Donut, olykoek, lagaymat, yo-yos, saa1 jung, vada, krapfen, bauernkrapfen, kuih gelang .....
JIKA saya menyebut donut sudah pasti ramai yang mengetahui jenis makanan ini, iaitu doh tepung yang menggunakan yis. Doh ini akan diterap dan digoreng sehingga keperangan dan biasanya ia disalut dengan gula, coklat yang dicairkan atau topping.
Bentuk yang paling biasa adalah bulat dengan berlubang di tengahnya. Ada yang berbentuk bulat rata tanpa lubang di tengah. Jenis yang tidak berlubang ini selalunya akan disumbat dengan pelbagai perisa manis seperti jem, kastad dan sebagainya.
Walaupun donut banyak dijual di luar dan menjadi santapan biasa kita, tetapi tahukah anda sejarah di sebalik donut ini?
Sebenarnya sejarah donut sering dipertikaikan. Menurut satu teori, donut dikatakan telah diperkenalkan oleh pedagang-pedagang Belanda di Amerika Utara pada abad ke-19. Donut ketika itu dipanggil olykoek (perkataan Belanda yang bermaksud 'kek minyak') iaitu kek yang digoreng dalam minyak.
Sejarah lain pula menyatakan bahawa Hanson Gregory, seorang rakyat Amerika telah mencipta donut berbentuk cincin di dalam kapal pedagangnya.
Beliau mengakui telah menebuk satu lubang di tengah doh donut menggunakan muncung senjata api kapal yang berbentuk bulat. Apabila beliau berbuat demikian maka kawasan tengah donut yang lambat masak dapat di atasi ketika itu.
Lubang yang ditebuk di tengah itu dapat meluaskan permukaan donut ketika digoreng. Asal usul nama donut juga menjadi perdebatan apabila dikatakan doh itu dicampurkan dengan kacang iaitu nut yang menjadi sebutannya doughnut.
Untuk pengetahuan anda ada banyak makanan yang seakan-akan menyerupai donut ini yang namanya berbeza mengikut negara.
Rasa sesetengahnya juga sedikit berbeza dengan donut yang biasa. Ada juga antaranya berbentuk seperti donut tetapi tidak manis. Jadi, apa kata kita kenali apakah nama-nama lain bagi makanan yang menyerupai donut ini di beberapa negara lain.
Di Sudan, Ethiopia, Somalia dan Eritrea, donut sangat popular dengan nama lagaymat. Ia ialah bola-bola dari adunan doh yang digoreng dan ditabur dengan serbuk gula. Di Tunisia, pastri yang seakan donut dipanggil yo-yos. Ia makanan tradisional dan sungguh popular di sana.
Di China pula makanannya yang seakan bentuk krim puff tetapi lebih pejal seperti donut dipanggil saa1 jung. Makanan India vada menyerupai donut yang mempunyai lubang di tengahnya. Rasanya tidak manis dan sedikit masin.
Di Austria, donat yang biasa telah dipanggil krapfen. Ia popular terutamanya semasa musim karnival (Fasching) dan tidak berbentuk seperti cincin yang tiada lubang.
Sebaliknya ia rata dan biasanya diisi dengan jem aprikot atau krim vanila. Donut yang diperbuat daripada doh yis dipanggil dengan nama bauernkrapfen. Ia seakan donut biasa yang tebal di bahagian luar tetapi sangat nipis di tengah.
Negara kita juga ada makanan yang menyerupai donut iaitu lebih dikenali dengan nama kuih gelang dan ada yang memanggilnya donut kampung.
Ia diperbuat daripada keledek lecek yang diuli dengan tepung. Gulanya dimasak dan kemudian digaul bersama kuih keria yang telah digoreng.
Baiklah sedikit tip penting untuk membuat donut adalah pastikan tekniknya betul kerana kita tidak mahu yis dalam doh mati dan jika yis mati donut anda tidak menjadi gebu dan lembut.
Biarkan donut anda naik sehingga dua kali ganda selepas diuli dan diterap. Pastikan anda membalikkan donut anda sama rata ketika menggoreng supaya ia masak dengan sekata.
Gunakan minyak yang baru dan pastikan minyak anda tidak terlalu panas apabila menggoreng kerana ia akan menyebabkan donut anda hangus di luar tetapi tidak masak di dalam.
Pastikan juga tidak menggoreng terlalu banyak donut dalam satu-satu masa kerana ini akan mencacatkan bentuk donut ketika menggoreng. Selepas menggoreng teruslah salutkan donut dengan gula supaya gulanya lebih banyak dan senang melekat pada donut.
Hiaskanlah donut anda mengikut cita rasa masing-masing.
Sumber: Utusan
10 comments:
sedapnyaaaaaaaa
emm lapar donut la plak,..
manis....xsuka!
alahai terasa nak makan donut lak..hehehe
nice info,,, thx
sedap gk donut ni..tp xsuka gula bnyk..manis sangat xsedap..mcm2 nama,tapi kuih tu jgk ye?heheh
sy dok nampak big apple ni, hikk...
wah sejarah donat. nice! :)
kadang2 donut ni bila makan tu feeling jer rasanya..hehehe..kadang tu fail sbb dapat donut yang tak sedap..
sedap nyer.,tengah lapar ni.,huhu^^
Catat Ulasan