25 November 2011

Panduan Keselamatan Elektrik Ketika Banjir

Musim tengkujuh datang lagi. Hujan yang turun tanpa henti membawa kepada kebarangkalian banjir. Air banjir bukan sahaja berbahaya kepada kebarangkalian lemas kerana arus aliran air yang deras. Malahan air yang bertakung ini juga berbahaya jika terdapat wayar elektrik yang masih lagi hidup di dalamnya memandangkan air adalah pengalir elektrik yang baik.



Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai agar sentiasa mengutamakan ciri-ciri keselamatan dan mematuhi panduan keselamatan elektrik semasa banjir.

TNB menyatakan keadaan hujan dan banjir terdedah kepada bahaya pokok tumbang atau dahan patah yang akan menghempap wayar elektrik.

"Sekiranya keadaan ini berlaku orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri, menyentuh atau mengalihkan wayar elektrik yang terputus dan berada di atas tanah atau di dalam air kerana dawai elektrik tersebut mungkin masih mengalirkan arus elektrik," menurut kenyataan itu.

Sekiranya kawasan kediaman dinaiki banjir, orang ramai diminta segera berpindah dan menutup semua suis utama kediaman dan menyimpan peralatan elektrik di tempat tinggi bagi mengelakkannya ditenggelami banjir.

Elakkan mengguna perkakas elektrik sehingga dipastikan tiada punca atau kabel elektrik terendam di dalam air. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menggunakan sebarang peralatan yang terendam dalam air.



TNB turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh peralatan atau suis elektrik dengan tangan yang basah serta memastikan peralatan elektrik yang terendam dalam air semasa banjir diperiksa dan diuji oleh kontraktor elektrik yang bertauliah sebelum ia digunakan semula.

TNB sentiasa mengawasi keadaan dari semasa ke semasa dan sebarang situasi membahayakan perlu dilaporkan segera kepada Pusat Pengurusan Panggilan TNB di talian 1-5454 atau pejabat TNB berdekatan yang beroperasi 24 jam.

Sumber: BERNAMA 

1 comments:

Pondok Usang berkata...

tu la.. banjir kat thailand pun ramai juge yg terkena arus eletrik..