10 Ogos 2011

Resepi Teh 3 Layer

Dalam satu majlis berbuka puasa kerana meraikan kehadiran atau lawatan kerja seorang VIP ke tempat aku bekerja, kami telah dihidangkan dengan teh 3 layer ni. Inilah kali pertama aku meminumnya.



Kali pertama melihatnya tak nampak pun rupa macam teh. Ianya lebih kelihatan seolah-olah nescafe. Sehinggalah aku dimaklumkan bahawa air tersebut adalah air teh.

Apabila azan berkumandang menandakan masuknya waktu berbuka puasa, aku pun terus menghirup air minuman tersebut sebaik doa berbuka puasa dibaca. Memang sedap, terasa kemanisannya dan kesejukannya mengalir masuk melalui kerongkongku. Lebih-lebih lagi setelah seharian tekakku kering tidak dibasahi deangan sebarang minuman. Aku minum 2-3 kali sedut dahulu sebagai intro. Aku tak nak minum banyak-banyak. Sebab nanti rugi 'space' dalam perut aku kerana tak dapat nak diisi dengan makanan yang lazat-lazat.


Kemudiannya kami semua terus menuju ke Musolla untuk solat maghrib kerana dalam aturcara dimaklumkan bahawa nasi akan dihidangkan selepas solat mahgrib.

Selepas solat aku kembali ke mejaku. Ternyata amat aku kecewa. Hasrat aku nak kembali menyedut ait teh 3 layer tak kesampaian. Gelas berisi air tersebut yang masih banyak lagi aku tinggalkan kandungannya telah pun diangkat oleh waiter. Yang tinggal hanyalah segelas air sejuk di atas meja.

"Isshhkkkk.... sabar, Sabar!! Bulan Puasa ni!! Biarlah diorang angkat. Tak apa. Tak ke mana sedapnya pun. Sedap tu hanyalah ditekak." kata hatiku memujuk perasaan sendiri.

Sedang memori tersebut masih lagi hangat, tiba-tiba hari ini aku terjumpa resepi untuk membuat air teh 3 layer ni semasa berblog-walking ke blog Oh Malaysia. Aku kongsikan resepinya di sini. Kalau rasa-rasa nak cuba, bolehlah buat sendiri.

Esok kita cari bahan-bahannya. Menjelang waktu berbuka kita tenung lama-lama, lihat betapa cantiknya teh 3 layer tu. Bila masuk waktu berbuka kita kacau minuman tersebut sehingga hilanglah keindahan 3 layer tu. Kemudian apa lagi kita minum sampai habis dengan sekali nafas. heheheee...... (Amaran: Asalkan jangan pulak nanti, sampai putus nafas)

Rasalah nanti, teh 3 layer hasil air tangan sendiri. Tentang rasanya...sendiri-sendiri je lah yang tahu..

Bahan-bahan (2 gelas)

3 ucang teh
3 keping gula melaka
1/2 tin susu cair
Sedikit air
Ais

Cara-cara

Bancuh teh uncang dengan air panas dan biarkan seketika.
Cairkan gula melaka dalam periuk dengan sedikit air. Kacau hingga gula melaka hancur dan sebati.
Masukkan air gula melaka ke dalam gelas dan sejukkan seketika.
Masukkan ais ke atas lapisan gula melaka. Kemudian masukkan susu cair dengan perlahan-lahan.
Masukkan air teh dengan perlahan-lahan. Siap untuk diminum!

Sila kurangkan gula melaka kalau tak suka manis. Boleh juga nak tambah teh uncang supaya lapisan teh lebih pekat

Kredit: Oh Malaysia.

2 comments:

emelyne berkata...

yeahh...tq share....bleh try esok ni....hehehe

HAJAR AZMAN :| berkata...

Nk try laaaa^^