13 Mac 2012
Seni Grafiti Bendung Vandalisme
TEBING Sungai Klang di tengah Kuala Lumpur yang sebelum ini suram dan kusam, tiba-tiba berubah menjadi ceria apabila dihiasi pelbagai lukisan yang dilukis di dinding konkrit sepanjang sungai itu. Lukisan grafiti berwarna warni dilukis di tembok sepanjang kira-kira dua kilometer (km) itu memaparkan kreativiti penggiat seni berkenaan sempena Festival Kul Sign yang berlangsung pada 25 dan 26 Februari 2012.
Tempoh dua hari itu bagaikan menjadi milik artis grafiti apabila mereka bebas meluahkan apa jua idea dan pemikiran tanpa batasan.
Festival yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu terbuka kepada penggiat grafiti tempatan secara berkumpulan untuk menunjukkan bakat mereka. Dengan bertemakan KUL Green, peserta yang diwakili maksimum empat ahli dikehendaki melukis lukisan yang berkisarkan cara hidup dan penjagaan alam sekitar.
Tiga peserta akhir akan diberi penghargaan untuk mempersembahkan kreativiti mereka di tembok yang digelar 'Wall of Fame'. Menariknya, lukisan itu akan dikekalkan untuk tontonan umum selama setahun sebagai menghargai hasil kerja mereka, manakala lukisan lain akan dipadam.
Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail berkata, festival ini satu daripada usaha DBKL untuk menjalin kerjasama dan persefahaman dengan penggiat seni grafiti secara konstruktif. Katanya, pihaknya sering berdepan gejala vandalisme dilakukan sesetengah pelukis grafiti yang menconteng dinding kosong, sama ada milik kerajaan mahupun persendirian.
"Keadaan itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa marah pemilik bangunan dan pada masa sama mencacatkan pemandangan bandar raya. Justeru, penganjuran festival ini sedikit sebanyak dapat mengawal gejala vandalisme melalui penyediaan ruang dan aktiviti kepada penggiat seni grafiti," katanya.
Pada masa sama, katanya, ia memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dan mengetahui lebih dekat apa itu grafiti sebenarnya. Hadiah ditawarkan lumayan, di mana juara menerima hadiah wang tunai RM3,000, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.
Kerja lakaran sehingga mewarna, semuanya menggunakan semburan cat.
Ekspresi wajah manusia sering dijadikan ‘subjek’ lukisan grafiti ini.
Hasil karya peserta ini dinilai oleh juri daripada penggiat grafiti profesional tempatan dan luar negara, kurator Balai Seni Lukis Negara dan pihak DBKL.
Grafiti atau lakaran pada dinding adalah perkataan diambil daripada 'graffito' yang berasal dari Itali dan membawa maksud 'lakaran'. Ia satu daripada cabang seni lukisan kreatif yang mempunyai nilai estetika tinggi dan sering dipelopori golongan muda. Grafiti berbeza dengan mural kerana ia menggunakan cat sembur berbanding mural yang dilukis dengan berus dan cat.
Di Malaysia, seni grafiti dikatakan mula bertapak pada akhir 1990-an tetapi pada waktu itu ia lebih dianggap sebagai vandalisme apabila pelukis menjadikan dinding bangunan dan tempat tumpuan awam sebagai medium lukisan.
Sementara itu, juara pertandingan, Ab Hafiz Ab Rahman, 24, berkata dia mengambil bahagian sekadar untuk berkongsi bakat dimilikinya dengan penggiat grafiti lain. Katanya, seni grafiti bagaikan nyawanya dan hidupnya seakan-akan tidak lengkap jika tidak memegang botol semburan cat dan melakukan lakaran.
"Saya mula mengenali seni ini selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana ajakan rakan, dan ketika itu saya sering menjadikan dinding bangunan sebagai 'kanvas' saya sehingga menimbulkan kemarahan pemilik bangunan.
"Oleh kerana terlalu minat seni ini, saya melanjutkan pelajaran dengan mengambil jurusan berkaitan seni grafik untuk mendalaminya," katanya.
Dia kemudian menyertai sebuah kumpulan grafiti tempatan supaya dapat mengembangkan minatnya secara 'halal' dan bermula dari situ banyak perkara dipelajarinya mengenai grafiti secara keseluruhannya. Katanya, tidak dapat dinafikan seni grafiti sering dipandang serong oleh masyarakat dan menganggap ia sebagai vandalisme.
"Saya akui banyak lukisan grafiti ini dilukis di merata tempat sehingga menimbulkan perasaan tidak senang sesetengah pihak, tetapi kebanyakannya dilakukan mereka yang baru berjinak-jinak dengan seni ini. Kanvas kami adalah dinding, tetapi kami tidak ada tempat khusus untuk mencurahkan kreativiti sehingga segelintir melakukannya secara tidak sah," katanya.
Namun, tidak semua lukisan yang dilukis di dinding bangunan itu haram kerana sesetengah pemilik bangunan bersetuju premis mereka dihiasi lukisan grafiti. Katanya, penggiat seni ini biasanya melakukan rundingan terlebih dulu dengan pemilik bangunan sebelum melakukan 'contengan'.
Menurutnya, mereka mahu mewujudkan situasi 'menang-menang' di mana pelukis dapat melepaskan gian untuk melukis dan pada masa sama pemilik bangunan dapat menghiaskan bangunan mereka dengan percuma.
Bercerita kembali mengenai lukisan yang membawa kepada kemenangannya, Hafiz berkata, tema diberi adalah Kul Colours, di mana peserta dikehendaki melakukan lukisan berkisarkan apa yang terlintas di fikiran mengenai Kuala Lumpur.
"Saya cuba lari daripada pemandangan dengan menggambarkan keindahan bandar raya ini ketika waktu malam yang bertajuk KL Nite Life. Saya suka bermain dengan warna gelap yang sering dikaitkan dengan sifat nakal dan jahat, tetapi saya cuba mengubah tanggapan itu kepada sesuatu yang lebih menarik," katanya yang memerlukan kira-kira tujuh jam untuk menyiapkan hasil grafitinya.
Penggiat seni grafiti dari Indonesia, Rivaldy Edywar, 27, berkata jumlah penggiat grafiti di Indonesia jauh lebih besar daripada Malaysia. Namun, katanya, jika dinilai daripada kepantasan seni ini berkembang, Malaysia dan Singapura lebih jauh ke depan.
"Di Indonesia tanggapan grafiti sebagai vandalisme masih lagi menebal, justeru tidak hairan mengapa ia sering dipandang negatif. Malah kerajaan juga tidak memberi sokongan seperti di Malaysia, sebaliknya kami terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri jika mahu menganjurkan pertandingan grafiti," katanya.
Menurutnya, hasil lukisan grafiti di Malaysia dan Indonesia banyak perbezaannya, terutama daripada segi coraknya. Katanya, di Indonesia penggiat grafiti lebih cenderung menulis perkataan yang menggambarkan isi hati mereka, sedangkan di Malaysia lebih banyak melukis wajah atau pemandangan sebagai subjek.
"Di Malaysia, penggiatnya lebih kreatif kerana mereka tidak tertakluk pada lukisan berbentuk perkataan, sebaliknya menyampaikan sesuatu menerusi lukisan yang ada nilai kreativiti. Ini yang menarik mengenai grafiti di Malaysia kerana secara tidak langsung hasil lukisan itu dapat menyerikan lagi persekitaran," katanya.
Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
Sumber: HMetro
Kawal gejala vandalisme
PADA Jun 2010, seorang perunding perisian Switzerland, didakwa di atas kesalahan melukis grafiti di sebuah kereta api metro di Singapura. Republik itu menganggap bahawa perbuatan tersebut merupakan satu jenayah serius kerana sistem pengangkutan MRT negara itu dipercayai menjadi sasaran pengganas di Asia Tenggara.
Tambahan, insiden grafiti itu telah mendedahkan kelonggaran kawalan keselamatan Singapura. Namun, adakah kejadian berkenaan boleh menyimpulkan bahawa seni grafiti tersebut adalah satu vandalisme? Persoalan itu sememangnya mengundang pelbagai perspektif dan tanda tanya.
Ya, tidak dapat dinafikan bahawa wujud sesetengah pihak begitu anti terhadapnya. Pada pandangan mereka, grafiti itu hanya menyemakkan pandangan mata dan merosakkan pemandangan sesebuah kawasan.
Bagaimanapun, tidak kurang juga menganggap ia sebuah seni yang bermesej. Mengapa? Kata mereka, daripada dibiarkan dinding itu putih bersih, alangkah lebih baik ia dicalit dengan simbahan warna dengan lorekan objek-objek yang inovatif.
Ya, pandangan itu ada benarnya. Lantaran itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menganjurkan Festival KUL Sign 2012 bertemakan Greater KL.
FESTIVAL KUL Sign bermatlamat untuk mengawal vandalisme melalui aktiviti grafiti yang digemari oleh remaja Malaysia. Ia dilangsungkan di Dataran Pasar Seni baru-baru ini sekali gus membuka mata banyak pihak mengenai seni grafiti.
Selain mempromosikan ibu kota sebagai destinasi pelancongan, KUL Sign juga merupakan satu landasan terbaik dalam mengawal gejala vandalisme melalui aktiviti grafiti. Festival itu sebenarnya adalah kali kedua diadakan selepas kejayaannya pada tahun 2011 yang lalu.
Selama dua hari berturut-turut, dinding sepanjang Sungai Klang dibanjiri kira-kira 200 pelukis termasuk dari Itali, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Hong Kong dan Sweden. Walaupun hujan membasahi bumi pada ketika itu, pelukis tetap meneruskan karya mereka.
Sementara pengunjung pula tidak berganjak daripada terus menyaksikan sentuhan pelukis yang menterjemahkan seni pelbagai tema.
SENI grafiti mampu dijadikan sebagai bisnes jika kena dengan gayanya.
Cegah musnah laku
Melibatkan diri hampir sedekad lamanya dengan dunia grafiti, seorang anak muda yang disapa sebagai Newba, 29, menyifatkan, vandalisme terhadap seninya sebenarnya merujuk kepada sudut yang positif.
“Biasanya lukisan grafiti kami dilakukan di lokasi yang terbiar dan nampak buruk. Komuniti kami juga melakukan perbuatan laku musnah bukan dengan cara tidak tentu hala kerana lambang ekspresi kami punya maksud yang baik,” katanya yang turut menjadi salah seorang peserta bagi Festival KUL Sign 2012.
Ujar Newba yang sudah meluahkan ratusan karyanya pada dinding dan tembok di merata tempat, seni grafiti tidak harus dipandang enteng.
Dengan tegas dia berkata: “Ia (grafiti) harus dipelajari, bukan sehari dua sebaliknya mengambil sedikit masa. Seni itu juga bukan percuma sebaliknya segala peralatan perlu dibeli oleh si pelukis. Ini bermakna, apa yang dilakukan adalah bertujuan dan bukan sesuka hati.”
Seorang lagi artis grafiti, Haizal Jamil, 27, juga sealiran dan sependapat dengan Newba. Ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu, keprihatinan DBKL sememangnya sangat dihargai.
“Festival sebegini telah memberi ruang kepada artis independent seperti kami menzahirkan seni dan suara kami kerana sebelum ini kita tidak disediakan platform. Lagipun sebenarnya, artis grafiti tempatan sememangnya ramai yang berbakat. Barangkali komuniti kami suatu hari nanti boleh diangkat sebaris dengan pelukis akrilik yang lain,” katanya penuh semangat.
Belajar
Adakah ungkapan yang terpacul hanya syok sendiri? Haizal atau nama penanya, Monche memberitahu, sepanjang dia melukis grafiti di pelbagai destinasi, dia melihat tentang perubahan sikap masyarakat.
“Nampaknya, semakin ramai yang sudah dapat menerima seni ini apabila mereka sudah mula bertanya tentang bagaimana untuk melibatkan diri dan mempelajari grafiti. Ramai juga yang semakin sedar bahawa seni grafiti mampu dijadikan sebagai bisnes jika kena dengan gayanya,” katanya yang melukis grafiti berdasarkan pengalaman dan bukan melalui pendidikan formal.
Seorang pengunjung, Mohd. Nasrul Nazrullah, 24, seperti mengiyakan kenyataan Monche. Pelajar di salah sebuah kolej swasta itu berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk berbuat demikian, namun tidak tahu saluran yang betul. Justeru, kesempatan hadir ke festival tersebut digunakan olehnya untuk bertanya kepada pelukis grafiti di sana.
Rakannya, Maya Mia Zulkarnain, 25, mempunyai dorongan yang sama. Katanya, lukisan grafiti yang menonjolkan imej, perkataan dan motif berwarna-warni menunjukkan kekreatifan si pengkarya.
“Ia bukan contengan kotor dan menjebakkan diri dalam seni ini tidak menunjukkan mentaliti seseorang itu rendah, tetapi adalah petanda bahawa mereka mempunyai idea unik,” katanya yang sering mengunjungi laman-laman web untuk meninjau perkembangan seni itu.
Sebenarnya, senario grafiti di Malaysia dikatakan bermula pada penghujung 1990-an. Ia dimulakan oleh sebuah kumpulan dikenali sebagai PhobiaKlik dan selepas itu popularitinya tersebar secara meluas.
Di Kuala Lumpur, grafiti secara jelas dapat ditonton di Jalan Petaling, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Lebuh Pasar, Jalan Tun Perak dan sepanjang Sungai Klang.
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
Sumber: Kosmo
Labels:
Kesenian,
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
8 comments:
aktiviti sebegini mmg elok diadakan selalu...mmg ramai yang punya bakat tapi tak ada tempat untuk dinyatakan...cantik lukisan mereka.
setelah sekian lama....akhirnya DBKL sedar gak xtvt2 begini perlu ada kalau tidak habis satu KL kena conteng hahaha
graviti tuu yg lukis kt dinding tu ehh ?? hee ~ by the way aktiviti nieh bgus untuk remaja :)
kalau lalu kt area tu mesti teruja tgk lukisan yg terhasil...
shida suka art yg mereka bt nmpak len dr yg len sbb cume gune spray je kan..
creative!!
suka art mereka..kreatif..
patutlah ! haritu, dbkl cat balik kasi 1 kaler aje. rupa2nya bende ni di memprojekkan.
http://alibasyir.blogspot.com/2012/03/kenapa-mood-blogging-down.html
Catat Ulasan