28 April 2012

Penciplak Boleh Dikesan Melalui Decorder Astro


Astro First tidak wujud jika tiada perlindungan

PIHAK tidak bertanggungjawab yang memuat naik filem ataupun program disiarkan melalui Astro First ke internet boleh dikesan menerusi alat dekodernya, secara tidak langsung mendedahkan pengguna terbabit kepada tindakan undang-undang.

Begitu juga mereka yang membuat salinan secara haram ke atas filem siaran saluran itu ke dalam bentuk DVD atau VCD, kegiatan berkenaan boleh dijejak melalui alat terbabit. Justeru, ia secara tidak langsung menjadi bentuk perlindungan ke atas produk yang disiarkan saluran berbayar berkenaan.

Menurut Ketua Perniagaan Bahasa Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, sebelum saluran itu diperkenalkan, kajian menyeluruh dilakukan bagi menangani masalah cetak rompak daripada berbangkit. Ia dilakukan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).


“Jika filem yang ditayangkan di YouTube atau DVD cetak rompak mempunyai logo Astro First, kita dapat mengesan individu yang melakukan kegiatan itu melalui dekoder Astro. Malah kita juga ada hak untuk meminta YouTube menyekat dan menarik keluar filem yang ditayangkan di laman itu secara tidak sah.

“Jadi, tidak timbul persoalan kita tidak memberikan perlindungan kerana kami di Astro turut bekerjasama dengan bahagian penguatkuasaan FINAS untuk mengesan individu yang menjalankan kegiatan ini. Pada masa sama, kita sedia maklum, aktiviti cetak rompak memang sudah lama berleluasa, sebelum saluran ini wujud lagi,” katanya.



Menganggap saluran itu sebagai medium kedua kepada penerbit filem bagi menjana pendapat tambahan selepas tayangannya pawagam, Khairul Anwar turut menegaskan, saluran terbabit masih relevan dan mendapat sokongan daripada syarikat penerbitan besar negara ini.

“Kita cuma menyediakan platform tambahan kepada penerbit bagi menjana pendapatan tambahan dan tidak menghalang mereka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana stesen televisyen” katanya.

Sesuai dengan teknologi kini yang semakin canggih, saluran itu juga dalam perancangan untuk memperluaskan lagi siarannya ke dalam android suatu hari kelak, bagi memberi kemudahan kepada penonton. Malah, Khairul Anwar berpendapat, penerbit luar seperti dari Hollywood sedang mengintai peluang untuk bekerjasama dengan saluran itu bagi memasarkan filem mereka.

“Hampir dua tahun saluran ini diwujudkan serta mendapat perhatian daripada pihak luar. Mereka berasakan saluran ini sesuai untuk memberi pulangan tambahan. Namun, kita masih lagi dalam perancangan untuk menyiarkan filem Hollywood,” katanya.

Sumber: BHarian

1 comments:

caliph shuriken berkata...

bila labur juta2, perlindungan pun level tinggi kn ^^