11 Jun 2012
Hipnosis, Rawatan Separa Sedar
HIPNOSIS atau dikenali sebagai hipnoterapi atau cadangan hipnotik adalah keadaan separa sedar atau bersawai. Dalam situasi ini, anda memperoleh fokus, tumpuan dan kekhusyukan dalaman yang tinggi.
Dalam keadaan hipnosis, biasanya pesakit merasa tenang dan aman. Pesakit juga sangat menumpu pada fikiran tertentu, memori, perasaan atau sensasi secara spesifik dalam masa sama menghalang sebarang gangguan luar.
Pesakit juga lebih terbuka berbanding sebelumnya kepada sebarang cadangan. Sehubungan itu, ia boleh digunakan untuk mengubah persepsi, perlakuan, sensasi dan emosi. Hipnosis terapeutik digunakan bagi mempertingkatkan kesihatan dan kesejahteraan pesakit. Ia berbeza daripada hipnosis pentas yang digunakan penghibur.
Biarpun pesakit lebih terbuka kepada cadangan ketika hipnosis terapeutik, pesakit tidak akan hilang kawalan terhadap perlakuan mereka.
Tujuan Hipnosis
Hipnosis bertujuan membantu pesakit memiliki kawalan ke atas kelakuan atau tabiat yang tidak diingini atau emosi bagi membantu mengendalikan pelbagai keadaan kesihatan. Hipnosis tidak dianggap sebagai rawatan atau jenis psikoterapi.
Sebaliknya, hipnosis biasa digunakan bersama jenis rawatan tertentu dan terapi bagi membantu pelbagai keadaan kesihatan termasuk mengawal kesakitan; tabiat merokok; mengurangkan tekanan akibat prosedur rawatan kesihatan dan keadaan kesihatan mental.
Hipnosis juga boleh digunakan bagi menangani alahan; asma; persediaan pembedahan; proses kelahiran; mengurangkan berat badan; mengawal prestasi atlit; rawatan pergigian; menghadapi kemoterapi; masalah kulit dan gastrointestinal.
Pengetua London College of Clinical Hypnosis, (LCCH) Sheila Menon, berkata hipnosis dikategorikan sebagai klinikal kerana sifat atau keadaan hipnosis yang begitu semula jadi.
“Sama seperti ketika memandu kereta apabila fikiran mula menerawang, namun kita masih sedar untuk membelok ke kiri dan kanan, memberi isyarat lampu atau membrek jika perlu hingga akhirnya kita tiba ke destinasi yang dituju.
“Ini adalah antara contoh anda berada dalam keadaan hipnosis secara semula jadi atau dipanggil ‘Waking Hypnosis,” katanya kepada Sihat.
Salah Tanggapan Terhadap Hipnosis
Sheila berkata, bagaimanapun banyak salah tanggapan mengenai hipnosis klinikal terutama seperti yang dipaparkan dalam filem atau televisyen.
“Mereka fikir hipnosis boleh membuat manusia menari seperti ayam atau menyerahkan dokumen penting atau duit dan sebagainya.
“Hakikatnya tiada bukti yang menunjukkan ia meninggalkan kesan negatif sebaliknya pesakit akan merasa lebih tenang dan aman. Seperkara lagi, anda tidak boleh menghipnosis seseorang untuk melakukan sesuatu tanpa kerelaan atau kemahuannya,” katanya.
Sejarah Hipnosis
Jelas Sheila, hipnosis sudah mula digunakan sejak zaman Mesir Purba bertujuan menguruskan kesakitan, insomnia, migrain dan sakit kepala.
Malah, menurut Persatuan Perubatan British, hipnosis klinikal mula popular sejak seabad lalu berikutan ada lebih 7,000 ulasan mengenainya dalam kajian perubatan.
“Ketika LCCH mula bertapak di Malaysia sejak 2006, kita menjalinkan kerjasama dengan Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia dengan menyediakan latihan kepada doktor dan berkolaborasi dengan pengamal perubatan supaya pesakit mendapat manfaat,” katanya.
Sheila berkata, ada empat bahagian yang boleh dimanfaat pesakit dan masyarakat amnya iaitu perubatan, psikologikal, perlakuan dan emosional. Kebanyakan mereka mengalami tekanan dengan paras tekanan di kalangan masyarakat kini dianggarkan mencecah 60 peratus. Pada 1960, paras itu hanya 13 peratus dan ia sudah dianggap terlalu tinggi.
“Dalam dunia sekarang, kita tertekan ke tempat kerja akibat kesesakan lalu lintas, permintaan, desakan dan tuntutan di tempat kerja. Kita juga tertekan kerana cuba mengimbangi di antara kerja dan kehidupan di rumah,” katanya.
Beliau berkata, dengan hipnosis, ia sebenarnya mengurangkan tindak balas terhadap tekanan.
“Bukan itu saja, sistem imun tubuh juga bertambah kukuh dan kesihatan individu juga bertambah baik,” katanya.
Aplikasi Hipnosis
Dalam perkembangan sama, klinik kajian kesakitan di Universiti Malaya (UM) misalnya, merawat pesakit yang mengalami bracial plexus injury yang amat menyakitkan. Rawatan perubatan mahupun tradisional setakat ini tidak begitu berhasil merawat kumpulan ini. Biasanya pesakit mengambil masa dua tahun untuk belajar menguruskan kesakitan dan meneruskan kehidupan. Bukan itu saja mereka perlu berdepan dengan rasa bersalah, masalah emosi, malu, dan pelbagai lagi konflik diri.
Kini, dengan hipnosis klinikal, dalam masa tiga minggu pesakit mampu menguruskan kesakitan. Ini kerana dalam otak manusia ada bahagian yang dikenali sebagai anterior cingulate cortex yang berfungsi mendaftar tindak balas tubuh terhadap penderitaan. Sehubungan itu, dengan hipnosis, fungsi ini boleh dipadam dan ia sangat berkesan.
Sheila berkata, begitu juga halangan yang dihadapi negara dalam memerangi penagihan dadah. Menurutnya, pendekatan baru yang lebih efektif diperlukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sehinggalah ia bekerjasama dengan LCCH untuk mencuba pendekatan hipnosis klinikal.
“Kami mula melatih pakar psikologi dari AADK bagaimana untuk bekerja dan menggunakan teknik hipnosis.
“Malah, buat pertama kalinya, ia dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Perkembangan ini cukup positif dan mengujakan kerana kami membawa sesuatu pengetahuan dari negara asing yang diserap dan disesuaikan dengan keadaan di sini menjadikan ia milik kita dengan pendekatan yang unik dan tersendiri.
“Selain bahasa Melayu, ia juga diterjemah dalam bahasa China dan Tamil,” katanya.
Sheila berkata, ahli psikologis dan kaunselor AADK mula menggunakan teknik hipnosis sebagai salah satu kaedah merawat ketagihan dan hasilnya kadar penagih yang keluar dari pusat mencecah 90 peratus. Penagih sendiri mengakui, jika mereka tahu kaedah ini wujud lebih awal, berkemungkinan mereka tidak perlu melalui peritnya ketagihan.
Hipnosis teknik baru meningkatkan kesihatan, kesejahteraan pesakit
Bagaimana Berfungsi
“Soalnya mengapa hipnosis sangat membantu adalah kerana ketika kita dilahirkan, secara semula jadi kita tahu bagaimana untuk bertenang, dan bagaimana untuk berfikiran positif.
“Sebagai contoh, apabila kanak-kanak bermain bola, setiap kali menendang bola di fikiran mereka bola itu pasti akan masuk gol. Begitu juga ketika bergaduh, mereka pasti menang kerana tidak tergambar di minda yang mereka akan dikalahkan.
“Hipnosis sebenarnya membenarkan minda yang tertekan untuk kembali semula ke sana dan membawanya ke alam kedewasaan. Jadi kita menjadi lebih positif, keupayaan untuk memikul tanggungjawab meningkat, deria kawalan terhadap tekanan juga wujud dan kekuatan emosional lebih seimbang menyebabkan kita mampu menghadapi dugaan hidup dengan lebih mudah,” katanya.
Tahun lalu, kertas kajian terbitan Universiti Harvard menjelaskan, melalui ‘self hypnosis’ iaitu salah satu kaedah yang diajar kepada pesakit dan pelajar, apa yang kita boleh lakukan ialah bukan saja kesihatan keseluruhan bertambah baik, malah mampu memadam penanda genetik yang menjadi punca penyakit berbahaya - ia sebenarnya adalah satu penemuan yang besar.
Berikutan hipnosis klinikal agak baru di Malaysia, LCCH mahu menyediakan latihan berkualiti, enyediakan ahli terapi yang bermutu dan membuka jalan kepada masyarakat untuk menjalani terapi ini.
“Saya juga mahu masyarakat memahami apakah sebenarnya hipnosis klinikal supaya kita punya lebih pilihan.
“Hakikatnya bukan semua orang akan memilih hipnosis tetapi jika kita punya masalah dengan anak-anak atau di tempat kerja, makan terlalu banyak dan mahu mengurangkan berat badan, berhenti merokok atau berdepan kesakitan kita boleh memilih terapi ini,” katanya.
Kes 1
SARA seorang wanita berkerjaya berusia 50-an mula berhadapan dengan masalah tekanan perasaan selepas syarikatnya melakukan perubahan dalam pentadbiran di mana dia kini di bawah majikan baru yang jauh lebih muda.
“Bayangkanlah, usia saya yang semakin menghampiri umur pencen, majikan baru pula mula memotong banyak kelebihan yang diberi selama ini sehingga bajet saya setiap bulan tidak berbaki satu sen pun. Saya sangat tertekan dan kecewa malah sering menganggap diri sebagai si tua yang tidak berguna,” katanya.
Sara berkata, akibat sasa tertekan yang amat sangat, dia pernah hampir meletakkan jawatan.
“Namun saya merasa diri ini masih perlu diberi ruang untuk pulih dan maju tidak kira berapa pun usia. Kemudian saya mendapat tahu mengenai rawatan hipnosis klinikal yang ditawarkan dan mula mendapatkan rawatan.
“Saya sangat terkejut kerana dengan cepat saya dapat mengatasi tekanan yang dihadapi, hinggakan saya merasa kembali tenang dan berkeyakinan. Malah saya merasa lebih muda dan bertenaga. Kontrak kerja saya juga disambung untuk lima tahun lagi. Hipnosis Klinikal ini sangat berkesan,” katanya.
Kes 2
WANITA yang hanya mahu dikenali sebagai Janet ini sudah mengalami masalah kemurungan sejak 12 tahun lalu. Keadaan menjadi lebih kritikal tiga tahun kebelakangan ini sehingga dia perlu mendapatkan rawatan perubatan.
“Disebabkan terlalu kritikal, doktor perubatan saya merujuk kes ini kepada seorang pakar hipnosis. Menerusi rawatan ini, saya diajar bagaimana untuk melupakan semua kerisauan dan kebimbangan yang menghantui saya dan dapat mengurangkan masalah kemurungan.
“Saya belajar banyak perkara mengenai diri saya sendiri dan akhirnya masalah saya berkurangan 75 peratus. Kini saya tidak perlu lagi memakan ubat-ubatan.
Saya bersyukur bertemu dengan kaedah rawatan ini dan kini mampu menjalani kehidupan baru yang lebih bermakna,” katanya.
Oleh Suzan Ahmad
Sumber: BHarian [2012/06/10]
Labels:
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
10 comments:
Hipnosis nih banyak digunakan di negara Barat kan?Kat Malaysia ni tak bape common lagi la..huhu..but, still kaedah nih mmg bagus...:)
salam;
Kaedah ini mirip pada konseling dan temu bual berupa soalan2 yang diajukan pada pesakit..
pernah tengok cara ni kat citer omputih dan kdg2 kat kartun pun ada :)
kenapa x d praktikan di tempat kita?
Salam..koding, tima kasih ea tuk komen 'rumah baru' :)
Hipnosis, memang kat tv selalu kita lihat, lebih2 lgi didalam drama n filem2 dri barat, yg slalunya menggambrkn hipnosis digunakan utk tujuan yg tidk baik.
Smpai disalah erti, sedgkan dri sudut psikologi, ia sbnrnya salah satu cara terbaik merawat jiwa.
Tapi bab2 merawat jiwa ni, org kita plak salu pikir, asal merawat jiwa je, mesti berkaitan penyakit mental,gila, tak waras n sihir..adehh..
Muga pihak berkenaaan berjaya mengembangkan ilmu hipnosis ni dimalaysia..hrp2 boleh dimanfaatkan.
betul sekali, metode hipnotherapy sangat berguna jika digunakan seperti hal yg disebutkan di atas.. dan lebih banyak mengundang manfaat..
ulasan bagus sobat..
bahaya juga hinopsis ni kalau tersalah guna kan
klau salahguna mmg bawa kesan x elok...
Info yang berguna mengenai hypnosis.Siap dengan study case.
Masalah dengan kaedah hypnosis seperti dalam posting ini ialah:
1)Kos untuk satu sesi hypnosis-dalam lingkungan RM250-RM350 untuk satu sesi
2)Jarak antara klinik hypnotis dan pesakit
3)Perlu membuat temujanji
Mcmana nk contact klinik n palate hypnoterapi utk temujanji?
Catat Ulasan