11 Disember 2010
KISAHKU: PERCUTIAN TIGA HARI DUA MALAM
(Gambar Hiasan)
Cuti persekolahan hujung tahun selama satu setengah bulan tentu dirasakan terlalu lama jika tidak diisi dgn aktiviti tertentu yg memberi manfaat. Berada di rumah terlalu lama menimbulkan rasa bosan. Walaupun sebenarnya banyak perkara yang boleh dilaksanakan tetapi suasana di dalam rumah yang terpaksa dihadapi setiap hari menyebabkan kepala mula memikirkan tempat-tempat tertentu yang boleh dikunjungi. Lebih-lebih lagi jika duit di dalam poket didapati lebih daripada mencukupi utk membolehkan kita berada di luar daripada kawasan rumah buat beberapa hari.
Aku teringat salah satu 'point' yang dikemukakan oleh seorang promoter pakej pelancongan yang cuba memujuk aku menyertainya.
“Awak kena bawak anak-anak ni bercuti dan berjalan-jalan. Sebab nanti anak-anak awak semasa di sekolah akan diarahkan oleh guru untuk menulis karangan dgn tajuk seperti ‘Aktiviti saya semasa cuti sekolah’ atau ‘Tempat yang pernah ku lawati’.”
Lalu aku jawab:
"Dia boleh bercerita tentang kampung datuknya yang tak kurang dengan tempat-tempat yang menarik dan bersejarah, dia boleh bercerita tentang aktiviti yang dia lakukan semasa berada di kampung datuk dan neneknya.”
Memang betul pun masa aku bersekolah rendah dulu. Mana ada ayah aku bawak pergi jalan-jalan makan angin. Aktiviti aku semasa cuti ialah berkubang dalam parit sambil menangguk ikan puyu. Kemudian main “combat’ dgn senapang papan buatan sendiri berpeluru terung berembang, main laying-layang dan sesekali melastik burung. Bila cikgu suruh kami buat karangan tentang aktiviti masa cuti, aku pun cerita fasal aktiviti lasak aku tu. Karangan aku diiktiraf oleh guru dan dapat komen bagus.
Sememangnya aku pun mengakui ‘Jauh perjalan, luas pandangan’. Dgn aktiviti makan angin maka kita dpt melihat aktiviti dan suasana di luar tempurung kawasan kita.
Berbalik kepada cerita aku dan promoter pakej pelancungan tadi. Saat dia membuat promosi tersebut memang ekonomi poket aku tak berapa stabil. Pada pendapat aku lebih baik duit yang aku ada aku gunakan utk mengisi minyak kereta dan balik ke kampung. Dan duit selebihnya pula boleh juga aku hulur-hulur kat orang tua aku utk belanja barang dapur mereka.
Masa terus berlaku. Ekonomi poket aku makin stabil. Terdapat pula lebihan yang membolehkan aku melawat ke sesuatu tempat selain daripada kampung halaman aku.
Apabila dimaklumkan kepada anak-anak tentang perancangan untuk bercuti beberapa hari di kawasan tepi pantai, segera mereka menyatakan hasrat dan objektif yang akan mereka capai kelak sepanjang percutian.
“Along nak mandi kolam” Kata Si Along yg berumur 11 tahun. Dia terus bercerita tentang pelampung dan bola yang akan digunakan semasa bermain air di dalam kolam renang.
“Kakak nak buat istana pasir” Kata Si Alang yg berumur 5 tahun. Dia pula bercerita tentang barangan yang nak dibawa utk membina istana pasir.
“Angah nak bawak laptop, utk main game komputer pada waktu malam.” kata Si Angah berumur 8 tahun yang memang gila 'game' komputer. Orang ajak bercuti di tepi pantai pun dia masih lagi terfikir fasal komputer.
“Umi nanti nak shopping nak cari kain, beg dan kasut.” Kata ibu kepada anak-anak aku menyatakan objektif percutiannya.
Dua orang lagi anak aku yang masih belum mengerti apa-apa riang bergelak-ketawa bermain sesama sendiri.
Objektif aku pulak semata-mata nak jadi ‘driver’ bawa anak-anak bercuti dan hajat aku nak berehat menyedut udara segar laut dan tidur dengan udara segar penyaman udara chalet. Masa terluang nanti aku nak layan novel.
Sampai harinya maka kami sekeluarga pun memulakan program percutian kami di pantai Balok. Jadual aktiviti dirancang dalam kepala dan dinyatakan secara lisan semasa dalam perjalanan. Petang itu kedatangan kami ke chalet tempat kami menginap disambut dengan hujan renyai-renyai musim tengkujuh. Kami hanya sempat melihat-lihat pantai dari jauh sebelum bergegas masuk ka chalet kerana hujan semakin lebat.
Memandangkan hari semakin gelap, maka agenda yang dirancangkan utk petang itu terpaksa ditunda ke hari esoknya. Anak-anak semua berazam untuk bangun awal pagi esok untuk aktiviti mandi di kolam renang dan bermain pasir.
Malam itu, selepas makan malam Along dan Angah mengisi masa terluang dgn aktiviti bermain game daripada laptop. Yang lain-lain layan tengok TV. Aktiviti bermain permainan komputer memang sangat mengasyikkan. Mereka berdua terus-menerus bermain tanpa menghiraukan masa yang berlalu selagi peringkat tertentu dalam permainan tersebut belum dicapai. Oleh kerana malam terlalu larut, jam pula menunjukkan hampir jam 1 malam, maka aku arahkan mereka tidur. Apabila mereka enggan, maka terpaksa aku tutup laptop tersebut, cabut bateri dan wayar pengecas (charger atau adapter). Aku sorokkan semua barang-barang tersebut agar mereka tidak bangun pada tengah malam menyambung permainan di saat kami semua lena diulit mimpi.
Cuaca pagi itu agak baik. Tetapi keadaan yg sangat dingin amat sesuai utk terus berselubung dalam selimut. Jam 9.00 pagi aku kejutkan mereka semua utk makan pagi seterusnya melaksanakan agenda yang tertunda semalam. Nampaknya selimut mereka terlalu berat utk diangkat. Mereka terus dengan agenda mereka iaitu melingkar sehinggalah jam menunjukkan jam 1.00 tengah hari. Aktiviti mandi kolam dan bermain pasir ditunda lagi.
Agenda petang itu selepas makan tengah hari ialah menyusur sepanjang persisir sungai di benteng medan selera Kuantan.
Bagaimana dgn program mandi di kolam renang dan bermain pasir? Petang itu cuaca baik sekali. Maka program selepas solat asar lebih kurang jam 5.00 dimulakan dgn mandi air laut dan bermain pasir. Ombak laut memukul sgt deras dan angin laut bertiup kencang. Aku melarang mereka daripada berendam di kawasan yg lebih dlm disebabkan keadaan ombak yg kuat.
Saat waktu menghampiri senja, aku bawa mereka ke kolam renang pula. Masa dirasakan terlalu pantas berlalu. Mereka merungut sbb mereka belum lagi menggunakan pelampung semasa berendam juga belum lagi bermain bola sambil mandi.
Sepanjang perjalanan menuju ke chalet, azam sbg mana semalam utk bangun pagi dinyatakan sekali lagi. Bagaimanapun apa yang berlaku pagi berikutnya seakan ulangan peristiwa pagi sebelumnya. Cuba teka apa yg terjadi pada pagi berikutnya?
Bagaimana pula objektif emak kepada anak-anak aku? Dah pasti ianya juga terlaksana. Jika tertangguh objektif yg satu ni, saya yakin tentu ada org yg tak lena tidur dan tak nak balik ke Temerloh. Maka program malam itu ialah malam melawat Mega Mall. Saya dan anak-anak singgah di salah satu bangku yg terletak berhampiran KFC. Di situ aku duduk melayan anak-anak sambil menghitung jumlah pengunjung yg terdapat di situ malam itu. Juga menonton gelagat mereka terutama pengunjung remaja. Emak kepada anak-anak aku pergi menjamu mata mencari barang-barang yg ingin dimilikinya bersama anak perempuan aku Alang. Setelah hampir 2 jam aku terconggok di bangku tersebut, emak kepada anak-nak aku pun muncul dgn menjinjing beg plastic yg berisi barang idamannya.
Tengah hari di hari berikutnya kami berangkat pulang. Pada pendapat kami, segala aktiviti yang kami rancang telah berjaya dilaksanakan. Dengan kata lain semua objektif percutian tercapai. Objektif yang paling berjaya pada pandangan mata aku, adalah objektif membuat tahi mata.
Sesuatu yg tidak terduga berlaku selepas beberapa hari percutianku. Bukan anak-anak aku yg terpaksa menulis karangan atas arahan guru tentang percutian mereka. Tetapi aku pula yang bersusah payah mencoretkannya.
Tiada sesuatu apa pun yang menarik daripada coretan ini. Mesej yang disampaikan di sini ialah sesuatu peristiwa yg dianggap biasa pada seseorang adalah dianggap menarik bagi individu yang lain. Begitu juga dgn agenda percutian. Ia sesuatu program yang memenatkan bagi ibu-bapa lebih-lebih lagi dalam pengurusan anak-anak yang belum boleh berdikari. Diikuti pula dengan timbunan pakaian yang terpaksa dicuci, dijemur dan dilipat sebaik pulang ke rumah kelak. Semua tugas-tugas ini melemahkan segala urat saraf di seluruh badan.
Bagaimanapun aku amat berpuas hati kerana dapat membawa kegembiraan kepada mereka. Pada mereka berendam di dalam air sangat menyeronokkan. Berlari-lari di tepi sungai sepanjang benteng medan selera Kuantan amat menggembirakan. Lepak di Mega Mall sambil makan ais-krim sangat mengasyikkan. Tidur berhimpit-himpit beramai-ramai di bilik chalet sangat menyeronokkan. Mandi air panas di bilik air chalet amat mengujakan. Bagi mereka itu semua suatu pengalaman yang berharga. Segala pengalaman percutian sebegini memang tidak pernah ku lalui ketika aku seusia mereka. Aku harap suatu hari nanti saya dapat membaca karangan mereka tentang percutian yang pernah mereka lalui.
Beginilah serba sedikit catatan kisahku. Coretan tentang segala masam, manis dan payau percutian.
Catatan: Sesetengah peristiwa dari catatan ini telah difiksyenkan dan diubahsuai oleh penulis.
Labels:
Masam Manis Payau
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan