10 April 2018

Rob Pope Berlari 15,600km Kelilingi Amerika Syarikat

“SAYA mendapat inspirasi untuk melakukan larian solo sejauh 15,600 kilometer (km) ketika menonton filem adaptasi rea­liti, Forrest Gump yang dilakonkan oleh pelakon Tom Hanks pada tahun 1994.

“Forest Gump yang merupakan watak utama dalam filem itu berlari mengelilingi Amerika Syarikat selepas ditinggalkan kekasih dan dari situ saya terfikir tidak mustahil jika aksi tersebut dilakukan dalam dunia realiti,” jelas Rob Pope, 39.

Justeru, pada awal tahun 2016, Pope mencabar dirinya untuk meniru aksi yang difilemkan itu de­ngan berlari secara solo mengelilingi Amerika Syarikat.

Menurut lelaki yang berasal dari Liverpool, England itu, pada mula­nya dia mengakui cabaran tersebut agak mustahil untuk dilakukan ke­rana dia terpaksa berlari sejauh 15,600km hanya dalam masa 409 hari.



Bagaimanapun, siapa sangka, Pope berjaya menyelesaikan misi tersebut biarpun mengambil masa melebih 409 hari seperti yang direkodkan di dalam filem tersebut.

“Sebenarnya saya sendiri ragu-ragu dengan tindakan ini.
“Bagaimanapun, saya ketepikan kesemua perasaan tersebut selepas mendapat sokongan penuh daripada isteri tercinta.
“Sebaik sahaja menghantar notis berhenti kerja, saya terus memulakan misi tersebut,” jelasnya.

Menariknya, Pope mengakui dia langsung tidak menjalani sebarang latihan sama ada dari segi mental mahupun fizikal untuk melakukan misi larian solo tersebut.

Sebaliknya, kesemuanya dilakukan secara spontan.

“Kebanyakan individu akan mela­kukan beberapa siri latihan dan mengambil masa selama beberapa bulan untuk mempersiapkan diri.

“Perkara sebaliknya pula berlaku terhadap saya. Ini kerana, saya mahu menjiwai watak tersebut dan merasai sendiri pengalaman sebenar berlari secara spontan seperti yang ditayangkan di dalam filem tersebut,” jelasnya.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika Pope mendakwa dia sering mengalami kecederaan di bahagian otot ketika awal misi larian tersebut.

Biarpun begitu, Pope tetap tidak berputus asa dan meneruskan misi tersebut sehingga ke saat ini.

Menurut Pope, dia memulakan misi tersebut di Mobile, Alabama, Amerika Syarikat pada awal September 2016.

Bagi menjiwai watak Forest Gump di dalam filem tersebut, Pope juga sanggup memakai baju menyerupai watak utamanya selain membiarkan janggutnya tumbuh panjang.

Menurut Pope, dia berlari sejauh 65km setiap hari sebelum berhenti rehat dan meneruskan semula misi larian tersebut pada keesokan harinya.

“Setakat ini, saya telah melepasi hampir keseluruhan jarak yang sepatutnya ditempuhi ia­itu dengan melakukan larian sejauh 15,248km.

“Setelah 18 bulan berlari, saya hanya mempunyai baki kira-kira 350km lagi sebelum tiba ke destinasi terakhir.

“Ini menandakan jumlah kese­luruhan kilometer yang perlu saya tempuhi adalah sejauh 15,600km sama seperti yang dilakukan oleh watak tersebut,” jelasnya.

Menurut Pope, biarpun menurut pelan awal dia mahu membuat la­rian solo tanpa henti, namun kelahiran anaknya pada awal bulan lalu menyebabkan dia terpaksa menghentikan seketika misinya itu.

“Sekitar awal Februari lalu, saya terpaksa terbang kembali ke Liverpool bagi menyaksikan detik-detik bersejarah kelahiran anak perem­puan kami.

“Bagaimanapun, saya akan kembali semula ke Amerika Syarikat dalam masa beberapa hari lagi untuk meneruskan misi yang tertangguh ini.

“Saya jangkakan misi tersebut berkemungkinan berjaya diselesaikan pada 29 April ini di Forrest Gump Point, Utah,” jelasnya

Kisah Pope kini menjadi buah mulut penduduk Amerika Syarikat lebih-lebih lagi apabila dia mendokumenkan rancangan epiknya itu di media sosial.

Rob Pope, 39, berlari sejauh 65km setiap hari sejak awal September 2016 selepas mendapat inspirasi daripada filem adaptasi realiti Forest Gump yang mana watak utamanya melakukan larian solo sejauh 15,600km mengelilingi Amerika Syarikat.

Tajuk Rencana: Lelaki berlari 15,600km kelilingi Amerika Syarikat
Tarikh Siar: 08 April 2018
Sumber Asal : KOSMO

0 comments: