29 September 2011

Lupus Cetakan Ayat Suci Ikut Syariah



Dua guni yang mengandungi bahan cetakan ayat Al-Quran ditemui di kawasan Perindustrian Mergong 2, Alor Setar beberapa hari yang lalu. Bahan-bahan itu ditemui oleh seorang pengurus pemasaran sebuah kilang percetakan di situ yang diletakkan di hadapan pintu pagar belakang kilang tersebut. Mengikut undang-undang, setiap kilang percetakan Al-Quran perlu mempunyai tempat pelupusan sebelum diberi lesen. (Sumber: BERNAMA)

Beberapa hari sebelum itu, sebuah trailer dengan muatan penuh naskhah al-Quran yang dipercayai salah cetak dilonggokkan di kawasan semak berdekatan rumah penduduk Kampung Pak Endeng, Pauh Sembilan, Bachok, Kelantan.

Umat Islam ditegah daripada melonggok atau membuang al-Quran yang tidak digunakan di merata tempat termasuk dalam semak walaupun alQuran tersebut tersalah cetak. Ini kerana perbuatan sedemikian boleh mencemarkan kesucian dan menghina kitab suci itu.

"Islam melarang umatnya menghina al-Quran dengan membiarkan dibuang di merata tempat walaupun ia tidak digunakan lagi seperti kitab usang atau tersalah cetak. Adalah berdosa seseorang Islam tidak menghormati kitab suci al-Quran walaupun ia dalam bentuk tidak sempurna, " katanya Timbalan Mufti Kelantan Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Nik Abdul Kadir berkata Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuaratnya sebelum ini mengambil ketetapan bahawa naskhah al-Quran yang tidak digunakan mesti dilupuskan secara berhemah supaya kehormatannya dipelihara mengikut lunas-lunas Islam.

"Berdasarkan keputusan itu, mana-mana syarikat pencetak yang hendak melupuskan naskhah al-Quran yang tidak digunakan itu hendaklah menggunakan khidmat syarikat pelupusan ditauliah bagi memastikan ia dilupuskan secara terhormat sesuai dengan kesuciannya.

"Bagi orang perseorangan pula hendaklah membakar naskhah berkenaan dan abunya hendaklah ditanam atau dibuang ke sungai," katanya. (Sumber: BERNAMA)


Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-30 yang bersidang pada 22 Aug 1992 telah membincangkan Pelupusan Al-Quran. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak lagi boleh dibaca dan yang bukan resam uthmani hendaklah dilupuskan.
2. Kaedah pelupusan ialah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam ditempat yang dikawal.
3. Kerja-kerja pelupusan hendaklah dipertanggungjawabkan kepada Urusetia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. Dan dilakukan dengan cara tersembunyi demi mengelakkan salah faham orang ramai.

Sumber: eFatwa

Artikel berikut ini bukanlah suatu artikel yang baru. Ia telah disiarkan oleh BHarian pada 19 September, 2010.

Pusat Pelupusan Percetakan Saufi


MESIN insinerator yang dibina khas untuk membakar ayat suci al-Quran.

DIRIWAYATKAN, seorang sahabat menjumpai al-Quran, menyapukan wangian padanya dan menyimpan di tempat tinggi. Bagi sahabat itu, Allah janjikan syurga. Begitu juga Saidina Umar yang terjumpa keratan al-Quran lalu diambil dan diciumnya, Allah memberikan pahala.

Inilah kebesaran untuk mereka yang menjaga serta mengagungkan kalimah Allah yang diwahyukan kepada rasul-Nya, Muhammad SAW, menjadi petunjuk kepada umat sekalian alam, tidak kira bagaimana cara dilakukan. Malangnya, tidak ramai yang tahu cara tepat untuk melupuskan kita suci ini. Kejahilan ramai inilah yang turut mendorong sebuah syarikat tempatan iaitu penerbitan Al-Quran Mushaf Uthmani, Percetakan Saufi menawarkan khidmat pelupusan al-Quran menerusi Pusat Pelupusan Ayat Al-Quran Percetakan Saufi di Batu 10 Cheras, Kajang, Selangor.

Malah, pengalaman Pengerusi Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, menyaksikan sendiri naskhah al-Quran dilonggokkan bersama buku lain di pusat pengumpulan barangan kitar semula miliki bukan Islam, menjadi antara titik tolak kewujudan syarikat itu pada 2008.

“Terkejut dan sedih apabila melihat al-Quran dibiarkan bersepah di pusat kitar semula dan ini menyedarkan saya mungkin ramai tidak tahu bagaimana hendak melupuskan al-Quran. Orang dulu akan bakar tetapi timbul juga persoalan selepas dibakar nak buat macam mana pula?

“Jika ditanam, perlu dipastikan tempat itu tidak di langkah atau abu hendaklah ditaburkan ke laut. Itu yang terlintas di hati saya untuk membantu mereka yang ingin melupuskan al-Quran terutama yang sudah lama dan koyak.

“Selain itu, saya ingin pastikan keagungan ayat Allah dipelihara dan cara saya ialah menyediakan kemudahan mengumpul dan membakar al-Quran supaya umat Islam tidak lagi membiarkan ayat al-Quran begitu saja,” katanya.

Katanya, bahan terkumpul itu kini dibakar secara berkala menggunakan mesin insinerator dan abunya sama ada ditanam dalam telaga khas yang digali di kawasan pengumpulan dan pelupusan atau dihanyutkan di laut di Negeri Sembilan.

Mesin pembakar khas untuk tujuan melupuskan barangan bercetak ayat Al-Quran mengikut prosedur dan syariat Islam iaitu secara pembakaran selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992.

Rahmat berkata, Percetakan Saufi adalah syarikat percetakan yang telah diberi lesen oleh Bahagian Kawalan Penerbitan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekal, mengganti dan mengambil Al-Quran lama bukan Mushaf Uthmani bagi tujuan pelupusan.

Syarikatnya juga mendapat kebenaran Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran untuk membekal dan memulihara ayat suci di sekolah kebangsaan dan sekolah agama di seluruh negara. Syarikat itu turut mengumpul dan melupuskan Al-Quran lama yang disalah cetak dan tidak mendapat kelulusan Lajnah Tashih Al-Quran KDN terutama yang dicetak sebelum 1990, mengandungi perkataan salah dan jika dibaca membawa maksud salah serta mendatangkan dosa.

Kaedah Pelupusan


PROSES memasukkan ayat al-Quran yang sudah diracik ke dalam mesin insinerator melalui pintu utama.

PELUPUSAN ayat suci al-Quran perlu dilakukan dengan tertib dan setiap aspek diberi perhatian teliti termasuk memastikan abu daripada bahan bakar mengandungi kalimah Allah itu tidak berterbangan, bersepah, dipijak atau dilangkah.

Pengerusi Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, berkata proses pembakaran ayat suci al-Quran menggunakan mesin insinerator khas turut melalui peringkat percubaan dan penambahbaikan. Menurutnya, proses pembakaran al-Quran pada awalnya tidak berjaya kerana keadaan naskah al-Quran yang agak tebal.

Selepas itu katanya, timbul idea untuk mencarik al-Quran termasuk kulitnya yang tebal menggunakan mesin pencarik menjadi helaian kecil yang lebih ringan serta terurai supaya lebih mudah dibakar dan menjadi abu halus.

Proses pembakaran dimulakan dengan meracik al-Quran menjadi helaian kecil sebelum dimasukkan ke dalam raga dan dibawa ke mesin insinerator untuk dibakar. Mesin perlu dipanaskan menggunakan gas industri selama empat jam untuk mendapat suhu 600 darjah celsius.

Kertas seberat 300 kilogram dimasukkan pada satu-satu masa ke dalam insinerator melalui dua pintu iaitu pintu utama (berbentuk bulat) jika mesin masih belum panas dan pintu kedua (berbentuk empat segi tepat di bahagian sisi mesin) apabila haba semakin panas.

Kepanasan ruang bakar membolehkan 100 kilogram kertas dibakar dalam masa sepuluh minit dan kemudian abu dibiarkan selama empat jam untuk sejuk sebelum dimasukkan ke dalam bekas menyimpan abu.

Mesin insinerator boleh membakar satu setengah tan kertas pada satu masa dan proses itu memakan masa antara empat hingga lima jam. Keseluruhan proses pembakaran memakan masa lapan hingga sembilan jam termasuk untuk menyejukkan abu.

Rahmat berkata, walaupun nampak mudah, proses pelupusan al-Quran melalui pembakaran itu perlu dilakukan dengan berhati hati kerana tidak ada sehelai kertas tercetak ayat al-Quran atau abu boleh dibiarkan bersepah.

Katanya, pihaknya turut mengupah pekerja untuk mengasingkan kulit tebal dan kertas yang memakan masa serta tenaga kerja, begitu juga untuk mengendalikan mesin meracik bagi memudahkan pembakaran.

Proses pembakaran dilakukan dua kali seminggu atau mengikut keperluan terutama apabila kertas yang sudah diracik semakin banyak.

Selain pengumpulan dan pelupusan al-Quran, Percetakan Saufi menganjurkan program Skim Al-Quran Wakaf Malaysia bagi menggalakkan umat Islam bersedekah melalui amalan wakaf untuk diedarkan kepada pihak memerlukan. Melalui skim wakaf itu, individu atau syarikat boleh menyumbangkan RM30 untuk naskah Al-Quran Mushaf Uthmani yang kemudian diedarkan ke masjid, surau, rumah anak yatim, rumah kebajikan, sekolah dan maahad tahfiz. Mereka yang ingin menyertai Skim Al-Quran Wakaf Malaysia boleh menghubungi syarikat itu di nombor 03-26933049/03-26915184.

Sumber: BHarian

0 comments: