19 September 2011

Tanah Untuk Perwira Di Perak


ZAMBRY bersama Muhammad (kanan) membantu membetulkan kerusi roda diterima Moh Sani pada Persidangan Perwakilan Tahunan 2011, PBTM Bahagian Perak ke-24 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada 18 September 2011. Perak negeri pertama tawar 7,000 lot kediaman percuma kenang jasa bekas anggota keselamatan

IPOH: Perak menawarkan lot kediaman percuma dengan bayaran premium tanah paling minimum kepada pesara tentera dan polis sebagai penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan negara.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri semalam mengumumkan 7,000 lot kediaman disediakan menerusi Projek Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) untuk bekas tentera dan polis, manakala premium tanahnya ditetapkan hanya RM500, sekali gus menjadi negeri pertama berbuat demikian.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata projek itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan 3,700 lot kediaman, manakala selebihnya dilaksanakan menerusi fasa kedua.

“Kita sudah mengenal pasti kawasan seluas 248 hektar di seluruh Perak bagi pembinaan lot kediaman berkenaan. Jika semua perbincangan dan persefahaman membabitkan pelbagai aspek, termasuk teknikal dapat diselesaikan, projek berkenaan akan dimulakan sebelum akhir tahun ini.

“Usaha bagi menjayakan projek ini sudah dimulakan kira-kira 18 bulan lalu dan kerajaan negeri sudah mengenal pasti kawasan berkenaan membabitkan 10 daerah di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan 2011, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Bahagian Perak ke-24 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Hadir sama Presiden PTBM, Datuk Muhammad Abd Ghani; Yang Dipertua PTBM Perak, Leftenan Komander (B) Jayah Said dan Panglima 2 Briged, Datuk Zulkifli Mansor.

Zambry berkata, pemilihan individu layak menerima peruntukan itu akan dibuat PBTM dan keutamaan diberi kepada mereka yang belum memiliki kediaman.

“Perak menjadi negeri pertama melakukan usaha memberi lot kediaman dan pengurangan kadar premium tanah. Kebiasaannya, kadar premium tanah yang dikenakan sebanyak RM3,000, tetapi kita tetapkan hanya RM500 sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa serta sumbangan kepada bekas tentera dan polis yang banyak berkorban demi mempertahankan keamanan negara.

“Justeru, kerajaan negeri kehilangan hasil sekurang-kurangnya lebih RM17 juta dalam bentuk nilai premium tanah,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyerahkan geran hak milik bangunan Wisma Pahlawan kepada PBTM Perak dan bantuan kerusi roda kepada dua bekas tentera Perak, iaitu Moh Sani Odin dan Rosli Adnan.

Pada majlis sama, dua bekas tentera, iaitu Mejar (B) Zainal Arif Abdul Aziz dan Pegawai Waran 1 (B), Nor Wati Pandak Piah turut menerima Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) yang disampaikan Zambry bagi menghargai sumbangan mereka dalam perkhidmatan masing-masing.

Sumber: BHarian

0 comments: