28 November 2011

Pahit Getir Keluarga Komuter

Pelbagai cabaran dilalui apabila berjauhan dengan insan tersayang kerana tuntutan kerjaya



KELUARGA ideal sering dilihat duduk di bawah satu bumbung dan pasangan akan sama-sama memikul tanggung jawab menguruskan hal ehwal rumah tangga serta melihat anak membesar di depan mata.

Bagaimanapun, dalam merancang hidup berumah tangga tidak semua pasangan dapat mengecapi suasana seperti itu. Lazimnya, demi tugasan atau mencari rezeki ada pasangan terpaksa berpisah dan berjauhan dengan keluarga.

Berada jauh depan mata dengan orang dikasihi tidak dinafikan, memberikan pelbagai cabaran dan dugaan. Bukan saja dibaluti perasaan rindu untuk bertemu dan ingin berada di sisi dengan insan disayangi tetapi turut dibebani dengan kos tinggi apabila perlu berulang alik, dihimpit pelbagai tekanan dan sebagainya.


Jarang bertemu dan bertentang mata, hanya suara menjadi pengubat ubat rindu, juga tidak mustahil ada kala terdetik perasaan cemburu atau curiga, sekali gus menguji kesetiaan dan kejujuran masing-masing.

Namun, berjauhan juga boleh menyebabkan perasaan sayang antara satu sama lain menjadi lebih kukuh dan membawa beberapa kebaikan lain seperti membuatkan individu itu lebih berdikari, tabah dan menghargai setiap detik yang ada terutama apabila dapat berkumpul serta sebagainya.

Hakikatnya, inilah antara liku-liku cabaran hidup dihadapi dan dilalui keluarga komuter atau turut dikenali ‘keluarga hujung minggu’ iaitu pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan dan mengekalkan dua kediaman dalam lokasi geografi berbeza, biasanya disebabkan tuntutan kerjaya.

Berkongsi pengalaman, pensyarah Universiti Tenaga Nasional, Mohd Rizuan Abdul Kadir, berkata keluarganya melalui kehidupan keluarga komuter sebaik saja selepas enam bulan berkahwin dan ia berlanjutan sehingga ke hari ini, walaupun sudah mempunyai lima cahaya mata.

Mohd Rizuan berkata, antara perit dirasakan ialah masalah kewangan terutama bagi menampung kos minyak dan penyelenggaraan kereta yang tinggi setiap kali berulang alik ke tiga destinasi termasuk ke Kuantan, bandar Muadazam dan Putrajaya.

Malah, katanya, berulang alik antara ketiga-tiga tempat itu adalah antara tempoh paling meletihkan sepanjang melalui kehidupan keluarga komuter kerana perlu mengharungi lebih 100 kilometer setiap kali setiap kali ingin bertemu dengan keluarga disayangi.

Mohd Rizuan juga pernah mengalami dua kemalangan sepanjang hidup berkomuter dan berulang alik bertemu keluarga. Itulah antara ujian dihadapinya.

“Dulu saya bekerja di Kuantan dan isteri bersama tiga anak di bekerja di Putrajaya, manakala anak sulung, OKU yang mengalami masalah pendengaran tinggal bersama datuknya di Muadzam. Setiap kali hendak berjumpa, saya akan pastikan ambil anak sulung terlebih dulu, kemudian barulah ke Putrajaya dan ia sememangnya meletihkan. Kos minyak kereta sebulan saja antara RM1,200 hingga RM1,500 dan jumlah itu belum lagi dicampurkan dengan duit tol dan perbelanjaan lain,” katanya.


Mohd Rizuan berkata, masa yang dapat diluangkan bersama isteri dan anak sangat terhad. Justeru, dalam memikul tanggungjawab dan memimpin keluarga, pendekatan terbaik sentiasa dicari dengan mengutamakan ilmu dunia dan akhirat.

“Isteri saya seorang yang tabah dan sentiasa memberi sokongan. Tetapi tidak semua berjalan dengan lancar kerana ada detik sukar yang terpaksa kami harungi. Misalnya, pernah suatu hari tengah malam isteri menelefon memberitahu anak sakit. Ketika itu anak masih kecil-kecil dan paling bongsu baru berusia empat bulan. Situasi itu menyukarkan isteri membawa anak sakit ke hospital.

“Tiada pilihan, saya minta isteri tunggu di rumah lalu bergegas balik ke rumah yang perjalanannya agak gelap dan mengambil masa tiga jam. Selepas anak mendapat rawatan, jam enam paginya saya pulang ke rumah untuk ke kerja pula. Kejadian itu membuatkan saya dan isteri duduk berbincang serta mencadangkannya berhenti kerja. Isteri hanya berdiam diri, tanda tidak setuju tetapi sejak selepas itu dia lebih berdikari dan berani berdepan dengan situasi di luar jangkaan,” ceritanya yang turut mengharapkan peluang kerja waktu anjal supaya dapat menguruskan masa lebih teratur untuk lebih banyak masa bersama keluarga.

Bagaimanapun, Mohd Rizuan berkata berjauhan dengan keluarga sekurang-kurangnya memberinya ruang memberikan perhatian sepenuh pada kerjaya dan bebas pulang lewat dari tempat kerja tanpa berasa bersalah pada keluarga.

Berlainan pengalaman Pengurus Program Sekolah Amanah LeapEd Services, Nurlida Ahmad yang menjadi keluarga komuter empat tahun lalu selepas 25 tahun mendirikan rumah tangga.

Katanya, bayangkan selama 21 tahun hidup sebumbung dan suami setiap hari balik ke rumah selepas habis berkerja, tiba-tiba mereka sekeluarga perlu berjauhan apabila suami ditukarkan ke daerah lain. Menjadi keluarga komuter menyebabkan segala-galanya berubah dan banyak penyesuaian perlu dibuat semula.

“Tuntutan dan tugas kerja suami pula bukannya senang-senang boleh ambil cuti dan balik ke rumah jika diperlukan. Oleh itu saya terpaksa mengambil alih tanggungjawabnya terutama dalam memberikan perhatian kepada empat orang anak kami. Tugas ini bukan mudah kerana berdepan dengan anak remaja kita perlu mengambil kira perasaan mereka dan mesti terangkan dengan betul, mengapa bapa mereka tiada di sisi. Ini kerana apabila kami terpaksa berpisah, anak benar-benar berasa kehilangan ayah mereka,” katanya yang sentiasa memastikan emosi anak tidak tertekan.

Nurlida berkata, di kala kesunyian ada ketika tertanya-tanya dalam diri, apakah yang dilakukan suami pada waktu malam begitu. Meredakan perasaan, setiap kali selepas solat menjadi amalan untuknya menelefon suami dan tidak hairanlah bil telefon turut meningkat tetapi semua itu tidak diambil kisah.

“Saya faham, bagi lelaki ada masa jitu yang dirinya kesunyian apabila berjauhan. Apa yang dibimbangi, ada perempuan lain ambil peranan atau mencari peluang. Bukan tidak percaya pada suami tetapi perkara boleh berlaku dan apabila difikirkan memang menakutkan,” katanya.

Nurlida turut mengakui, sejak berjauhan dengan suami ada beberapa perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, termasuklah memeriksa telefon bimbit, kereta dan beg kerja suami. Malah, ucapan atau kata-kata manja yang dulunya tidak pernah dilontarkan pada suami, sering diucapkan terutama setiap kali bercakap menerusi telefon.

“Saya tahu memeriksa barangan peribadi suami tidak elok tetapi saya berasa perlu berbuat demikian dan menganggap wanita tidak seharusnya 100 peratus percaya pada lelaki. Apa yang saya buat, setiap kali periksa telefon bimbit suami dan lihat ada nombor pelik saya ambil dan buat panggilan. Tetapi setiap apa yang dilakukan, saya akan beritahu, berterus terang dan meminta maaf pada suami,” katanya.

Namun, pada masa sama Nurlida berpendapat, suami kalau hendak buat perkara tidak baik, tidak perlu berjauhan dengan keluarga sebaliknya boleh lakukannya di depan mata.

Nasihatnya, apabila berjauhan sebaik-baiknya pasangan perlu mengelakkan perkara negatif dan sentiasa mendahulukan anak dalam setiap perkara serta keputusan dibuat. Selain itu pasangan harus fikirkan dalam situasi dihadapi, kedua-duanya berkorban dan perlu mainkan peranan serta tanggungjawab masing-masing.

Anak merajuk apabila tidak pulang



ROZI Muda yang bertugas sebagai Perakaunan di bahagian Kependudukan LPPKN dan sudah beberapa tahun menjadi keluarga komuter turut mempunyai cabaran tersendiri.

Mempunyai empat anak yang berusia satu tahun hingga 11 tahun, sememangnya berat hati untuk tinggal berjauhan tetapi demi tugas dan amanah digalas, perasaan itu perlu ditolak ke tepi.

Rozi yang bertugas di ibu negara berkata, mempunyai anak yang masih kecil isu penjagaan anak menjadi masalah utama. Nasib baik, kakak ipar sanggup berhenti kerja dan ingin membantu menjaga anak mereka bersama isteri di Kelantan.

“Walaupun tinggal berjarak dengan keluarga sebagai ketua keluarga saya cuba kekalkan kemesraan termasuklah mengurat dalam telefon tetapi masalahnya talian di kawasan kampung tidak elok dan sering saja terputus. Namun, setiap hujung minggu jika tiada apa-apa tugasan saya sedaya upaya balik ke rumah, malah sepanjang perjalanan dalam bas lagi saya sudah merancang apa yang hendak dibuat atau cara mendidik anak. Pengurusan keluarga hujung minggu begitu penting kerana waktu bersama kami amat terhad,” katanya turut memberitahu cuti umum tidak sama antara kedua-dua negeri memberikan masa lebih pendek untuk bersama.

Rozi berkata, lazimnya setiap Sabtu anak sudah menunggu-nunggu kepulangannya dan jika tidak pulang, pasti mereka merajuk. Bagi memujuk mereka, Rozi akan membelikan hadiah apabila balik ke rumah pada minggu berikutnya.

“Kalau hendak pulang ke Kuala Lumpur pula, anak paling kecil akan ‘bergayut’ di kaki kerana tidak mahu melepaskan saya pergi manakala anak lain duduk di bucu rumah dan tidak mahu bercakap. Malah, suatu ketika pernah saya menunjukkan kepada anak wajah ketua saya yang muncul di kaca televisyen. Sebaik saja memperkenalkan ketua saya, anak berkata 'itulah - perempuan yang ambil abah', sekalipun saya tidak pernah mengajar anak berkata begitu,” katanya.

Kata Rozi, berpisah jauh dengan keluarga dan biarpun sesekali dapat berjumpa dengan mereka, rasa kesunyian amat hebat dialami walaupun berpengalaman hidup merantau bertahun-tahun seorang diri di luar negara.

Pengakuannya, disebabkan kesunyian dan keseorangan pernah terfikir untuk mencari pasangan lain.

Katanya, mengutamakan kejujuran dalam hidup berumahtangga perkara itu disuarakan pada isteri, tetapi selepas memikirkannya semula Rozi menyedari dirinya tidak mampu bersikap adil lalu melupakan hasrat itu.

“Saya sentiasa percaya kepada isteri tetapi yang dibimbangi, saya tidak percaya pada diri sendiri. Inilah antara dugaan apabila keseorangan dan berjauhan. Sememangnya berada dalam keadaan itu ada waktu tertentu terutama lelaki akan mengalami emosi yang tidak stabil,” katanya.

Oleh Nor Affizar Ibrahim
Sumber: BHarian

0 comments: