut. Dahulu tidak," ujar beliau dengan bangga.
Berkongsi kisah hidupnya sewaktu program bakti sosial usahasama YCK dan syarikat farmaseutikal Pfizer Malaysia, Aziz berkata, antara saat yang menyentuh hatinya ialah bila ibu bapanya menyedari perubahan positif pada dirinya.
Ini menyebabkan ibu bapa Aziz tidak pernah melarang beliau hadir ke program-program anjuran YCK hampir setiap hari termasuk hujung minggu kerana ia memberi pengisian positif berbentuk kepimpinan, keagamaan dan sukan.
MASA UNTUK MEMBERI
Hari ini, Aziz berjaya mencapai satu tahap kejayaan yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
Dalam kalangan kanak-kanak di PAKK, Aziz adalah seorang abang yang prihatin terhadap nasib golongan yang lebih muda daripadanya.
Beliau kini bekerja dengan YCK, terlibat secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan kanak-kanak dan remaja.
Baginya inilah cara untuk beliau menterjemahkan niatnya merubah landskap Chow Kit kepada imej yang lebih baik.
FIKIR MASA HADAPAN
Menurut Aziz, rata-rata warga masyarakat masih memandang rendah terhadap kawasan Chow Kit. Inilah tugas yang beliau mahu pikul iaitu untuk mengubah persepsi ini.
Tambahnya, ramai yang tidak sedar bahawa suasana Chow Kit sedang berubah ke arah yang lebih baik, walaupun ia berlaku dengan perlahan tetapi yang penting ia sedang berlaku.
Aziz mengakui, satu faktor yang mendorong beliau untuk berubah ialah bila memikirkan masa hadapannya dan adik-adik.
"Fikiran saya mudah. Buat jahat, masuk penjara. Katakanlah kena penjara sebulan, sebenarnya dalam masa sebulan macam-macam boleh dibuat, boleh cari duit, bantu ibu bapa, dan sebagainya," katanya.
Kesedaran ini dipertingkat dan diperkukuhkan lagi dengan program-program ilmu anjuran YCK yang menekankan pengetahuan tentang ancaman sosial seperti bahaya penyalahgunaan dadah, ancaman HIV dan pengamalan seks bebas.
Keazaman dan pengetahuan yang luas mengenai ancaman sosial di sekitar tempat tinggalnya, menjadikan Aziz lebih bersedia menghadapi dugaan dalam dunia sebenar.
JAGA SESAMA SENDIRI
"Memang betul, di sini tiada padang, tiada taman sebagai tempat kami anak-anak Chow Kit meluangkan masa. Yang ada cuma jalan raya dan suasana negatif. Inilah yang diusahakan oleh YCK, untuk menghidupkan semula kawasan yang gelap ini dengan nilai positif," jelas Aziz.
Menyedari pusat-pusat kelolaan YCK seperti PAKK dan KrashPad ditutup pada waktu malam, Aziz berkata di sinilah persahabatan erat membantu mereka untuk membina kerjasama.
Apa yang penting, dengan cara ini mereka dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan budaya negatif di sekitar mereka.
Oleh Ali Imran Mohd Noordin
Sumber: BERNAMA
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan