27 Mei 2012
Penangan Cinta Online
JIKA anda tidak bijak mengendalikan aplikasi maya seperti Facebook, ia boleh mengundang kemusnahan pada kehidupan.- Gambar hiasan
DAHULU, orang menulis surat sambil menyapukan minyak wangi, lalu diposkan kepada kekasihnya yang jauh yang mungkin tidak dikenalinya. Berbulan-bulan ditunggu, adakalanya dijawab, adakalanya tidak. Bernasib baik kalau surat itu dijawab.
Kini, posmen tidak lagi perlu menjadi orang tengah menghantarkan surat cinta. Dunia hari ini, semua jenis aplikasi online seperti Facebook, Twitter, MySpace dan e-mel menjadi medium baharu manusia menjalinkan hubungan cinta.
Medium baharu ini juga tidak mengenal usia dan status, sama ada tua, muda, bujang, berkahwin, duda atau janda. Kini. kita sering mendengar banyak rumah tangga yang musnah kerana cinta online. Ada juga yang mula menjalin semula cinta dengan kekasih lama, walaupun pada masa yang sama sudahpun berumah tangga.
Cinta online itu juga adakalanya menyebabkan ramai anak gadis kita yang terpedaya. Tidak kurang juga wanita yang berkerjaya. Bahkan, ada yang terperangkap dengan cinta palsu hingga sanggup melabur puluhan ribu ringgit ke akaun kekasih online yang tidak mereka kenali.
Kisah Tragis
Inilah hebatnya cinta dalam talian, malah ada yang patah hati dan tidak kurang juga yang membawa kebinasaan.
Tahun 2006, Megan Meier, gadis berusia 13 tahun telah membunuh diri hanya kerana teman lelakinya, Jose, menyakiti hatinya dengan tiba-tiba memutuskan hubungan mereka secara dalam talian.
Dua minggu setelah Jose tidak lagi membalas mesejnya, Megan akhirnya membunuh diri. Malang sekali, 'Jose' sebenarnya tidak pernah wujud. Ia hanya nama samaran yang Megan sendiri tidak ketahui siapakah jejaka palsu itu.
Lantaran medium online merupakan penghubung ikatan manusia zaman moden, banyak laman web muncul sebagai medium penjalin hubungan. Online Dating Magazine salah satu daripadanya. Tahun 2007, dalam tempoh sebulan sahaja, lebih 20 juta pengunjung melakukan janji temu secara online sekurang-kurangnya sekali.
Sifat terbuka
Secara psikologinya, apakah bentuk emosi yang terjalin setiap kali manusia melakukan komunikasi secara dalam talian? Anda sebagai pengguna Facebook atau Yahoo Messenger tentu pernah merasainya walaupun anda tidak tahu menghuraikannya.
MEDIUM online merupakan penghubung ikatan manusia zaman moden yang berkesan walaupun tidak memerlukan seseorang itu bersua muka. - Gambar hiasan
Dikatakan bahawa melalui komunikasi online, manusia akan mengalami disinhibition effects. Dalam erti kata lain, dalam keadaan yang bersifat anonymous, didapati bahawa manusia lebih cenderung untuk bersikap terbuka dan meluahkan emosi tanpa segan silu. Dikatakan juga bahawa manusia lebih cenderung menyatakan rasa hati dengan lebih baik jika dibandingkan secara bersemuka.
Kajian juga mendapati bahawa perhubungan melalui internet menjadikan manusia lebih cepat mesra. Komunikasi secara bertulis, menjadikan manusia berfikir dahulu apa yang patut ditulis dan bagaimana untuk mempersembahkan diri. Ia sukar dalam keadaan perhubungan secara fizikal kerana ada hal-hal yang tidak boleh dilakonkan.
Dikatakan juga, komunikasi melalui internet ini adakalanya lebih memungkinkan manusia menunjukkan diri mereka yang sebenar (true self). Mereka mungkin menyembunyikan nama sebenar tetapi watak, sifat dan diri mereka sebenar banyak ditonjolkan melalui tulisan.
Dalam banyak situasi, ada ramai manusia baik yang boleh kita temui secara dalam talian. Bagaimanapun, jangan pula terpedaya. Ada manusia yang pandai memanipulasi keadaan ini.
Kita sering didedahkan dengan kisah mangsa yang telah dijual ke luar negara kerana terpedaya dengan cinta palsu, sama ada sebagai keldai dadah atau pelacur. Ini adalah antara musibah di sebalik tabir keindahan dunia online.
Kecurangan
Jalinan online juga sebenarnya memberikan kesan terhadap perasaan cemburu manusia. Dulu, rasa cemburu akan timbul kalau ada pasangan yang bermain mata dengan orang lain. Sekarang ini orang tidak bermain mata lagi. Facebook telah menjadi medium baharu yang tidak ada pada zaman sebelumnya.
MANUSIA lebih cenderung untuk bersikap terbuka meluahkan emosi tanpa segan silu melalui komunikasi online. - Gambar hiasan
Bagaimana agaknya sifat cemburu manusia kalau tahu pasangannya ada hubungan online dengan orang ketiga?
Kajian mendapati bahawa cybersex atau komunikasi antara pasangan berlainan jantina dengan pihak ketiga dianggap sebagai satu bentuk kecurangan.
Wanita juga didapati sangat marah kalau mendapat tahu bahawa pasangan lelakinya mempunyai hubungan online dengan wanita lain, seolah-olah pasangan lelakinya itu ada ikatan emosi dengan wanita lain. Ini dibuktikan dalam banyak kajian.
Bahkan, wanita juga lebih besar kemungkinannya jika dibandingkan lelaki untuk sanggup memutuskan hubungan kalau mendapat tahu pasangannya menjalinkan hubungan online dengan wanita lain.
Bagaimana dengan anda?
Hakikatnya, medium online laman sosial bukan sekadar menjadikan kita lebih mudah menjalin hubungan dengan teman-teman lama atau rangkaian perniagaan tetapi ia juga satu cabaran terhadap kerukunan rumah tangga dan hubungan cinta.
Ia cabaran baharu yang sedang kita lalui. Bergantung sejauh manakah kita bijak memanfaatkannya. Awas! Jangan biarkan laman sosial satu medium yang menghuru-harakan kerukunan hidup anda.
Sumber: Kosmo
Facebook punca pasangan cerai
Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg mungkin baru menukar status perhubungannya kepada 'berkahwin' Sabtu lalu 19 Mei 2012. Namun laman sosial itu kini didapati menyumbang kepada satu pertiga daripada jumlah perceraian di sini, hasil satu tinjauan yang dilakukan oleh firma perundangan.
Menurut satu kajian ke atas 5,000 petisyen perceraian oleh firma perundangan United Kingdom, Divorce Online, lebih 33 peratus perceraian tahun 2011 lalu yang disenaraikan adalah berpunca daripada Facebook. Jumlah itu naik mendadak berbanding 20 peratus pada 2009.
Tinjauan tersebut mendapati, terdapat peningkatan aduan oleh pasangan suami isteri yang bertengkar mengenai perbuatan sama ada mereka menukar status perhubungan masing-masing kepada bercerai dengan mesej-mesej yang tidak sesuai kepada jantina berbeza menjadi punca utama kepada aduan itu.
"Sekiranya seseorang ingin menjalinkan hubungan sulit, Facebook merupakan cara yang mudah untuk melakukannya,'' kata jurucakap Divorce Online, Mark Keenan.
Malah, status yang dikemas kini, pemergian mencurigakan ke restoran dan gambar-gambar tidak sesuai yang dipaparkan di Internet, turut dijadikan bahan bukti dalam kes perceraian.
"Justeru, pengguna Facebook perlu berhati-hati mengenai status yang mereka tulis kerana mahkamah melihat ia boleh digunakan dalam kes tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak sebagai bukti,'' kata Keenan.
Sementara itu, menurut Akademi Peguam Perkahwinan Amerika Syarikat (AS), kira-kira 80 peratus peguam di negara itu mendedahkan, jumlah kes perceraian berpunca daripada laman sosial semakin meningkat.
"Saya melihat isu Facebook mengakibatkan perpecahan dalam perkahwinan berlaku sepanjang masa,'' kata peguam perceraian di Connecticut, Gary Traystman kepada Smartmoney.com.
Daripada 15 kes yang dikendalikannya dalam tempoh setahun, rekod komputer, mesej dan email dijadikan sebagai bahan bukti dengan 60 peratus daripadanya melibatkan Facebook. - AGENSI
Sumber: Utusan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
6 comments:
kena pandai-pandai sendiri lah . jangan sampai terjerumus dgn ayat2 ehem2 tu :)
zaman dh semakin maju..berhati2 lah
perlu berhati-hati
Koding tepuk dada tanya selera... insyallah kalau teguh iman didada.. boleh jer kawal ^^ pokok pangkalnya diri kite sendiri
on9 nh bhya klu terlalu open kn
apa2 pun bahaya klau salahguna.. fb skadar salah satu medium jaa...
Catat Ulasan