02 April 2012

Keldai Siber Wanita Tempatan Sindiket Antarabangsa


Sindiket antarabangsa didalangi warga Afrika peralat wanita kita perdaya syarikat dalam internet

Selain dijadikan keldai dadah, wanita tempatan kini diperalatkan sebagai keldai internet oleh sindiket antarabangsa warga Afrika dengan menggunakan akaun internet dan akaun bank mereka untuk pelbagai kegiatan penipuan secara atas talian di seluruh dunia.

Modus operandi sindiket warga Nigeria yang mempunyai kepakaran teknologi maklumat (ICT) itu adalah dengan menggodam e-mel syarikat antarabangsa yang mengandungi maklumat sulit transaksi perniagaan dan menghubungi syarikat itu selepas mencipta emel baru yang alamatnya mirip e-mel pelanggan syarikat yang berurus niaga dengan syarikat yang mahu ditipu.

Mereka berurus niaga menerusi e-mel palsu termasuk rundingan pembelian. Selepas meyakinkan mangsa, anggota sindiket mengambil alih urus niaga dan menghantar e-mel mengarahkan pembeli memasukkan wang ke dalam akaun bank milik wanita rakyat tempatan yang didaftarkan di Malaysia.


Sebelum itu mereka menjalin hubungan dengan wanita tempatan supaya mudah dipujuk untuk membuka akaun. Ada antara mereka sanggup memeluk agama Islam dan berkahwin dengan mangsa.


DUA warga Nigeria ditahan akibat memperdaya wanita tempatan sebagai keldai internet.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Kamarudin Md Din, berkata siasatan terhadap enam kes penipuan awal tahun 2012 ini mendapati semua akaun bank itu dimiliki wanita tempatan yang disyaki menjalin hubungan dengan anggota sindiket.

“Sebaik bayaran dimasukkan dalam akaun, mangsa diarah pasangan mereka memindahkan wang kepada rangkaian sindiket di luar negara melalui khidmat kiriman wang antarabangsa.

“Suspek mengelak penggunaan akaun bank sendiri atau rangkaian sindiket di luar negara bagi mengelak dikesan jika kegiatan terbongkar.

“Taktik itu juga bagi mengelak wang atau aset mereka di Malaysia atau luar negara dikesan, seterusnya dibekukan pihak berkuasa. Wanita kita dijadikan keldai internet seperti keldai dadah,” katanya.

Sejak Januari 2012 lalu, enam kes dilapor membabitkan 10 wanita tempatan dengan kerugian mencecah jutaan ringgit, termasuk kes terbaru membabitkan penahanan ibu tunggal berusia 34 tahun di Johor Bahru Sabtu lalu bersama pelajar kolej swasta warga Nigeria yang didakwa suaminya.

Mohd Kamarudin berkata, penahanan itu susulan maklumat Bank Pusat Amerika Syarikat (AS) yang melaporkan pembayaran oleh pelanggannya kepada sebuah syarikat pembuat pakaian di Jakarta, Indonesia dimasukkan dalam akaun bank milik ibu wanita berkenaan sebelum polis menahannya untuk siasatan lanjut.

Hasil soal siasat membawa kepada penahanan suaminya dan seorang lagi lelaki Afrika berusia 25 tahun dalam dua serbuan berasingan di Pelangi Damansara, Petaling Jaya dan Pandan Indah, Ampang, pada Jumaat lalu.

Polis merampas telefon bimbit dan peralatan komputer yang mereka gunakan untuk berhubung dengan anggota sindiket lain di luar negara serta menggodam akaun mangsa.

“Lebih mengejutkan anggota sindiket sanggup memeluk Islam bagi meyakinkan pasangan, namun ketika ditahan mereka masih memakai rantai mempunyai lambang salib,” katanya.

Berikutan itu, polis menasihatkan orang ramai terutama ahli perniagaan supaya berwaspada ketika menggunakan talian internet percuma seperti Wifi, selain meneliti dan menyemak e-mel bagi mengelak maklumat dicuri penggodam.

“Bukit Aman sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa luar negara, termasuk Interpol bagi memantau aktiviti yang meragukan dalam sebarang urusan perniagaan melalui e-mel,” katanya.

Beliau berkata, selain Malaysia, sindiket berkenaan beroperasi di Timur Tengah dan Afrika.

Oleh Safeek Affendy Razali
Sumber: BHarian  (2012/03/30)

8 comments:

yusuflaili(Goku) berkata...

canggih,terancang serta amat teliti sekali sindiket antarabangsa ni..

Unknown berkata...

x guna betul !

Korn Ahmad berkata...

Mcm2 cre dorg nieh....
Haisssshhh

Unknown berkata...

sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ketanah juga...ada sistem yg boleh kesan penipuan mereka...

dulu keldai dadah skrg keldai internet pula...ermmm...

ch000tz berkata...

mcm2 cara dorang ni kannn haaaihhh!

Karen Monica berkata...

macam-macam zaman sekarang ni...kaum wanita perlu bijak

Jahirah berkata...

bertambah lg mangsa2 diaorg....xptt betol amek kesemptn kt wanita tempatan.berhati2 la semua wanita.

caliph shuriken berkata...

ni laa salah satu taktik penipuan terancang...