14 November 2011

Haruman Merangsang Jejaka



Minyak wangi terbit aura

ANDA tahu bau kegemaran anda, tetapi mungkin kurang arif asal usul minyak wangi yang menjadi pelengkap kepada penampilan. Tahukah anda ekstrak tumbuhan sebenarnya adalah antara bahan yang terpenting dalam penghasilan minyak wangi sejak beribu tahun dulu?

Antaranya, sumber yang banyak digunakan adalah tumbuh-tumbuhan seperti kulit kayu, bunga-bungaan, buah-buahan, daun, biji dan kayu hutan.

Minyak wangi yang dipakai juga acap kali dikaitkan dengan personaliti sama ada lelaki atau wanita. Sebagai contoh bau yang berunsurkan kayu mencerminkan individu menggemari sesuatu yang lasak dan berdikari berbeza pula dengan wangian dari rangkaian Citrus menampilkan si pemakai yang lebih aktif dan segar.

Wangian yang disembur pada tubuh juga sebenarnya terbahagi kepada beberapa kategori yang terbahagi kepada haruman lembut, romantik, seksi, aktif, segar dan elegan bergantung kepada minat serta keserasian empunya diri.

Pemilihan minyak wangi yang bersesuaian juga dikatakan mampu melahirkan aura tersendiri buat si pemakai.

Bagi eksekutif pengiklanan syariat swasta, Muhammad Haris Remash Pillai Abdullah, berkata dalam soalan pemilihan minyak wangi beliau lebih menggemari haruman semula jadi dan tulen berbanding haruman keras menyucuk hidung.

"Saya suka haruman yang tidak terlalu keras dan lebih menggemari minyak wangi yang baunya ekslusif dan lazimnya memilih koleksi pertama sesuatu jenama itu. Pada saya koleksi pertama yang dikeluarkan sesuatu jenama itu lebih unggul dan berbeza baunya, ia juga lebih memikat dan menguatkan lagi penampilan individu.

"Begitu juga dengan haruman wanita bau yang klasik dan asli menarik perhatian saya. Bagaimanapun, saya kurang senang dengan bau yang kuat atau keras," katanya.

Pekerja sektor perkilangan, Zulkifli Mustapha, 30, beliau tidak mementingkan pemakaian minyak wangi menjelaskan dirinya kurang cerewet mengenai haruman yang disembur pasangannya.

“Selalunya dalam soal pemilihan minyak wangi, saya serahkan pada isteri untuk melakukannya memandangkan saya kurang tahu koleksi haruman di pasaran. Apapun, haruman yang disembur isteri lazimnya membuatkan saya senang dan selesa,” katanya.

Kakitangan kerajaan, Mohamad Hafis Mohd Shahar, 28, memilih haruman yang segar dan berunsurkan kayu memandangkan kesan semburan selalunya menggoda dan mencerminkan sifat elegan serta mewah.

Bagaimanapun, jika dia ingin menghadiahkan haruman buat insan istimewa, beberapa proses penilaian akan dijalankan terlebih dulu supaya haruman itu benar-benar bersesuaian dan tidak memberikan kesan yang kurang menyenangkan.

"Pada pendapat saya, haruman yang dikenakan seseorang wanita perlulah bersesuaian dengan dirinya kerana pilihan yang betul, kehadirannya mampu menarik perhatian ramai.

"Pilihan minyak wangi yang bersesuaian dengan empunya diri bukan saja mampu menghasilkan bau yang enak pada kulit, malah dapat meninggalkan memori terhadap persekitarannya."

"Haruman wanita yang seksi dan elegan amat menarik deria saya. Namun tidak semua wanita mampu mengenakannya haruman sedemikian memerlukan wanita personaliti menarik dan keyakinan tinggi," jelasnya.

Mohd Hafis juga memberitahu beliau tidak suka pada bau berunsurkan kesegaran serta dedaun seperti lavender.

Di samping lelaki, wanita juga mempunyai cita rasa tersendiri terhadap wangian yang di gunakan jejaka dan ia lazimnya memberikan persepsi tersendiri di kaca mata mereka.

Wartawan, Nuradzimmah Daim, 30, pula berkongsi pendapat yang berbeza, katanya jika menghadiahkan wangian, beliau akan membeli mengikut cita rasanya tersendiri dan tanpa mengutamakan kesesuaian personaliti.

Memperjelaskan pendapatnya, Nuradzimmah memberitahu beliau sendiri cintakan haruman berunsurkan citrus. Baunya yang segar juga enak jika digabungkan dengan minyak wangi yang mengandungi campuran flora terutama untuk koleksi minyak wangi lelaki cuma ia sukar ditemui di pasaran.

"Apa pun, berbalik pada soal pemilihan saya biasa saya pilih mengikut cita rasa dan bau minyak wangi tu sendiri sebaliknya bukan personaliti. Ini kerana minyak wangi yang disembur ke tubuh akan memberikan kesan pemakaian berbeza bila bercampur dengan peluh dan tindak balas itulah yang menjadikannya lebih menarik,” jelasnya.

Kerani, Nur Sri Wahyuni Amri, 23, berpendapat haruman yang lembut adalah tarikan buatnya dan beliau kurang selesa dengan pemilihan haruman yang terlalu kuat hingga menusuk hidung dan sering menjadikannya kurang selesa.

“Bau yang lembut juga membuatkan diri ini terasa lebih tenang dan selesa berasa di sisi jejaka hatinya. Tidak dinafikan, sesetengah lelaki sukakan haruman yang semerbak, dari jauh lagi sudah boleh bau minyak wangi yang digunakan.

“Memanglah haruman sedemikian menarik perhatian gadis, namun jika baunya memeningkan kepala, tindakan itu juga boleh menyebabkan wanita cuba mengelak daripada jejaka itu dek tidak tahan mencium minyak wangi yang disembur itu.

Sementara itu, Perunding Kewangan, Noliya Amri, 20, turut berkongsi minat sama, menjelaskan minyak wangi yang melahirkan haruman lembut mencerminkan personaliti lelaki itu yang romantis.

"Lelaki yang memilih minyak wangi berciri-ciri bauan yang lembut menunjukkan dia adalah jejaka yang romantis dan memanjakan. Lantas itu menjadikan pilihan saya,” jelasnya.



INFO: Langkah memilih minyak wangi yang sesuai

1. Ketahui fungsi minyak wangi iaitu daripada jenis Eau de Parfum (minyak) atau Eau de Toilette (semburan).
2. Eau de Parfum lebih bertahan lama berbanding Eau de Toilette.
3. Bau haruman pada botol tidak semestinya sama selepas anda memakainya. Sebaiknya, sembur haruman pada kertas atau di pergelangan tangan untuk mendapat pengesahan.
4. Biarkan beberapa minit untuk mendapatkan bau sebenar meresap lalu dipastikan serasi atau tidak.
5. Sembur minyak wangi pada pergelangan tangan, bahagian nadi dan leher untuk memastikan haruman tahan lama dan merebak.
6. Tidak semestinya haruman yang dipakai orang lain sama kesannya dengan anda kerana faktor biologi dan hormon badan manusia.
7. Hidu biji kopi andai anda ingin segera menghilangkan bau haruman dan mencuba haruman lain.
8. Ada minyak wangi menjanjikan haruman berkekalan sehingga lapan jam apabila disembur. Secara purata kesan bau haruman mampu bertahan empat jam.
9. Akhir sekali, jangan malu mendapatkan bantuan jurujual untuk memperoleh lebih banyak maklumat mengenai sesuatu produk.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
Sumber: BHarian

4 comments:

ch000tz berkata...

Dior addict!

CikEtel berkata...

bagus info ni

nam berkata...

untuk muslimah berwangi hanya sekadar perlu. kn? :) tak pndai pki minyak wangi. hee

Cik tikah berkata...

jadi teruja tgok gmbr perfume. hahaa..