06 November 2011

Penduduk Dunia Mencapai Tujuh Bilion

Penduduk ketujuh bilion dirai.



Empat bayi yang dilahirkan di India, Filipina dan Rusia pada hari Isnin 1 November 2011 dipilih sebagai simbolik penduduk dunia yang ketujuh bilion.

Pemilihan itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan jumlah penduduk dunia akan menjadi tujuh bilion pada tarikh tersebut.


SETIAUSAHA Lembaga Perancangan India, Arti Kirloskar menyampaikan sijil kelahiran kepada ibu bayi Nargis yang dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion di Mall, India. (AP)

Di negeri Uttar Pradesh, seorang bayi, Nargis dipilih secara simbolik oleh Lembaga Perancangan India sebagai penduduk dunia ketujuh bilion. Pemilihan itu dibuat bagi mengetengahkan masalah pengguguran bayi perempuan di India.

Sebanyak tujuh juta janin perempuan dianggarkan telah digugurkan kerana dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi berbanding janin lelaki.


MARINA NIKOLAEVA mendukung anaknya, Pytor yang dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion di sebuah pusat perubatan di Kaliningrad, Rusia. (Reuters)

Di Filipina, bayi seberat 2.5 kilogram yang dinamakan Danica May Camacho dipilih secara simbolik sebagai penduduk dunia ketujuh bilion. Bayi itu dilahirkan dua minit selepas tengah malam 1 November 2011. Kelahirannya di bilik bersalin Hospital Memorial Jose Fabella di sini mendapat liputan meluas pihak media.

"Bayi ini kelihatan sangat comel," kata ibunya, Camille Dalura sambil meriba bayi perempuannya.

"Saya tidak percaya bahawa dia ialah bayi ketujuh bilion di dunia," katanya.

Bayi berkenaan merupakan anak kedua Dalura bersama pasangannya, Florante Camacho.


BAYI DANICA CAMACHO didukung oleh ibunya, Camille semasa bapa bayi itu, Florante Galura membawa kek selepas anaknya dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion dunia di Hospital Fabella, Manila. (AP)

Pasangan itu bersama bayi berkenaan turut diraikan para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pasangan itu turut menerima hadiah daripada penderma tempatan termasuk biasiswa pendidikan bagi bayi tersebut dan satu pakej bagi membolehkan pasangan itu memulakan perniagaan runcit.

Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu ialah budak perempuan berusia 12 tahun, Lorrize Mae Guevarra yang diisytiharkan bayi keenam bilion di dunia pada 1999.

Seorang bayi bernama Pyotr yang dilahirkan pada pukul 0002 semalam di pelabuhan Kaliningrad, Rusia turut dipilih secara simbolik sebagai penduduk yang ketujuh bilion.

Pemilihan itu turut disahkan oleh perwakilan PBB dalam satu majlis memberikan sijil kepada bayi berkenaan yang dilahirkan oleh ibunya, Marina Nikolaeva.

Namun, di bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, seorang bayi lelaki bernama Aleksandr didakwa sebagai penduduk ketujuh bilion kerana dia dilahirkan pada pukul 0019 pagi semalam, menurut agensi berita Interfax.

Semua majlis itu hanyalah simbolik sahaja kerana tiada kaedah statistik untuk mengesahkan bayi yang manakah di dunia yang sebenarnya penduduk ketujuh bilion dunia.

Sumber: Kosmo

7 bilion bukan sekadar angka

DI MANA-MANA bahagian dunia pada minggu ini, kelahiran bayi dianggap sesuatu yang sangat istimewa kerana mereka merupakan penduduk ke-7 bilion bumi.

Bilangan penduduk bumi mencecah angka tujuh bilion Isnin lalu, cuma 12 tahun selepas ia mencapai enam bilion. Peralihan angka satu bilion itu hakikatnya memberi cabaran yang besar untuk tahun-tahun akan datang.

Bagaimanapun, sesetengah orang bertanya sebesar mana angka tujuh bilion itu?

Kalau ditulis dalam nombor, ada sembilan nombor sifar dalam 6,000,000,000, sama seperti sembilan nombor itu dalam 7,000,000,000.


DUNIA menyaksikan penduduk bumi sudah mencecah angka tujuh bilion pada minggu ini.

Tetapi jika anda mengira semua nombor yang ada di antara enam bilion dan tujuh bilion, ia akan mengambil masa selama 30 tahun atau tiga dekad untuk diselesaikan.

Pada awal tahun ini, cuma ada 140 orang di dunia yang mempunyai kekayaan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM21 bilion), menurut majalah Forbes.

“Nombor itu berada di luar pemikiran harian kita,” kata profesor madya matematik di Universiti Villanova, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), Klaus Volpert.

“Kita mengira hingga angka 10 menggunakan jari tangan dan itulah skala kita. Malah untuk mengira hingga sejuta pun bukanlah satu kebiasaan. Angka yang besar itu membuatkan kita keliru,” tambah beliau.

Ada banyak cara untuk kita membayangkan angka tujuh bilion. Tujuh bilion saat yang lalu ialah tahun 1789. Di Amerika Syarikat, ia merupakan tahun George Washington menjadi Presiden pertama negara itu.

Jika anda membuat tujuh bilion langkah di sepanjang garisan Khatulistiwa, iaitu kira-kira setengah meter bagi setiap langkah, anda boleh berjalan mengelilingi bumi sebanyak 106 kali.

Katakanlah purata ketinggian manusia ialah 1.6 meter. Jika anda menyusun mereka secara menegak, ia akan mencecah kira-kira 1 per 14 jarak matahari atau 27 kali jarak di antara bumi dengan bulan, kata Volpert.

Makanan


KRISIS air di India, negara kedua penduduk paling ramai di dunia, boleh bertukar menjadi krisis kemanusiaan.

Tujuh bilion semut, purata tiga miligram seekor pula boleh menjadi seberat 23,000 kilogram.

Bumi belum sampai ke angka satu bilion penghuni sehingga tahun 1800, menurut Biro Referen Populasi AS, dan mencecah dua bilion pada tahun 1930.

Tetapi dengan kemajuan perubatan moden, ia hanya mengambil masa selama 30 tahun untuk mencatat tiga bilion, 14 tahun untuk empat bilion, 13 tahun untuk menjadi lima bilion dan 12 tahun untuk mencapai enam dan tujuh bilion.


PERTAMBAHAN sisa pepejal seiring dengan peningkatan bilangan penduduk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi dunia akan bertambah kepada 9.3 bilion menjelang tahun 2050.

Pertambahan itu menimbulkan kebimbangan tentang banyak perkara daripada makanan hinggalah ruang untuk tempat tinggal.

Pakar-pakar di National Geographic berkata, tujuh bilion manusia muat untuk bandar Los Angeles di AS yang seluas 800 kilometer persegi – jika kita berdiri dari bahu ke bahu. Mujurlah bumi mempunyai keluasan 149 juta kilometer persegi.

Pertambahan penduduk bermakna lebih banyak proses perbandaran berlaku. Pada tahun 1950, kira-kira 730 juta orang penghuni dunia adalah penduduk bandar.

Ada hampir 3.5 bilion penghuni bandar pada tahun 2009 dan dijangka 6.3 bilion manusia tinggal di bandar-bandar pada 40 tahun akan datang.

PBB juga menganggarkan pertambahan sebanyak 70 peratus terhadap keperluan makanan untuk sembilan bilion orang pada tahun 2050.

Kegunaan air juga dijangka meningkat dua kali ganda. Malangnya, lebih satu bilion manusia sekarang tidak mendapat bekalan air minuman.

Dijangkan bilangan lelaki dan wanita adalah sama. Namun, jangka hayat khususnya di negara maju akan bertambah.

Menurut Biro Perangkaan AS, sekarang terdapat hampir 390,000 orang yang berumur 100 tahun atau lebih, hampir 13 juta berumur lebih 90 tahun dan 1.5 bilion melebihi usia 50 tahun.

Oleh SYALMIZI HAMID dan KUMARA SABAPATTY
Sumber: Kosmo

0 comments: