19 Ogos 2011

Diskaun Tol dan Lebuh Raya Tanpa Kenderaan Berat Sempena Aidilfitri

Diskaun Tol Aidilfitri Di 24 Lebuh Raya 30-31 Ogos 2011



Sebanyak 24 lebuh raya bertol di seluruh negara akan memberi diskaun antara lima dan 37.5 peratus pada 30 dan 31 Ogos 2011 sempena Aidilfitri.

Lebuh raya yang terlibat ialah Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura(Linkedua), Lebuh Raya Kulim-Butterworth (KLBK), Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Lebuh Raya Sistem Penyuaraian Trafik KL-Barat (Sprint), Lebuh Raya KL-Karak (KLK).

Lebuh Raya Pantai Timur, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Koridor Guthrie (Guthrie), Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas).

Lebuh Raya Duta Ulu Kelang (Duke), Lebuh Raya Cheras Kajang (Grand Saga), Lebuh Raya Smart, Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuh Raya KL-Putrajaya (KLP), Lebuh Raya Lingkaran Kajang (Silk) dan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE).


Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor berkata Lebuh Raya Latar yang baru dibuka juga telah bersetuju untuk memanjangkan tempoh laluan percuma tanpa tol sehingga 31 Ogos 2011.

"Pengguna Lebuh Raya LDP pula tidak akan dikenakan apa-apa bayaran pada Hari Kemerdekaan bermula 12 tengah malam sehingga 11.59 tengah hari," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan aidilfitri peringkat Kementerian Kerja Raya di Plaza Tol Lagong Lebuhraya Guthrie.

Beliau berkata pemberian diskaun itu adalah sejajar dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara yang baru yang diumumkan bulan lepas iaitu bagi memerangi kos kehidupan yang kian meningkat.

Terdapat beberapa lebuh raya terutamanya yang di luar Kuala Lumpur yang menawarkan diskaun lebih awal bermula pada 28 Ogos ini sehingga dua hari selepas hari raya.

Walaupun lazimnya bilangan kenderaan di jalan raya meningkat dua kali ganda pada musim perayaan, Shaziman berkata beliau yakin keadaan trafik pulang ke kampung pada kali ini akan lebih terkawal memandangkan tempoh cuti yang agak panjang membolehkan jadual perjalanan lebih teratur.

Beliau berkata bagi mengelak kesesakan jalan raya di Pantai Timur, dalam masa empat hari lagi sebahagian jajaran Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Dua akan dibuka.

Tiga laluan akan dibuka iaitu bermula dari Persimpangan Bertingkat Bukit Besi ke Persimpangan Bertingkat Ajil sepanjang 42.4 kilometer, laluan baru yang dikenali sebagai Bukit Payung Spur Road sepanjang 16.3 km dan Persimpangan Bertingkat Telemong ke Persimpangan Bertingkat Kuala Terengganu sepanjang 9.2km.

Shaziman juga berkata bagi keselamatan pengguna jalan raya yang semakin meningkat, Kementerian Kerja Raya telah melakukan beberapa inisiatif termasuk kerja pembaikan di 37 lokasi tertentu di jalan-jalan persekutuan dan di 10 lokasi di lebuh raya pada tahun lepas.

Sumber: BERNAMA

SEMENTARA ITU ............

Kenderaan Berat Dilarang Guna Lebuh Raya Pada 27, 28 Ogos Dan 3, 4 September 2011

Kenderaan yang membawa muatan berat dilarang menggunakan laluan lebuh raya di seluruh negara pada 27 dan 28 Ogos dan pada 3 dan 4 Sept ini sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata larangan itu dikuat kuasa untuk memberi kemudahan kepada orang ramai yang akan menggunakan jalan raya untuk pulang ke destinasi masing-masing sebelum dan selepas sambutan Aidilfitri.

"Keputusan tempoh larangan kenderaan barangan berat telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri bagi membendung kadar kemalangan maut pada musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-13 di sini, hari ini.

Kong berkata larangan itu membabitkan kenderaan yang merangkumi lori balak, lori pengangkut bahan binaan seperti simen, besi, keluli, batu pasir dan tanah serta lori pembancuh simen dan jentera berat termasuk kren.

"Bagaimanapun, ia tidak dikuat kuasakan kepada kenderaan yang membawa barangan sebagai contoh barangan berkaitan perubatan, barang mudah rosak (makanan dan minuman) dan bekalan gas," katanya.

Beliau berkata maklumat terperinci mengenai tempoh perjalanan yang dibenarkan bagi kenderaan tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat ini.

Selain itu, beliau menyeru pengguna lebuh raya mengikuti jadual perjalanan yang dikeluarkan oleh PLUS Expressways Berhad (PLUS) bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Dianggarkan sebanyak 1.4 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya menjelang musim perayaan Hari Raya tahun ini, katanya.

Sumber: BERNAMA

3 comments:

CikTeddyCorner berkata...

ha..bagus kan?snang ckit balek raye..hiho

Tanpa Nama berkata...

lalu jln kampung je.. freee.. haha..

Bawang Goreng berkata...

Tak patut... tak patut...

Yang lebih patut, PLUS bagi diskaun 3 hari sebelum raya dan 3 hari selepas raya... baru kelas bagi diskaun. PLUS dah banyak buat duit, patut patutlah bagi diskaun lebih.

30 dan 31hb BG tak guna PLUS...