14 Disember 2011

Blue Train Jepun Di Landasan Malaysia



Kecekapan sistem kereta api di Jepun dan Jerman menjadikan dua negara itu antara yang terbaik di dunia dari segi kelancaran sistem trafik jalan raya. Bagaimanapun senario ini tidak berlaku di Malaysia, di mana pengguna masih memilih kenderaan sendiri daripada pengangkutan awam.

Bagi memastikan penggunaan pengangkutan awam berada pada tahap optimum, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mempelbagaikan pilihan pengangkutan kereta api bagi menarik minat mereka untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam.

Pada 2010, ia beroleh 14 gerabak yang di panggil 'Blue Coach' menerusi sumbangan kerajaan Jepun. Gerabak-gerabak itu sampai di Malaysia pada 9 Dis 2010, menunjukkan tanda perubahan yang positif bagi KTMB.


Teknologi perkhidmatan kereta api di Jepun sememangnya diakui antara yang tercanggih dan termaju di dunia dan sumbangan itu merupakan penghormatan besar kepada Malaysia dan KTMB. Adalah mengkagumkan melihat bagaimana negara matahari terbit ini mengekalkan fungsi gerabak kereta api itu yang telah menjangkau usia lebih 30 tahun.

MALAYAN TIGER TRAIN

Gerabak itu telah diubahsuai selari dengan jata negara ini iaitu 'Harimau Malaya', kata Pengurus Pemasaran KTMB Mohd Noordin Kimi yang ditemubual penulis sempena majlis pelancaran gerabak baru itu oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, baru-baru ini.

"Kami mencadangkan nama ini kerana mengambil konsep gerabak itu yang melalui landasan kereta api di kawasan pantai timur Semenanjung seperti Pahang dan Kelantan, di mana Harimau Malaya mendiami habitat di kawasan hutan itu.

"Di Jepun, ia dikenali sebagai 'Blue Coach' kerana berwarna biru tetapi kami mahu namanya diubahsuai supaya orang ramai mengenali gerabak itu sebagai gerabak KTMB," katanya.

Mohd Noordin yang berkhidmat dengan KTMB 31 tahun, berkata gerabak itu mula dibangunkan oleh kerajaan Jepun pada tahun 1970. Gerabak-gerabak itu masih berada dalam keadaan baik apabila tiba di Malaysia.

"Kita telah melakukan penambahbaikan serta pengubahsuaian yang menelan belanja kira-kira RM7 juta, termasuk menukar ciri-ciri budaya Jepun yang ada pada gerabak itu dan menggantikannya dengan ciri-ciri masyarakat Malaysia," katanya.

Bagaimanapun Noordin berkata beberapa tulisan Jepun yang ada pada dinding gerabak bagi mengekalkan identiti asal negara pembuatnya, dikekalkan.

"Kita masih mengekalkan sebahagiannya (tulisan Jepun) kerana sebagai penghargaan kepada kerajaan Jepun. Tulisan ini mungkin akan ditukar pada masa akan datang, tetapi buat masa ini, kita mengekalkannya bagi membolehkan masyarakat tahu akan asal usul gerabak ini.

BEROPERASI DI PANTAI TIMUR

Menurut Mohd Noordin, 14 gerabak itu yang berbeza daripada gerabak lain yang dimiliki KTMB kerana ia mempunyai ciri-ciri reka bentuk yang lebih lebar dan tinggi.

"Justeru itu, gerabak berkenaan tidak sesuai beroperasi di Pantai Barat Semenanjung kerana landasan kereta api di Pantai Barat mempunyai kabel elektrik untuk perkhidmatan komuter. Amat berbahaya apabila ia beroperasi di sana.

Mohd Noordin berkata harga tiket yang ditawarkan ialah antara RM49 hingga RM150 untuk satu perjalanan.

Rahsia bertahan tiga dekad

BAGI penduduk Jepun, saat menaiki kereta api adalah waktu yang sesuai untuk mereka bermesra dan berbual bersama keluarga dan rakan-rakan sambil mengetahui perkembangan terbaharu.

Sebab itulah, menurut Motoko Ohno, perkhidmatan Blue Train atau dipanggil sebagai hotel bergerak itu benar-benar memberikan suatu perasaan nostalgia kepada masyarakat Jepun sepertinya.

“Kami boleh bersantai dan berbual bersama rakan-rakan. Menikmati bekalan makanan yang dibawa sambil melihat pemandangan di sepanjang perjalanan,” katanya sambil menunjukkan meja kecil yang terdapat dalam gerabak Blue Train.

Di Jepun, perkhidmatan kereta api Blue Train sangat terkenal dan setiap kali waktu puncak seperti cuti sekolah atau musim panas, amat sukar untuk mendapatkan tiketnya.



Blue Train Jepun

Malah, wanita dalam lingkungan umur 30-an itu juga tidak pernah berasa pengalaman menaiki Blue Train di Jepun. Bagaimanapun, dia yang kini bertugas sebagai pengarang majalah bahasa Jepun, Coconut di Kuala Lumpur boleh menaikinya pada bila-bila masa sahaja.

Gerabak Blue Train pemberian kerajaan Jepun kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menyusuri landasan kereta api dari Tumpat, Kelantan ke Woodland, Singapura mulai tahun 2012.

Jalur pengangkutan KTM terbaharu itu diberi nama Kereta Api Malayan Tiger atau Kereta Api Harimau Malaya manakala koc pula dipanggil sebagai 'Blue Coach' atau Koc Biru sempena panggilan kereta api itu di Jepun.

Meskipun gerabak-gerabak pemberian kerajaan Jepun itu sudah pun melangkau usia 30 tahun tetapi pandangan pertama tatkala menaikinya adalah ia masih kelihatan seperti baharu.

Penyelengaraan


KABIN yang selesa. Walaupun memiliki suasana lama tetapi peralatan fizikalnya masih berfungsi dengan baik.

Walaupun memiliki suasana lama tetapi peralatan fizikalnya masih berfungsi dengan baik. Menurut Pakar Operasi dan Penyelenggaraan Koc Japan International Cooperation Agency (Jica), Sadao Arai, faktor utama ia masih dalam keadaan baik adalah dengan menjalankan penyelenggaraan secara berkala.

“Terdapat tiga jenis penyelenggaraan yang dilakukan pihak Jica bagi memastikan ia berada dalam keadaan sempurna dan selamat untuk digunakan,” katanya pada majlis prapelancaran Malayan Tiger di Stesen Wakaf Baharu, Kelantan.

Penyelenggaraan yang dibuat merupakan pemeriksaan setiap hari, sebulan pemeriksaan dan tiga bulan pemeriksaan yang memberi fokus pada bahagian yang berbeza serta tujuan pemeriksaan.

Terang Arai, jika sesebuah kereta api itu sudah lama tidak digunakan, kecekapannya akan merosot atau boleh menyebabkan berlaku kegagalan enjin secara serta-merta.

Jadi, ia perlu diperiksa setiap awal pagi sebelum memulakan operasi. Beberapa bahagian tertentu yang diperiksa adalah seperti enjin dan generator.

Bagi pemeriksaan berkala sebulan dan tiga bulan sekali pula, ia memfokuskan kepada penukaran minyak pelincir, penapis enjin, sistem penyejuk enjin, minyak gris dan banyak lagi terutama bahagian melibatkan enjin.

Untuk bahagian dalaman pula seperti sistem pendingin, bekalan air, sistem pengurusan tandas dan peralatan brek turut perlu diberi perhatian.

Bagi memastikan Malayan Tiger mampu beroperasi lebih lama, Arai mencadangkan supaya setiap empat tahun sekali, bahagian-bahagian penting kereta api dibaikpulih.


AMINUDDIN (empat dari kiri) bersalaman dengan Arai pada majlis prapelancaran KTMB Blue Coach Malayan Tiger Train di Stesen Wakaf Baru, Tumpat, Kelantan.

“Bahagian yang perlu diambil perhatian adalah enjin, generator, pemampat dan sistem brek manakala badannya pula seperti pendingin hawa, kawalan elektronik dan bogi perlu ditukar di antara empat hingga lapan tahun atau mengikut peraturan KTMB,” ulas Arai lagi.

Menurut Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan, pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM6.5 juta untuk membawa 14 unit koc ke Malaysia termasuk belanja mengubah suai kereta api itu mengikut laluan landasan di negara ini.

“Antara ubah suai yang dilakukan ialah pada bahagian bogi kereta api dengan mengecilkannya daripada 1,067 ke 1,000 milimeter,” ujarnya.

Selain itu, beberapa orang jurutera dan pemandu kereta api telah dihantar ke Jepun bagi menjalani latihan menyelenggara dan operasi koc biru.

Sistem elektrik seperti plug, pendingin hawa turut diubah suai mengikut sistem di Malaysia. Aminuddin meletakkan keyakinan bahawa jika koc biru diselenggara secara berkala, ia mampu bertahan untuk 10 hingga 15 tahun lagi.


Blue Train Jepun

Ubah suai

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai kerelaan KTMB menerima koc biru walaupun telah berusia lebih 30 tahun, Aminuddin berkata, ia bukan tindakan melulu.

“Kami telah menghantar beberapa orang jurutera untuk menilai keadaan gerabak dan terbukti ia masih baik serta mampu beroperasi dengan sempurna,” ujarnya menepis semua salah sangka.

Beliau meletakkan sasaran keuntungan sebanyak RM5.6 juta setahun dengan penumpang yang menggunakan perkhidmatan tersebut seramai 185,000 orang.

Rekaan dalaman kereta api dari Jepun itu sangat berbeza dengan gerabak-gerabak KTMB lain. Ia jelas kelihatan pada perincian yang diberikan supaya penumpang merasa selesa.

Paling istimewa adalah sistem tandasnya. Menurut Arai, koc biru itu direka mesra alam dan tidak mencemar alam sekitar.

“Apabila flush tandas digunakan, air yang berwarna biru akan keluar. Air tersebut mempunyai sejenis bahan kimia dan najis akan meragi.

“Najis tidak akan dibuang ke landasan tetapi disimpan dalam satu simpanan khas dan akan dikutip setiap enam bulan sekali,” terang Arai lagi.


KERETA API yang berusia 30 tahun ini masih kelihatan baharu dan masih mengekalkan keselesaan penumpang.

Setiap gerabak mempunyai generatornya sendiri. Ia berbeza dengan koc KTMB sedia ada yang memiliki sebuah generator dan membekalkan tenaga elektrik kepada semua gerabak.

Apabila berlaku kegagalan generator pada salah satu gerabak, koc-koc yang lain masih lagi boleh berfungsi seperti sediakala.

Selain itu, rekaan dalaman koc biru sangat terperinci seperti tangga pada kelas kedua boleh dilipat untuk menjimatkan ruang.

Ruang pejalan kaki terpisah dengan ruang bilik walaupun memiliki luas bukaan yang tidak terlalu besar. Pengguna singki air pula sentiasa mendapat ruang privasi kerana disediakan tirai malah pili air berfungsi menggunakan sensor.

Bagi ruang kelas tiga pula, kerusi penumpang boleh dipusing untuk menghadap penumpang di belakang. Jadi, kepada mereka yang gemar berbual, koc biru adalah pilihan sesuai.

Keselamatan individu yang membeli tiket kelas pertama pula terjamin kerana walaupun direka sejak 30 tahun lalu, kunci pintunya dilengkapi dengan sistem kata laluan.

Sumber:
Kosmo (Oleh ADLAN JAAFAR) dan
Bernama (Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz)

3 comments:

Unknown berkata...

last sekali naik train 15 thn yg lalu

ch000tz berkata...

xpernah naik train >_<


http://ch000tz.blogspot.com/2011/12/cabang-yang-tak-mungkin-tersimpul.html

naiemah_ramli berkata...

tak pernh naik train ^__^
nk cuba jga..tp tak tau nk g mna..hihi