14 Januari 2012
Kekal Sihat Ketika Melancong Ke Luar Negara
Jatuh sakit ketika bercuti atau ketika lawatan bekerja bukanlah sesuatu yang diingini sesiapa pun terutama bila berada di negara asing.
Rakyat Malaysia baru-baru ini diingatkan untuk mendapatkan insurans perjalanan sebelum mengembara ke luar negara, termasuk ke negara jiran. Ini untuk mengelakkan daripada dikenakan bayaran tinggi bagi rawatan kesihatan di sana.
Insurans kesihatan dapat mengelakkan si pengembara menjadi mangsa kepada kos perubatan yang tinggi akibat sebarang masalah kesihatan yang tidak dijangka.
Namun adalah lebih baik sekiranya kita dapat menjaga kesihatan kita sepanjang masa dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan mendapatkan vaksinasi.
Ini akan membolehkan kita mendapatkan "pasport" kedua - iaitu dokumen kesihatan yang menyatakan risiko jangkitan terhadap virus dan bakteria yang tidak diketahui.
Bagaimanakah caranya untuk meningkatkan lagi tahap kesihatan kita sebelum memulakan perjalanan jauh?
Ada beberapa persoalan yang perlu dijawab dahulu untuk mengetahui sama ada seseorang itu akan terdedah kepada masalah kesihatan serius ketika mengembara.
SIHAT UNTUK MENGEMBARA
Memastikan diri cukup sihat untuk mengembara adalah tidak semudah mendapatkan pasport atau visa ke luar negara.
Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) baru-baru ini mengajukan beberapa soalan penting kepada bakal-bakal pelancong untuk difikirkan sebelum mengembara.
Soalan itu termasuk kekerapan konsultasi dengan doktor untuk keperluan kesihatan sebelum mengembara dan jenis percutian yang akan diambil, sama ada bersifat luaran iaitu terdedah di kawasan luar atau hanya aktiviti dalaman.
Mereka yang pernah jatuh sakit ketika melancong juga adalah lebih berisiko, seperti juga pengembara yang mempunyai masalah kesihatan. Tempoh percutian turut memainkan peranan dalam pengukuran risiko yang bakal dihadapi oleh seseorang pengembara ketika bercuti di luar negara.
Professr Datin Dr Hamimah Hassan, ahli majlis MSIDC menerangkan mengenai kepentingan bakal pengembara berbincang dengan doktor mengenai risiko kesihatan melawat negara destinasi.
"Tanyalah doktor cara untuk melindungi diri daripada risiko yang mungkin dihadapi walaupun tarikh perjalanan hanya sehari lagi. Langkah ini amat berguna," katanya yang juga Timbalan Dekan Program Siswazah dan Diploma di Fakulti Sains Perubatan, Universiti Malaya.
PENCEGAHAN
Makin ramai yang mampu terbang mengembara ke destinasi antarabangsa hari ini. Menurut statistik dari World Tourism Organisation, ketibaan pelancong luar negara serata dunia bagi tujuan percutian, bekerja atau lain-lain telah mencapai 880 juta pada tahun 2009.
Jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda kepada 1.6 billion pada 2020.
Tinjauan Mastercard mengenai pembelian utama pengguna menunjukkan sekurang-kurangnya 31 peratus rakyat Malaysia telah melancong ke luar negara dalam setahun lepas (sepanjang 2011).
"Perjalanan udara memang lagi mudah dan murah hari ini. Namun kebanyakan pengembara tidak sedar perancangan percutian bukan saja sekadar menempah tiket dan tempat tinggal serta memastikan pasport masih lagi sah digunakan. Ia juga melibatkan perancangan masa hadapan. Saya cadangkan, demi ketenangan jiwa ketika bercuti, kita kena bertindak cepat untuk mendapatkan perlindungan sebelum mengembara," kata Prof Dr Hamimah.
Kebanyakan penyakit yang biasa dijangkiti ketika mengembara ke negara tertentu dapat dicegah melalui suntikan vaksin dan imunisasi semasa.
Penyakit seperti hepatitis, demam kepialu dan influenza mudah dijangkiti melalui makanan dan air yang tercemar, amalan seks tidak sihat dan melalui titisan cecair yang dikeluarkan ketika batuk, bersin dan bercakap.
Walaupun tahap keseriusan penyakit-penyakit itu berbeza, sebahagian kecil pesakit mungkin mengalami masalah kesihatan kronik akibat komplikasi yang sebenarnya dapat dielakkan dengan suntikan vaksin.
JANGKITAN
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir dua bilion manusia seluruh dunia sudah dijangkiti virus Hepatitis B dan hampir 350 juta manusia hidup dengan jangkitan kronik akibat virus itu.
Dalam kajian lain, hepatitis A dan B merupakan jangkitan paling meluas yang dapat dielakkan melalui vaksin. Ini diikuti dengan demam kepialu.
"Cara terbaik untuk meminimumkan dan mencegah situasi sedemikian ialah dengan vaksinasi. Adalah disarankan untuk berjumpa dengan doktor sekurang-kurangnya empat hingga lapan minggu sebelum mengembara. Tapi sekiranya tinggal kurang daripada empat minggu sebelum tarikh perjalanan, masih tidak terlewat untuk berjumpa doktor," katanya.
Mereka yang tidak dilindungi mungkin akan mendapati kos rawatan perubatan di negara asing cukup untuk merosakkan tujuan asal bercuti.
Ada tiga jenis vaksinasi yang harus difikirkan oleh mereka yang bakal melancong iaitu yang wajib, rutin dan pilihan. Ini bergantung kepada negara yang bakal dilawati.
KANAK-KANAK DAN VAKSINASI
Adakah suntikan vaksinasi selamat bagi kanak-kanak yang mengikuti percutian dengan ibu bapa?
"Ya. Bayi berusia kurang setahun juga boleh diberikan suntikan dalam dos sesuai dengan umur mereka. Bayi kurang sebulan pun telah diberikan suntikan hepatitis pertama mereka. Namun ada satu hingga dua peratus manusia yang sistem badannya tidak berupaya menghasilkan antibodi selepas vaksinasi," katanya.
Tiada vaksin yang dapat menjamin perlindungan 100 peratus daripada apa-apa jangkitan, tapi ia sekurang-kurangnya dapat memberi 90 peratus perlindungan.
Terdapat juga laporan mengenai reaksi alahan terhadap sesetengah vaksin termasuk hepatitis, yang diberi dalam tiga dos.
Bagaimana pun, kebanyakan orang bertindak baik dengan vaksin ini.
Mereka yang terlupa berapa dos yang telah diambil dan untuk penyakit apa boleh menyelesaikan masalah itu melalui saringan dan ujian.
"Mereka boleh ambil suntikan "booster" untuk meningkatkan tahap antibodi vaksin yang telah diambil sebelum itu," nasihat Prof Dr Hamimah.
Oleh Hazlinda Hamzah
Sumber: BERNAMA
Labels:
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments:
lom nk gi lagi buat masa terdekat ini....so aku duk diam dulu :D
deno kalo nak pegi bercuti jaoh2 susah, kena bawak air ubat n mesin dialisis skali... ish3
Catat Ulasan