02 Mei 2018

Hayati Iktibar Surah Luqman

DIKATEGORIKAN sebagai antara surah popular dalam al-Quran, pengajaran terkandung dalam Surah Luqman lazimnya ditujukan buat anak-anak sebagai panduan dalam menjalani hidup bersyariat.

Namun, perlu juga diambil perhatian bahawa, wasiat diturunkan oleh Luqman al-Hakim iaitu seorang ulama pada zaman Nabi Daud a.s. itu juga merupakan panduan terbaik bagi ibu bapa dalam mendidik anak.

Terdapat sembilan rahsia diperincikan dalam Surah Luqman perlu dijadikan panduan bukan sahaja kepada anak-anak malah ibu bapa dalam mendidik anak soleh. Perkara itu katanya adalah:


Bersyukur dan jangan mensyirikkan Allah SWT 
(Ayat 12-13)

Berterima kasih dengan segala anugerah Allah dan sebagai tanda menzahirkan kesyukuran adalah dengan mendekatkan diri kepada-Nya, melaksanakan segala perintah serta meninggalkan larangan-Nya di samping menuntut keredaan Allah.
Manakala syirik atau menyekutukan Allah adalah sebesar-besar kezaliman dan adalah dosa besar. Sentiasa yakin dan meletakkan keagungan serta keesaan hanya kepada Allah.

Berbakti kepada orang tua 
(Ayat 14-15)

Menghargai segala pengorbanan ibu bapa membesarkan, mendidik dan berkongsi segala pemberian dalam membesarkan anak-anak.
Terutama kepada ibu yang bersusah payah menanggung kesakitan sejak hari pertama mengandung sehingga melahirkan anak.

Merasai sentiasa dalam pemantauan Allah (Ayat 16)

Merasakan diri sentiasa diperhatikan oleh Allah akan mengelakkan seseorang daripada melakukan dosa dan maksiat di samping gentar untuk meninggalkan segala perintah kewajipan sebagai mukalaf di muka bumi.

Mendirikan solat (Ayat 17)

Wajib menunaikan solat lima waktu sehari semalam pada waktunya kerana solat merupakan ‘tiang agama’. Meninggalkan solat adalah umpama meruntuhkan agama.
Mendirikan solat sebagai tanda taat dengan perintah Allah demi memperoleh keredaan-Nya
Berani menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran (Ayat 17)

Bermula daripada diri sendiri iaitu melaksanakan kebaikan dan meninggalkan keburukan
* Mencegah keburukan mengikut kemampuan individu iaitu bermula dengan tangan, menegur lidah dan membenci dalam hati

Bersabar (Ayat 17)

Menjadi fitrah kehidupan setiap manusia di muka bumi akan sentiasa diuji. Ujian mampu meningkatkan keimanan seseorang kepada Allah jika ditempuhi dengan sabar dan reda terhadap ketentuan-Nya
Sabar merupakan sifat yang perlu dilatih dengan keikhlasan hati, bukan sekadar ungkapan di bibir

Jangan sombong (Ayat 18)

Tidak berbangga dengan kelebihan dikurniakan sama ada dalam bentuk kekayaan, kebolehan dan anugerah diri terhadap orang lain. Bersifat merendah diri, bersifat peramah dan tidak merendah-rendahkan kekurangan orang lain

Berperwatakan baik (Ayat 18)

Sebaik-baik contoh akhlak adalah perwatakan Rasulullah dan akhlak Baginda adalah daripada al-Quran.

Komunikasi yang diajar cara Rasulullah (Ayat 19)

Merendahkan suara ketika berbicara, cukup sekadar didengari oleh rakan berbual atau keperluan pendengar dan beradab.
Dinyatakan dalam ayat ini bahawa seburuk-buruk suara adalah himar (keldai) kerana suara keldai awalnya mengeluh dan akhirnya melalak.

Rencana Oleh: Mohd. Shah Che Ahmad
Terbitan: 01 Mei 2018 4:00 PM
Sumber Artikel: utusan.com.my

0 comments: