19 April 2012
Jadikan Membaca Sebahagian Budaya Malaysia
Sebelum ini, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengukur amalan membaca dalam kalangan masyarakat berdasarkan statistik dan pengukuran secara subjektif.
Budaya membaca masyarakat Malaysia didapati mula meningkat daripada hanya membaca dua buah buku setahun pada 1996 kepada lapan hingga 12 buah buku setahun pada 2010. Ini dijadikan bukti bahawa ramai rakyat Malaysia semakin gemar membaca.
Faktor lain yang boleh dilihat adalah dari segi penambahan ahli baharu yang berdaftar dengan PNM dari tahun ke tahun. Peningkatan ini juga adalah satu lagi petunjuk yang boleh diambil kira untuk melihat keadaan semasa amalan membaca rakyat Malaysia.
Pendaftaran ahli baharu PNM menunjukkan peningkatan sebanyak 38.1 peratus pada tahun lepas iaitu seramai 78,272 ahli berbanding 56,676 ahli pada 2010.
SEMAKIN BANYAK MEMBACA
Sementara itu, sebanyak 1,034,507 naskhah bahan bacaan dipinjam daripada PNM pada 2011, berbanding 776,347 naskhah pada tahun sebelumnya.
Pengarah Prasarana Ilmu dan Maklumat PNM, Salbiah Mohd Yusof berkata peningkatan turut disokong dengan adanya permintaan terhadap bahan bacaan di pasaran.
Beliau berkata pada tahun 2010 bahan bacaan yang diserahkan di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 adalah sebanyak 15,767 judul setahun. Tahun lepas jumlah itu meningkat kepada 17,923 judul setahun.
"Apabila bahan bacaan masih diterbitkan, industri pembukuan juga akan terus berkembang dengan pesat untuk memenuhi permintaan masyarakat terhadap bahan bacaan bercetak," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan amalan membaca tidak hanya dikira berdasarkan fakta semata-mata, sebaliknya penilaian dari segi perkara subjektif juga perlu dikaji.
Contohnya, terdapat ramai dalam kalangan masyarakat pada masa kini cenderung untuk membaca pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan tempat. Ini termasuk ketika berada di kawasan awam.
"Hari ini kita dapat melihat fenomena masyarakat membaca sewaktu menunggu waktu untuk berlepas di lapangan terbang, begitu juga di stesen bas, LRT dan kereta api, di klinik sewaktu menunggu giliran atau membaca semasa menunggu pelanggan ketika berniaga," kata Salbiah.
Katanya semua ini sukar untuk ditafsirkan dalam bentuk angka, tetapi keadaan mampu menjelaskan bahawa budaya membaca masyarakat Malaysia semakin bertambah baik.
Menurut beliau budaya membaca sebenarnya telah lama berada dalam diri masyarakat tetapi ia perlu diperkasa lagi dalam usaha mencapai status masyarakat maju.
PERUBAHAN TREND PEMBACAAN
Tidak dinafikan trend pembacaan masyarakat telah berubah terutama generasi Y, yang lebih terdedah kepada kecangggihan teknologi, peralatan serta perisian teknologi maklumat yang memudahkan proses pembacaan.
PNM juga tidak terlepas dengan kesan perubahan trend pembacaan ini yang turut mempengaruhi kehadiran pengunjung di perpustakaan. Menurut Salbiah, statistik mendapati pengunjung PNM menurun dari 464,317 orang pada tahun 2010 kepada 416,672 orang pada tahun lepas.
Sebaliknya, pengguna yang menggunakan perkhidmatan online di PNM meningkat daripada 6.44 juta pada 2010 kepada 8.26 juta pada 2011, menunjukkan peningkatan sebanyak 28.3 peratus.
Bagaimanapun PNM melihat kecanggihan teknologi maklumat seperti iPad dan smartphone yang membolehkan bahan bacaan diakses secara online, satu petanda baik kepada pembudayaan membaca.
Salbiah berkata dengan kehebatan maklumat di hujung jari ini, maka tiada alasan bagi masyarakat Malaysia untuk mengatakan mereka tidak mempunyai masa untuk membaca.
MEMPERKASA GALAKAN MEMBACA
Sebagai usaha untuk terus memperkasa program galakan membaca, PNM menggariskan beberapa pendekatan yang diharap dapat membantu membudayakan amalan membaca di Malaysia.
Menurut Salbiah, sebanyak 36 program menerusi pendekatan 1Malaysia dirancang tahun ini di bawah 'Program Galakan Membaca 2012', dengan hasrat menyokong konsep 1Malaysia dan Strategi Lautan Biru.
PNM juga, katanya, akan menggerakkan pelaksanaan ini ke kawasan luar bandar melalui Karnival Galakan Membaca 1Malaysia yang melibatkan lima perpustakaan desa di seluruh negara serta 'Program Mari Membaca 1Malaysia: Kembara Ilmu Pewaris Negara' dan program 'Mari Membaca 1Malaysia Bersama Persatuan Pencinta Buku'.
Antara program yang dirancang ialah 'Kembara Jalur Lebar' yang akan diadakan dengan kerjasama MSD Digital Sdn. Bhd di enam lokasi.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyakarat India terhadap kepentingan membaca, 'Program Mari Membaca 1Malaysia: Ore Malaysia Vaasikka Vaarunggal' akan diadakan dengan kerjasama Persatuan Penulis Tamil Malaysia. Program itu antara lain memberi pengiktirafan kepada penulis dan karya Tamil.
Salbiah berkata PNM akan terus memperhebat promosi galakan membaca dengan kerjasama media massa, termasuk mempromosi program pendidikan literasi maklumat, membantu usahaa galakan dan sokongan penerbitan bahan bacaan, serta meneruskan program galakan membaca bersama ikon dan generasi muda.
Selain itu, katanya, tumpuan juga akan diberikan kepada golongan istimewa dengan penganjuran program galakan membaca di tempat-tempat awam.
USAHA BERTERUSAN
Salbiah bagaimanapun berkata masyarakat harus diberi maklumat yang tepat bahawa PNM bukanlah satu-satunya institusi yang bertanggungjawab untuk menanam minat membaca dalam masyarakat Malaysia. Peranan PNM lebih kepada menyediakan prasarana yang lengkap, di samping menganjurkan kempen membaca untuk memberi kesedaran bersama.
Katanya kunci kemajuan sesebuah negara, antara lainnya adalah dengan memiliki rakyat yang suka membaca. Oleh itu, semua pihak diharap dapat memainkan peranan masing-masing untuk memupuk budaya membaca.
Salbiah menegaskan bahawa kesedaran terhadap pembacaan telah ada dalam masyarakat Malaysia, tetapi usaha perlu diteruskan untuk menjadikannya sebagai budaya.
Oleh Norindah Khairi
Sumber: BERNAMA [16/04/2012]
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
8 comments:
membaca amalan mulia
Bacalah sebanyak mungkin yang boleh..
menjelajah dr blog ke blog juga membaca...baca entry...:)
Dulu ada kad PNM, tapi ntah hilang mana tah
dulu puteri baca 2 buah buku seminggu tapi sejak ada blog...kdg2 dua minggu baru dpt habis baca sebuah buku :(
memang suke membace..kena latih budak2 sekarang bace buku, mule ngan genre yg mereka suka
aku dulu pun baca banyak buku terutama buku komik,dh besar ni ssah cari mood nak baca buku
sy suka baca versi online ^^
Catat Ulasan