06 September 2015
Kad Tebus Nilai Ganjaran Jayakan Pengasingan Sisa Pepejal Syarikat E-Idaman
Gambar Hiasan
Syarikat Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal di Kedah dan Perlis, memperkenalkan satu cara bagi menggalak dan meningkatkan penyertaan awam dalam membantu mengurangkan sampah di tapak pelupusan sampah.
Mengambil inisiatif mewujudkan program Recycling For Life, ia sebagai usaha menyokong hasrat kerajaan melaksanakan pengasingan sisa pepejal, sekali gus meningkatkan aktiviti 3R (guna semula, kurangkan, kitar semula).
Galak orang ramai guna sistem
Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Mohd Saiful Anuar Zainal, berkata isu sampah adalah perkara remeh di mana banyak pihak tidak mengambil berat. Oleh itu, syarikat perlu berfikir di luar kotak untuk menghasilkan cara bagi menggalakkan orang ramai turut serta.
Menerusi Program Recycling For Life, E-Idaman akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan berorientasikan keuntungan, Yayasan MyKasih yang ditubuhkan pada 2010 untuk membantu rakyat Malaysia kurang bernasib baik menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai dipanggil 'Sistem ePetrol'.
Mohd Saiful Anuar berkata, melalui kerjasama ini, satu kad E-Idaman MyKasih akan diberi kepada penduduk yang mengitar semula barangan dan mereka akan diberi pilihan untuk menebus nilai yang akan diisi di dalam kad sama ada untuk diri sendiri, komuniti atau menderma.
"Apabila mereka membuat pengasingan sisa pepejal dan mengikut berat barangan, kita akan beri ganjaran berbentuk kad yang akan diisi dengan sejumlah wang dan wang itu boleh digunakan untuk membeli barangan di rangkaian kedai Yayasan MyKasih.
"Pilihan kedua, mereka boleh membuat pilihan untuk memasukkan wang ke dalam komuniti tempat tinggal mereka dan digunakan bagi menjalankan sebarang aktiviti. Pilihan ketiga adalah menderma ganjaran yang diterima kepada Yayasan MyKasih sebelum disalurkan kepada keluarga miskin di Kedah dan Perlis dan dianggarkan setiap keluarga akan mendapat RM80 sebulan," katanya kepada BERNAMA.
Melalui program itu banyak keluarga miskin dapat dibantu dan pelaksanaan penggunaan kad akan diuji pada Oktober dan November 2015 ini. Jika berkesan, ia akan dilaksanakan secara menyeluruh mulai Januari 2016.
Pelaksanaan pengasingan sisa pepejal secara mandatori kepada isi rumah akan turut membantu mengurangkan kos untuk menguruskan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah sebanyak 35 peratus.
Mohd Saiful Anuar berkata, kira-kira RM50,000 sebulan dibelanjakan bagi setiap pengurusan sebuah tapak pelupusan. Pengasingan sampah itu memudahkan pihak E-Idaman menjalankan aktiviti pemungutan yang dilakukan seminggu sekali untuk sampah (yang diasingkan) termasuk sisa pukal (sisa perabot dan kebun).
Pengasingan ikut komposisi sisa
Secara umumnya, proses pengasingan sisa di punca membabitkan pengasingan sisa pepejal isi rumah mengikut komposisi sisa iaitu plastik, kertas, kadbod, kaca, logam, sisa makanan, sisa pukal dan sisa kebun.
Beliau percaya penduduk di kedua-dua negeri itu sedar kelebihan membuat pengasingan sampah hasil daripada aktiviti penerangan yang dijalankan oleh E-Idaman bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Bagi memudahkan pelaksanaan program pengasingan sisa pepejal ini, E-Idaman memperuntukkan sebanyak 2,000 tong kitar semula bersaiz satu meter padu untuk diletakkan di setiap jalan masuk utama kawasan perumahan di Kedah dan Perlis.
Tong kitar setiap taman perumahan
"Ini juga adalah inisiatif yang diambil E-Idaman, yang akan meletakkan tong kitar semula di setiap pintu masuk taman perumahan. Jika masyarakat tidak mahu membuat pengasingan di rumah sendiri, mereka boleh membuang sampah mengikut tong yang telah disediakan.
"Setakat ini, kita telah menyediakan beberapa tong kitar semula terutama di kawasan perumahan, rumah pangsa dan kita menjangkakan semua 2,000 tong kitar semula ini akan selesai diagihkan menjelang akhir tahun ini," katanya.
Katanya, E-Idaman juga menggerakkan 'Skuad Idaman' dalam usaha untuk menguar-uarkan dan memberi penerangan kepada masyarakat yang masih belum mengetahui serta memahami mengenai sistem itu.
"Walaupun promosi telah dijalankan, masih ramai yang tidak sedar kepentingan pelaksanaan sistem ini kerana berasakan isu sampah tidak penting. Sebanyak 300,000 risalah akan diedar di Kedah dan Perlis dalam tempoh dua minggu dan diharap ia dapat menarik masyarakat untuk bekerjasama dengan E-Idaman," katanya. BERNAMA
Sumber: BHarian
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan