08 September 2015

Masa Depan Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran



SEPERKARA yang amat penting dan perlu diberi perhatian serius pada masa ini ialah soal peningkatan jumlah kanak-kanak dan individu dewasa yang dikenal pasti (diagnosis) mempunyai pelbagai masalah berkaitan pembelajaran.

Pada 2002 sahaja, seramai 14,535 kanak-kanak menghadapi masalah atau kesukaran pembelajaran dalam pelbagai ka­tegori, dan jumlahnya meningkat kepada 90,000 orang pada 2012. Lazimnya, statistik ini akan terus meningkat saban tahun, sejajar dengan peningkatan kadar kelahiran dan tahap kesedaran individu dan masyarakat.


Apakah dia masalah pembelajaran ini?

Secara umumnya merujuk kepada sebarang keadaan berkaitan kesukaran seseorang individu itu untuk belajar. Ia kerana tahap perkembangan dan keupayaan pemprosesan otak mereka berbeza daripada majoriti individu normal lain dalam menerima sebarang input kognitif - iaitu yang melibatkan aktiviti dan proses otak seperti pertuturan dan percakapan, pembacaan, penulisan, pengiraan, keupayaan diri dalam pengurusan kendiri dan maklumat.

Antara masalah berkaitan pembelajaran seperti lembam, disleksia, diskalkulia, disgrafia, dispraksia dan gangguan fungsi eksekutif, yang juga dikenali sebagai masalah pembelajaran spesifik. Akta Orang Kurang Upaya 2008 menggolongkan mereka dalam kategori OKU dan berhak untuk didaftarkan sebagai OKU serta memiliki kad OKU.

Selain masalah pembelajaran yang spesifik seperti itu, terdapat juga beberapa sindrom lain yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak pada peringkat usia perkembangan mereka seperti gangguan daya tum­puan dan hiperaktif atau ADHD, gangguan spektrum autisme, kelumpuhan fungsi sistem cerebral, sindrom Down dan Cornelia.

Semua sindrom ini amat berbeza daripada masalah pem­belajaran spesifik, tetapi mereka juga boleh berkongsi simptom gangguan masalah pembelajar­an spesifik itu.

Apa yang jelas, seseorang kanak-kanak itu berisiko mengalami masalah pem­belajaran sekiranya mereka tidak dapat mengikuti proses pembelajaran secara normal seperti kanak-kanak lain pada peringkat umur sama.

Keadaan sama juga akan berlaku jika kanak-kanak itu tertinggal dalam proses pem­belajarannya akibat kelewatan memenuhi tahap-tahap perkembangan dan pembesaran yang normal, seperti ketinggalan dalam aspek pertuturan dan komunikasi, kemahiran dalam pergaulan sosial, kematangan intelek dan emosi, daya tumpuan dan daya ingatan serta sebagainya. Namun, mereka tetap memiliki fungsi IQ dan kepintaran setanding dengan individu normal yang lain.

Akibatnya, timbullah pelbagai tanda gejala masalah yang berlaku dalam proses pembelajaran itu seperti sukar untuk memberi tumpuan dan fokus dalam pembelajaran, menjejaskan daya ingatan, tidak memahami pelajaran yang diajarkan, hilang minat untuk belajar, kerap ponteng sekolah, dan akhirnya terlibat dengan pelbagai gejala sosial.

Dalam hal ini, amatlah tidak wajar bagi sesiapa pun untuk menghukum kanak-kanak tersebut sebagai pemalas dan bodoh. Mereka tidak dilahirkan untuk menjadi pemalas atau bodoh hanya kerana mereka itu bermasalah, lewat atau ter­tinggal dalam proses perkembangan dan pembesaran.

Bukan sesuatu yang mustahil bagi kanak-kanak atau individu bermasalah seperti ini untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Mereka berupaya belajar, berpasangan dan bekerjaya. Apa yang mereka perlukan ialah sokongan semua pihak dan pendekatan yang khusus dengan kaedah strategik dalam membimbing dan mendidik mereka sehingga berjaya.

Memandangkan kes berkaitan masalah pembelajaran ini semakin meningkat, masyarakat dan komuniti perlu berganding bahu bagi meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan dan pendidikan serta peluang kemahiran dan kerjaya untuk masa depan mereka.

Perlu diwujudkan satu pelan strategik ke arah menyeimbangkan di antara peningkatan kes dan tahap kesedaran masyarakat. Kesukaran berkaitan masalah pembelajaran dan tahap perkembangan kanak-kanak dan individu perlu diuruskan bukan sahaja di peringkat keluarga, bahkan melibatkan keputusan politik, masyarakat serta negara.

Pertamanya, kesukaran dalam masyarakat akan terus wujud selagi pertambahan kes itu tidak disusuli dengan peningkatan tahap kesedaran menerusi pelbagai program kesedaran di samping penyediaan prasarana dan fasiliti yang mencukupi bagi golongan ini.

Keduanya, umum mengetahui bahawa masalah pembelajaran dan perkembangan ini bersifat sepanjang hayat. Oleh itu, pe­nyembuhan dan pemulihan bukanlah matlamat utama. Sebaliknya, keupayaan mereka sebagai individu yang efektif perlu dioptimumkan melalui program latihan dan kemahiran diri, yang akan membantu mereka untuk lebih mudah menyesuaikan diri, yang akhirnya akan membantu proses penyembuhan.

Apa yang penting di sini ialah untuk meningkatkan keupayaan mereka untuk terus hidup secara berdikari. Ini bukan mustahil kerana tahap IQ dan kepintaran intelek mereka masih lagi berfungsi secara baik.

Ketiga, memandangkan masalah pembelajaran dan gangguan perkembangan ini bersifat sepanjang hayat, gerakan bersepadu pelbagai agensi perlu diadakan secara berterusan. Empat kementerian utama, iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu berganding bahu selaku pihak yang terbabit secara langsung dengan kelompok individu bermasalah pembelajar­an dan gangguan pembesaran ini.

Memang benar telah banyak urusan kebajikan dan fasiliti berkaitan untuk kebaikan dan kemudahan mereka. Namun banyak juga isu dan persoalan terkini yang perlu diselesaikan. Umpamanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu memperluaskan lagi skop keutamaan penjagaan OKU, bukan sekadar mengeluarkan kad OKU atau mewujudkan satu pangkalan data bagi mengumpul bilangan kes.

Sebaliknya optimumkan data tersebut untuk memantau kemajuan mereka dan menyemak pelaksanaan perancangan pendidikan individu dan kerjaya golongan itu sepanjang hayat.

JKM juga boleh bekerjasama dengan agensi pencari pekerjaan yang sanggup untuk menerima golongan ini sebagai pekerja, sesuai dengan keupayaan masing-masing, setelah mereka tamat sesi pengajian, bagi mengelakkan golongan ini daripada terus terpinggir.

Oleh KHAIRUL AZHAR IDRIS
Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Sumber: Utusan

0 comments: