25 Mei 2011

Sekolah Integriti Untuk Pesalah Juvana

Adakah anda pernah mendengar sejenis sekolah yang diberikan nama Sekolah Integriti? Apakah Sekolah Integriti itu? Untuk siapakah sekolah ini diwujudkan. Ikuti keterangannya menerusi artikel yang berikut ini.



SEJAJAR dengan slogan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), 'Pendidikan untuk Semua', Kementerian Pelajaran tidak mengenepikan pesalah Juvana untuk mendapatkan pendidikan seperti rakan mereka di sekolah biasa.

Menyedari pentingnya pendidikan untuk semua, kerajaan menubuhkan sekolah integriti, institusi pendidikan untuk pesalah juvana pada 2008. Penyediaan kemudahan itu sebagai usaha menjana modal insan tidak kira tempat mereka berada atau tahap umur pelajar.


Sekolah integriti untuk pesalah berusia 21 tahun ke bawah ditempatkan dalam kawasan penjara biasa tetapi semua kemudahan diasingkan daripada banduan lain.

Sekolah berkenaan beroperasi di Sungai Petani, Kedah; Kajang, Selangor; Kluang, Johor; Marang, Terengganu; Kota Kinabalu, Sabah; dan Kuching, Sarawak.

Ketua Unit Pendidikan, Ibu Pejabat Penjara, Shamsuddin Mustapha, berkata kini ada 89 guru bertugas di enam sekolah integriti dan tiga Sekolah Integriti Henry Gurney.

Selain itu, beliau berkata, Bahagian Pendidikan Khas, bertanggungjawab mentadbir Sekolah Henry Gurney yang ditubuhkan lebih awal dan kini ditukar nama iaitu Sekolah Integriti Henry Gurney Telok Mas, Melaka (lelaki dan wanita) serta Sekolah Integriti Henry Gurney Keningau, Sabah.

“Guru berkenaan bertanggungjawab mendidik 753 pesalah juvana berusia antara 14 hingga 21 tahun tetapi kebanyakan mereka berusia 17 hingga 19 tahun,” katanya ketika ditemui di Penjara Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Shamsuddin berkata, sekolah integriti menggunakan kurikulum sama dengan sukatan pelajaran sekolah biasa dan mempunyai kemudahan sama di sekolah luar penjara iaitu bilik darjah, makmal komputer, padang atau gelanggang sukan, surau dan bilik guru.

Beliau berkata, pesalah juvana yang sudah disabitkan kesalahan atau masih ditahan reman yang baru dimasukkan ke mana-mana sekolah integriti akan menjalani proses orientasi selama 14 hari.

Tempoh ini katanya, bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan suasana sekolah dengan bimbingan agama untuk pelajar Islam, kawat dan disiplin diri.

“Selepas itu, mereka ditemubual penyelia penjara, guru dan kaunselor untuk menilai tahap akademik atau kecenderungan mereka sebelum disalurkan ke aliran akademik, kemahiran atau pendidikan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Komandan Sekolah Integriti Kajang, Ketua Inspektor Noor Alang Wangsa Mohamad Nor, berkata sekolah itu mempunyai 226 pelajar termasuk enam dalam pendidikan tinggi, iaitu menyambung pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dengan OUM.

Katanya, kebanyakan pesalah dan tahanan reman itu melakukan kesalahan samun, merogol dan bergaduh serta bergaduh dengan senjata.

“Hanya segelintir daripada mereka disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Senjata Api atau Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh atau kesalahan bersabit dadah,” katanya

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
Sumber: BHarian

Baca juga artikel:
1. Pengalaman ‘Belajar’ Di Penjara
2. Cabaran Mengajar Di Sekolah Integriti Kajang

0 comments: