Nuff Atas

16 Jun 2011

Sayangi Buah Pinggang Anda!



SATU dalam 10 orang dewasa di dunia menghidapi masalah ginjal atau buah pinggang. Anda juga tidak terkecuali daripada risiko itu kerana penyakit buah pinggang merupakan pembunuh senyap lantaran tanda-tanda dan gejala-gejala yang berkaitan dengannya hanya muncul di peringkat akhir.

Walaupun penyakit buah pinggang atau ginjal adalah penyakit paling kerap dihidapi dan berbahaya namun ia masih boleh dirawat.


Bersempena Hari Ginjal Sedunia yang disambut pada 10 Mac setiap tahun, Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah menganjurkan sesi pemeriksaan kesihatan percuma khusus untuk orang ramai di AEON Jusco AU2, Setiawangsa 12 Mac 2011.

Dengan membawa tema ‘Lindungi Buah Pinggang Anda, Selamatkan Jantung Anda’, sesi pemeriksaan itu bukan sahaja memberikan peluang orang ramai mendapatkan pemeriksaan percuma, malah mereka turut berpeluang mendapat khidmat nasihat daripada pakar-pakar buah pinggang yang hadir sepanjang program berlangsung.

Menurut Ketua Jabatan Nefrologi HKL, Datuk Dr. Ghazali Ahmad Kutti, kebanyakan orang awam sebenarnya tidak menyedari bahawa penyakit buah pinggang dan penyakit jantung adalah saling berkaitan.

“Jika seseorang itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang, risiko pesakit itu menghidap penyakit jantung adalah tinggi sekiranya ia tidak dikawal.

“Oleh itu, pemeriksaan kesihatan sebegini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada orang ramai untuk memastikan bahawa mereka mempunyai dua belah buah pinggang yang boleh berfungsi dengan sihat dan baik.

“Pada masa yang sama dapat memastikan bahawa mereka tidak mempunyai faktor-faktor yang boleh meningkatkan kemungkinan mendapat penyakit buah pinggang,” kata beliau.

Melambatkan kesan

Tambah Ghazali, perkembangan penyakit buah pinggang boleh dilambatkan atau dihentikan jika ia dapat dikesan lebih awal.

“Pada 2007, lebih 21,000 orang rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang tahap 5, iaitu tahap paling serius yang memerlukan mereka menjalani dialisis atau pemindahan buah pinggang.

“Namun, proses dialisis adalah satu proses yang tidak produktif selain menelan belanja yang besar kerana seorang pesakit itu perlu membelanjakan sebanyak RM25,000 hingga RM30,000 setahun dan kos ini tidak termasuk perbelanjaan ubat-ubatan,” jelas beliau.

Ghazali memberitahu, seseorang pesakit itu mungkin perlu menjalani rawatan dialisis mereka sepanjang hayat yang pastinya menjejaskan produktiviti kerja.


KAUNTER khidmat nasihat sentiasa penuh dengan pengunjung yang mahu mengetahui lebih lanjut tentang tahap kesihatan mereka.

Dalam pada itu, orang ramai juga berpeluang menambah informasi mengenai penyakit buah pinggang melalui pameran mini yang diadakan.

Antara maklumat menakjubkan adalah mengani kehebatan fungsi organ itu yang mampu menapis dan membersih sehingga 200 liter darah sehari.

Hebat, bukan? Namun, ramai antara kita tidak mengambil peduli terhadap kesihatan organ yang terletak di pertengahan belakang tubuh di bawah rusuk tulang itu sehingga merosakkan fungsinya.

Organ berpasangan berbentuk kacang seberat 150 gram setiap satu itu penting dalam mengekalkan keseimbangan dalaman badan secara tetap. Uniknya, seseorang itu boleh menjalani kehidupan normal walaupun salah satu daripada buah pinggangnya rosak.

Memandangkan penyakit buah pinggang kronik tidak mempunyai sebarang tanda-tanda pada peringkat awal, ujian saringan adalah penting dalam pengesanan awal penyakit ini.

Ujian saringan yang perlu dilakukan adalah pemeriksaan tekanan darah, ujian darah dan ujian air kencing.

Pemeriksaan awal

Oleh itu, ujian dan pemeriksaan awal adalah penting terutamanya jika seseorang itu berumur 60 tahun ke atas atau berada dalam kelompok berisiko tinggi seperti pesakit diabetes, pesakit darah tinggi, ahli keluarga pesakit buang pinggang dan penghidap eritematosus lupus sistemik (SLE).

Tidak ketinggalan juga bagi mereka yang menghadapi masalah batu dalam buah pinggang, kerap makan ubat tahan sakit, akar kayu atau herba dan pernah menjalani pembedahan mengeluarkan satu ginjal.

“Banyak informasi yang dapat diperoleh melalui program sebegini berdasarkan pameran yang diadakan.

“Ia secara tidak langsung dapat menyedarkan orang ramai bahawa penyakit buah pinggang boleh menyebabkan penyakit-penyakit lain jika tidak dirawat pada peringkat awal,” kata seorang pengunjung yang turut sama melakukan pemeriksaan.

Dalam pada itu, Mohd. Zaki Mohd. Tahar, berpendapat penganjuran sambutan Hari Ginjal Sedunia harus diadakan lebih menyeluruh di tempat-tempat awam seperti di pusat membeli-belah bagi menarik lebih ramai orang awam. “Ini peluang baik yang perlu direbut oleh orang awam untuk mendapatkan pemeriksaan percuma tanpa perlu bersesak-sesak dan ke hospital yang jauh dari kediaman mereka,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

2 comments:

Noriz berkata...

ala, kat JB takde ke?
seram gak dgr ni...

armouris berkata...

lagi info tentang buah pinggang di SIHAT SELALU - Kegagalan Fungsi Buah Pinggang