02 Mei 2014

Brunei Laksana Undang-Undang Syariah Mulai 1 Mei, 2014


PELAKSANAAN hukum hudud yang diumumkan Sultan Hassanal Bolkiah (kanan) bakal dilaksanakan dalam tiga fasa.

Brunei Darussalam bakal melaksanakan hukum hudud bermula 1 Mei, 2014 secara berperingkat-pe­ringkat. Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam majlis Deklarasi Perintah Kanun Keseksaan Jenayah Syariah 2013 Fasa Satu di Pusat Konvensyen Antarabangsa, di Bandar Sri Begawan.

“Beta hari ini reda dengan takdir dan bersyukur kepada Allah untuk mengumumkan bahawa Khamis 1 Mei 2014 akan menyaksikan penguatkuasaan undang-undang syariah fasa satu yang akan diikuti fasa-fasa berikutnya," titah baginda.

Menurut Sultan Hassanal, Brunei tidak pernah memandang negatif tindakan pihak-pihak lain untuk memilih pendekatan yang dirasakan sesuai untuk dilaksanakan mereka.




Titahnya, Brunei tidak mengharapkan negara lain bersetuju atau menerima pelaksanaan hukum hudud, namun memadai dengan menghormati keputusan negara ini sebagaimana Brunei menghormati pihak luar.

Perundangan syariah itu bakal diperkenalkan dalam tempoh tiga tahun secara berperingkat-peringkat. Menurut laporan Brunei Times, dalam fasa satu, hukuman yang diperuntukkan adalah denda dan hukuman penjara.

Fasa kedua pula menyaksikan hukuman potong tangan dan sebatan, sementara rejam sehingga mati bakal dilaksanakan dalam fasa tiga.

Kritikan

Walaupun ramai penduduk majoriti Melayu Islam di negara yang mempunyai 400,000 penduduk itu menyuarakan sokongan, undang-undang itu mencetuskan kebimbangan di kalangan ramai penduduk bukan Islam dan membawa kepada kritikan yang jarang dilemparkan oleh pengguna media sosial di Brunei awal tahun 2014.

Sultan bertindak dengan mengarahkan kritikan seumpama itu dihentikan, menyebabkan kebanyakannya mula mendiamkan diri.

Namun pihak berkuasa terkejut dengan reaksi itu, dan undang-undang yang dirancang dimulakan pada 22 April lalu ditangguhkan tanpa penjelasan.

“Teori menyatakan undang-undang Allah kejam dan tidak adil tetapi Allah sendiri menyatakan undang-undang-Nya adil,” kata Sultan dalam komen yang jelas menjawab kritikan.

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Rupert Colville sebelum ini mengkritik pelaksanaan hukum hudud Brunei yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa. Beliau berkata bahawa hukuman seperti rejam diklasifikasikan di bawah undang-undang antarabangsa sebagai “penderaan atau zalim, tidak berperikemanusiaan atau penghinaan kepada layanan atau hukuman.”

Hampir 70 peratus daripada 400,000 penduduk Brunei merupakan penduduk Melayu Islam dengan 15 peratus lagi adalah etnik Cina.

Pegawai berkata, kes Syariah memerlukan bukti amat kukuh dan hakim perlu ada budi bicara meluas untuk mengelakkan hukuman.

Sultan memberi amaran mengenai pengaruh asing yang merosakkan seperti internet dan menunjukkan beliau berhasrat memberi lebih penekanan kepada Islam di negara itu.

Sumber: Utusan, BHarian [30042014]


Sultan Hassanal Bolkiah

Teks penuh titah Sultan Brunei 

Berikut adalah teks penuh titah Sultan Brunei berkaitan pelaksanaan undang-undang syariah di negara tersebut.

Pada 22 Oktober 2013 lalu, beta telah mengumumkan pewartaan perintah kanun hukuman jenayah syariah 2013 maka pada hari ini setelah berlangsung enam bulan beta dengan bertawakal kepada Allah SWT serta bersyukur mengisytiharkan bahawa esok hari Khamis 1 Rejab 1435H bersamaan 1 Mei 2014 adalah tarikh mulanya berkuat kuasa perintah kanun hukuman jenayah syariah 2013 fasa pertama, yang kemudian diikuti dengan fasa selanjutnya.

Tidak berbangkit sama sekali kita menangguhkan sebagaimana yang dinukilkan oleh media. Kita perlu memahami ungkapan enam bulan selepas akta digazetkan di mana sehingga ke hari ini pun ia masih lagi di dalam lingkungan enam bulan tersebut.

Alhamdulilah dengan ini kita mengulangi sejarah perundangan Islam yang pernah diamalkan beberapa kurun terdahulu di negara ini.

Semua itu adalah berkat keazaman kita untuk menolong agama Allah di bumi bertuah ini, Allah telah berjanji untuk menolong kita jika kita menolong agamanya.

Ini pasti berlaku sebagaimana firmannya dalam surah Muhammad Ayat 7 tafsirnya; "Wahai orang-orang beriman jika sekiranya kamu menolong agama Allah nescaya Allah akan menolong dan membela kamu untuk mencapai kemenangan serta menetapkan pendirian kamu dalam membela kebenaran."

Dengan mengembalikan segala pujian kepada Allah maka kewajipan beta dan kewajipan kita semua dihadapan-Nya dalam perkara perundangan sudah pun kita sempurnakan. Tinggal sahaja lagi peranan masing-masing terutama agensi-agensi berkaitan hendaklah melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab, amanah dan berhemah.

Ingatlah fokus kita hanyalah kepada Allah jua, untuk mencari redhanya jua semata-mata bukan melihat ke kiri dan ke kanan untuk mencari-cari siapa yang suka atau tidak.

Kita tidak pernah melihat orang lain dengan kaca mata yang buruk kerana itu adalah hak dan pilihan mereka. Kita juga tidak mengharapkan mereka menerima dan mempersetujui kita tetapi memadailah jika mereka menghormati kita sahaja sebagaimana kita juga menghormati mereka.

Adapun andaian-andaian berupa pelbagai teori adalah perkara lumrah yang tidak pernah berkesudahan, kita tidak boleh berpegang dengan teori yang statusnya tidak lebih daripada teori berbanding dengan apa yang kita pilih adalah tuntutan agama.

Sesungguhnya tuntutan Allah itu bukanlah teori tetapi hukum wajib yang tidak ada keraguan padanya.

Kalau teori mengatakan undang-undang Allah kejam dan tidak adil tetapi Allah sendiri telah menegaskan undang-undangnya itu adil maka di manakah harga teori itu di sini berhadapan dengan wahyu Allah.

Dengan ikhlas kita tegaskan bahawa keputusan untuk melaksanakan perintah kanun hukuman jenayah syariah 2013 ini bukanlah untuk suka-suka tetapi adalah atas dasar mematuhi perintah Allah yang termaktub di dalam al-Quran dan al-hadis. Beta amatlah bangga dan sukacita atas pendirian rakyat dan penduduk negara ini yang telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi termasuk daripada kalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Lebih-lebih lagi sokongan padu turut diambil oleh ahli-ahli majlis mesyuarat negara di dalam sidangnya yang berlangsung baru-baru ini.

Sumber: Utusan [04052014]

Kandungan hudud di Brunei Darussalam

Hukum Hudud telah pun dilaksanakan di Brunei. Berikut ialah kandungan hudud yang dijalankan di Brunei pada ketika ini. Sila rujuk Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

LELAKI BERLAGAK MENYERUPAI PEREMPUAN ATAU SEBALIKNYA 198

(1) Mana-mana lelaki yg memakai pakaian perempuan dan berlagak menyerupai perempuan atau mana-mana perempuan yang memakai pakaian lelaki dan berlagak menyerupai lelaki di mana-mana tempat awam tanpa alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3 bulan atau kedua-duanya sekali.

(2) Mana-mana lelaki yg memakai pakaian perempuan dan berlagak menyerupai perempuan atau mana-mana perempuan yang memakai pakaian lelaki dan berlagak menyerupai lelaki di mana-mana tempat awam untuk tujuan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

TIDAK MEMBAYAR ZAKAT ATAU FITRAH 236

(1) Mana-mana orang Islam yang telah ditaksirkan dengan sah sebagai wajib untuk membayar zakat atau fitrah di bawah Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) dan gagal untuk memperolehi secara rayuan atau selainnya, pembatalan atau pengubahsuaian bagi penaksiran demikian, dengan sengaja gagal untuk membayar zakat atau fitrah tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $8,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

KHALWAT 196

(1) Mana-mana orang Islam yang melakukan khalwat adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(2) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan khalwat dengan orang Islam adalah melakukan kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(3) Dalam bab ini, KHALWAT bermakna:
(a) bersekediaman, bersekedudukan, berkurung; atau
(b) Mengasingkan diri dalam keadaan berhampiran yang mendatangkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan maksiat.

TIDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG JUMAAT 194

Mana-mana lelaki mukallaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dengan tiada uzur syarie atau tiada alasan-alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $200 bagi kesalahan pertama, dikenakan suatu denda tidak melebihi $300 bagi kesalahan kedua, dan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan ketiga atau berikutnya.

TIDAK MENGHORMATI BULAN RAMADAN 195

(1) Mana-mana orang yang memakan atau meminum atau menghisap apa jua tembakau di tempat awam semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

(2) Mana-mana orang yang menjual atau menghidang apa jua makanan atau tembakau untuk dimakan,diminum atau dihisap dengan serta-merta di tempat itu juga, di tempat awam, semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $4,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua- duanya sekali.

(3) Ceraian (2) hendaklah tidak dikenakan kepada mana-mana pengamal perubatan atau mana-mana orang lain yang menghidang apa jua makanan, minuman atau ubat kepada mana-mana pesakit semasa waktu-waktu berpuasa dalam bulan Ramadan yang tanpanya pesakit itu terjejas.

(4) Jika mana-mana orang yang gagal mematuhi ceraian (2) dalam kedudukannya sebagai pekerja kepada orang lain, majikannya hendaklah dianggap telah bersubahat melakukan kesalahan tersebut dan telah menyebabkan kesalahan itu dilakukan oleh sebab subahat itu melainkan dia dapat membuktikan bahawa kesalahan tersebut telah dilakukan tanpa kebenaran, kuasa, pengetahuan atau keizinannya dan dia telah mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk mencegah daripada perbuatan itu dilakukan.

HUKUMAN ZINA 69

(1) Mana-mana orang Islam yang melakukan zina dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid menurut Hukum Syara setelah mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan hukuman hadd seperti berikut -

(a) jika dia muhshan, direjam sehingga mati dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam; atau
(b) jika dia ghairu muhshan, disebat 100 sebatan dengan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam dan dihukum penjara selama tempoh satu tahun.

(2) Mana-mana orang Islam yang melakukan zina dan dibuktikan dengan keterangan selain yang diperuntukan di bawah ceraian (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan :-

(a) jika dia muhshan, disebat tidak melebihi 30 sebatan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 7 tahun; atau
(b) jika dia ghairu muhshan, disebat tidak melebihi 15 sebatan dan dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun.

(3) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan zina dengan seorang Islam dan dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid setelah mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukan di bawah ceraian (1).

(4) Mana-mana orang bukan Islam yang melakukan zina dengan seseorang Islam dan dibuktikan dengan keterangan selain daripada yang diperuntukan di bawah ceraian (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan, dihukum dengan hukuman yang sama sebagaimana yang diperuntukan dibawah ceraian (2).

HUKUMAN ZINA JIKA PESALAH BUKAN MUKALLAF ATAU BELUM MENCAPAI UMUR

BALIGH. (70). Jika mana-mana orang yang bukan mukallaf atau belum mencapai umur baligh melakukan zina dan-

(a) dibuktikan sama ada dengan ikrar tertuduh, atau dengan syahadah sekurang-kurangnya empat orang syahid menurut Hukum Syara setelah mahkamah berpuas hati dengan mengambil kira kehendak-kehendak tazkiyah al syuhud, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum sebat tidak melebihi 30 sebatan dan ditahan di mana-mana pusat pemulihan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun; atau

(b) dibuktikan dengan keterangan selain daripada yang diperuntukan di bawah perenggan (a) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dihukum sebat tidak melebihi 15 sebatan dan ditahan di mana-mana pusat pemulihan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun.

Nilai minimum barang curi untuk kena hukum hudud ialah 1 dinar (4.25g emas)

(A) Jika didapati bersalah (dengan cara pengakuan sendiri atau saksi-saksi yang sah) maka :
* Kesalahan pertama potong tangan kanan hingga pergelangan tangan.
* Kesalahan kedua potong kaki kiri hingga lutut.
* Kesalahan ketiga dan seterusnya - penjara tidak lebih 15 tahun.

Kalau bersalah bukan cara di atas (A) : kena penjara dan denda.

* Sumber : Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah Brunei 2013.
Sumber Online: Utusan [04052014]

0 comments: