20 Oktober 2011

Perbaharui Lesen Memandu Ikut Tarikh Lahir



Pada hujung bulan Julai 2011, aku menonton laporan berita tentang usul agar pembaharuan Lesen Memandu dibuat mengikut tarikh lahir pemegang lesen.

Pada ketika itu, segera aku mencari Lesen Memandu aku. Aku rasa lama sangat aku tak memperbaharuinya. Kebiasaannya aku akan memperbaharui Lesen Memandu aku untuk tempoh yang maksimum iaitu 3 tahun.

”Barangkali Lesen Memandu aku juga telah melepasi tarikh tamat tempoh,” kata hatiku.

Memang betul jangkaan aku. Rupanya telah 3 bulan aku memandu menggunakan lesen yang tidak aktif. Sepanjang tempoh tersebut aku telah meronda ke merata tempat tak kira ke utara, selatan, timur dan barat Semenanjung Malaysia tanpa rasa bersalah.

Mujur hanya 3 bulan dan bukannya 3 tahun. Jika tidak pastinya aku kena buat permohonan rayuan untuk memperbaharuinya.

Tiada siapa yang tahu tentang hal ini sehingga entri ini ditulis, melainkan petugas kaunter Pejabat Pos sahaja.

Pada malam tadi sekali lagi berita yang sama dihebahkan. Tetapi kali ini laporan tersebut mengatakan kaedah ini akan dikuat-kuasakan mulai pertengahan bulan November 2011.

Tak lama selepas laporan berita tersebut, isteri aku muncul untuk memaklumkan Lesen Memandunya telah tamat tempoh melebihi 2 minggu.

”Macam mana ni, takut la pulak nak bawak kereta esok,” katanya resah.

"Apa nak takut, bukannya JPJ tunggu depan pintu masuk pejabat hari esok untuk tengok lesen," kataku sambil tersenyum teringat kisah ku yang dulu.

Kalau dia baca entri ni nanti mesti dia marah sebab aku tak kongsi pengalaman aku tu dengan dia.

Mulai pertengahan November ini, sebaik seseorang mengucapkan 'Selamat Hari Jadi' atau 'Happy Birthday' kita pun segera menyeluk poket untuk mengeluarkan Lesen Memandu dari dalam poket.

"Aku dah renew Lesen Memandu aku laa ....," pastinya dengan rasa bangga sebab tidak lupa dengan tanggungjawab tersebut.

Moral cerita: Inilah akibat daripada memperbaharui Lesen Memandu untuk tempoh yang lama sehingga kita menjadi kurang cakna tentangnya kerana rasa yakin bahawa ia masih lagi aktif.



Objektif: Kurangkan kes pemegang lesen tak aktif, rayuan perbaharui lesen

Mulai pertengahan bulan November 2011, pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) akan dibuat mengikut tarikh lahir pemegang lesen bagi memudahkan mereka mengingati tarikh memperbaharui lesen masing-masing, sekali gus menyaksikan tarikh tamat tempoh lesen sama dengan tarikh lahir.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata inisiatif yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bertujuan mengurangkan kes pemegang lesen tidak aktif dan rayuan untuk memperbaharui lesen memandu tamat tempoh melebihi tiga tahun.

Selain itu, katanya, kaedah baru itu juga alternatif kepada sistem penyampaian notis peringatan dilaksanakan jabatan terbabit.

Pelaksanaan pembaharuan lesen memandu melalui penyelarasan tarikh tamat CDL mengikut tarikh lahir ini akan membabitkan agensi seperti JPJ, Jabatan Pendaftaran Negara, Pos Malaysia dan e-Khidmat, katanya.

Bagi tarikh lahirnya pada 29 Februari, tarikh tamat sah lesen memandu dicadangkan pada 28 Februari dan tarikh pembaharuan pada 1 Mac.

Bagaimanapun, jika pemegang lesen tidak mahu menggunakan tarikh itu, mereka hendaklah memperbaharui lesen memandu bagi tempoh empat tahun berdasarkan tahun lompat yang berikutnya.

Sejajar penyelarasan tarikh tamat lesen memandu, bayaran juga akan diselaraskan melalui dua kaedah iaitu bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir antara 12 hingga 18 bulan termasuk tempoh lanjutan, kerajaan akan menanggung bayaran lesen bagi tempoh lanjutan itu.

Sebagai contoh, bagi tempoh sah lesen sedia ada iaitu 20 Februari 2011 hingga 19 Februari 2012 dan tarikh lahir pemegang lesen adalah 10 Oktober 1980, hanya bayaran RM30 dikenakan iaitu bagi tempoh 20 Februari 2012 hingga 19 Februari 2013.

Baki lanjutan selama lima bulan 20 hari (kurang daripada enam bulan) adalah percuma iaitu antara 20 Februari 2013 hingga 10 Oktober 2013.

Cho Ha berkata, bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir antara 19 hingga 24 bulan termasuk tempoh lanjutan, mereka perlu membayar untuk lanjutan tempoh melebihi enam bulan tetapi kurang daripada 12 bulan.

[Kerajaan akan menampung kos perbezaan tempoh pembaharuan lesen dan tarikh lahir dengan tempoh maksimum selama enam bulan, manakala bakinya perlu dibayar pemegang lesen memandu.

"Sebagai contoh, jika tarikh tamat tempoh lesen pada 20 Februari 2011, manakala tarikh lahir pemegang lesen adalah 19 Oktober tahun sama, pemegang lesen hanya membayar bagi tempoh tiga bulan kerana tempoh antara 20 Februari hingga 20 Julai (enam bulan) akan ditanggung kerajaan," katanya.(BHarian)]

Kadar bayaran lesen memandu masih RM30 setahun, katanya.

Sumber: BHarian

2 comments:

ch000tz berkata...

macam2 lah....habis yang revew lesem utk 3-5tawhun tu cnner lak

Ayien Ocaca berkata...

yien xpenah amik thu psl lesen yien tau...aishhh