18 April 2012
Preve Bukti Keunggulan PROTON
PROTON Preve ditawarkan pada harga RM59,990 hingga RM72,990 seunit.
SPESIFIKASI: Proton Preve
1. Enjin 1.6 liter turbo ringan menghasilkan kuasa sama 2.0 liter enjin biasa
2. 138 kuasa kuda, kilasan 205Nm
3. Sistem butang penghidup enjin untuk Premium
4. Stering kuasa hidrolik
5. Brek ABS dengan EBD
6. Dwi beg udara SRS untuk semua varian dan beg udara sisi untuk Premium saja
7. Dilengkapi dengan sambungan 4G WiFi dan sistem navigasi GPS
8. Sistem audio dengan pemain CD MP3 dengan Bluetooth, USB dan sambung iPod
9. Warna pilihan Blue lagoon, Fire red, Genetic silver, Solid white, Tranquility black, Elegant brown
10. Kesemua varian didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km
11. Tiga varian : Premium (harga dari RM72,990), Eksekutif CVT (harga dari RM62,990), Eksekutif (harga dari RM59,990)
Sedan baru tepati kualiti dan piawaian keselamatan antarabangsa.
PROTON Preve, kereta global pertama keluaran PROTON Holdings Bhd (PROTON), akan menjadi model perintis untuk mengukuhkan kembali penguasaan pasaran pengeluar kereta nasional itu, baik di pasaran tempatan mahupun di luar negara.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata model itu juga akan menjadi perintis kepada perubahan dalam penghasilan setiap model baru PROTON di masa depan.
“PROTON Preve adalah bukti akan kemampuan PROTON setakat ini dalam usahanya bersaing pada pelbagai peringkat pasaran global. Dengan model ini, apa yang PROTON cuba nyatakan adalah model ini akan menjadi permulaan baru bagi kami, iaitu antara lain memperkenalkan arah baru reka bentuk produk dari segi kualiti dan keselamatan yang mampu bersaing di pelbagai pasaran dunia,” katanya pada majlis pelancaran model itu yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Seri Kembangan, pada 16 April 2012.
Syed Zainal berkata, sebagai permulaan, pihaknya memperuntukkan 20 peratus daripada jumlah pengeluaran Preve untuk pasaran eksport.
“Selain pasaran domestik, Preve akan dieksport ke luar negara, dengan Indonesia sebagai destinasi pertamanya pada Julai atau Ogos ini, sebelum memasuki Thailand, Australia, United Kingdom dan Asia Barat,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak berkata, keupayaan untuk mengeluarkan sebuah kereta yang global adalah suatu mercu tanda kejayaan yang amat penting kepada PROTON kerana untuk mencapai tahap piawaian dan standard antarabangsa terbabit, ketelitian dan fokus kepada aspek kualiti tidak boleh dipandang ringan.
Dalam pada itu, beliau berkata untuk memastikan PROTON dan semua syarikat automotif tempatan dapat bersaing dengan kereta terkemuka dunia, kerajaan menerusi Dasar Automotif Negara (DAN) sudah menggariskan pelbagai insentif bertujuan meningkatkan daya saing industri automotif tempatan bagi jangka panjang.
Preve, yang kini boleh didapati di semua bilik pameran Proton Holdings di seluruh negara, ditawarkan dalam tiga varian, iaitu standard eksekutif transmisi manual, standard eksekutif transmisi automatik dan spesifikasi premium transmisi automatik.
Versi standard eksekutif transmisi manual menggunakan enjin 1.6 liter IAFM Continuous Variable Transmission (CVT) lima kelajuan, dan tujuh kelajuan untuk versi automatik, sementara versi spesifikasi premium pula menggunakan enjin 1.6 liter Caj Keberkesanan Minyak (CFE) turbo dengan CVT Protonic tujuh kelajuan.
Model baru itu ditawarkan pada harga RM59,990 seunit bagi versi standard eksekutif transmisi manual, RM62,990 bagi automatik standard eksekutif CVT, dan RM72,990 seunit bagi versi premium.
Semua varian berkenaan ditawarkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer, atau yang mana terdahulu.
Menurut Mohd Khamil berkata, Preve, model bercirikan teknologi paling canggih pertama yang ditawarkan kepada pasaran secara besar-besaran itu, akan membuka lembaran baru buat syarikat kereta nasional itu dalam memasarkan produknya yang menepati semua cita rasa pasaran.
“Produk PROTON memang sudah diterima di peringkat antarabangsa ketika ini. Namun begitu, kita tidak harus berpuas hati. Kita mesti bertindak lebih agresif lagi dalam mengembangkan aktiviti eksport ke luar negara dan menjadi lebih berteknologi maju, terus mampu menawarkan pelanggan kenderaan yang sewajarnya, mampu memperkukuh jualan dan khidmat selepas jualan di peringkat antarabangsa, dan mampu berkembang lebih kukuh sebagai jenama yang memiliki reputasi yang baik, yang dipercayai, diutamakan dan mampu menjadi pengeluar kereta yang kompetitif,” tegasnya.
Preve turut mendapat sentuhan anak syarikat milik penuh PROTON, iaitu Lotus Engineering, khususnya dari segi kawalan pemanduan dan pengendalian, yang mampu bertindak balas dengan baik di selekoh pada kelajuan tinggi.
Oleh Hassan Omar dan Ahmad Farizal Hajat
Sumber: BHarian [2012/04/17]
Proton Tempa Sejarah Baru Dengan Preve
Proton Holdings Bhd kini menempa sejarah baharu menerusi pelancaran Proton Preve yang dapat memenuhi citarasa pelanggan global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata pelancaran model kereta global baharu itu mencerminkan transformasi Proton untuk melonjak ke tahap yang lebih tinggi setelah lebih 27 tahun meneraju industri automotif negara menerusi model kereta nasional.
"Ia juga merupakan perkembangan yang signifikan. Dengan semangat yang ditunjukkan oleh kakitangan Proton, sokongan kerajaan dan pimpinan Tun Mahathir sebagai penasihat, serta pengurusan yang digabung jalin antara DRB-Hicom dan Proton, Proton akan menempa masa depan yang lebih hebat," kata Najib.
Proton kini dikuasai secara majoriti oleh DRB-HICOM selepas DRB-HICOM memperoleh kepentingan 42.74 peratus daripada cabang pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd.
Najib berkata Proton berjaya melakukan transformasi menerusi kualiti kejuruteraan dan prestasi bertaraf global serta pelbagai nilai tambah lain, termasuk kemudahan Internet 4G, sehingga meletakkan Preve sebagai "bertaraf lebih tinggi berbanding kebanyakan kereta lain."
"Kesungguhan kakitangan Proton menghasilkan kereta ini akan menjadi kebanggaan dan kegembiraan semua rakyat Malaysia," katanya.
Sementara itu, Najib berkata pengambilalihan Proton oleh DRB-Hicom Bhd mampu membawa Proton ketahap yang lebih unggul memandangkan synergi yang ada pada syarikat konglomerat berkenaan.
Sumber: BERNAMA
Preve model terbaik pernah dihasilkan
Dengan enjin berkapasiti 1.6 liter, Preve bersaing secara langsung dalam Segmen C dengan model-model Toyota Vios, Ford Focus, Honda City dan Kia Forte. Perbandingan tidak akan dapat dielakkan antara Preve dengan jenama-jenama kereta ini.
Bagi penyusunan semula model-model Proton, kehadiran Preve menyaksikan Proton Gen.2 dikhususkan untuk pasaran eksport manakala Proton Persona hanya ditawarkan B- Line (transmisi manual) RM46,713 dan (automatik) RM49,713 seunit. Dua lagi varian Persona iaitu M-Line dan H-Line ditamatkan. Ini bermakna Persona B-Line akan diletakkan di bawah Preve, sementara Proton Inspira (enjin 1.8 liter dan 2.0 liter) berharga antara RM78,565 dan RM91,565 seunit sebagai model teratas.
Preve didatangkan dalam tiga varian iaitu model Executive mengguna transmisi manual lima kelajuan berharga RM59,990 seunit, model Executive CVT atau Continuous Variable Transmission dengan enam kelajuan (RM62,990 seunit). Kedua-duanya menggunakan enjin Campro IAFM+ manakala model tertingginya iaitu Premium CVT menggunakan enjin Campro CFE dengan transmisi tujuh kelajuan ProTronic ialah RM72,990 seunit.
Bagi enjin Campro IAFM+, ia memiliki kuasa maksimum 80 kW pada 5750 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 150 Newton meter (Nm) pada 4000 rpm. Kelajuan maksimumnya ialah antara 170-180 km sejam (km/j).
Model Premium CVT pula menawarkan kuasa enjin maksimum 103 kW pada 5000 rpm dan kuasa kilas 205 pada 2000-4000 rpm. Ia boleh dipacu sehingga 190 kmj walaupun semasa sesi pandu uji tempoh hari, kami mencatat kelajuan 210 kmj.
Daripada segi keselamatan, varian Premium CVT adalah lengkap. Beg udara bagi pemandu dan penumpang beserta beg udara sisi, selain dengan ABS dan EBD, BA dan Traction Control adalah dipasang standard.
Satu ciri keselamatan penting pada Preve ialah ESP (Kawalan Kestabilan Elektronik). Difahamkan, ia adalah sebagai persediaan Proton untuk memperkenalkan Preve ke pasaran Australia, yang mewajibkan setiap kenderaan dipasang ESP. Teknologi ini tidak dipasang pada banyak kereta Jepun atau Korea pada harga bawah RM100,000.
Ciri mewah pada Premium CVT ialah butang menghidupkan enjin, sistem pengesan hujan dan cuaca iaitu dengan menyalakan lampu apabila gelap; pengelap cermin automatik, auto cruise, lampu LED dan bagi yang mahu ‘bermain’ dengan kereta, ia memiliki penukar gear pada kemudi stering (paddle shifters).
Mengekalkan ciri-ciri mesra-keluarga, ruang kabinnya memiliki banyak tempat meletak barang termasuk empat cangkuk untuk menggantung plastik makanan iaitu dua cangkuk hanger baju, satu cangkuk di tepi kotak glove dan satu pada tengkuk kerusi penumpang depan.
Preve tidak menggunakan sistem gantungan (suspension) torsion beam seperti Exora sebaliknya sistem gantungan multilink ciptaan Proton sendiri yang lengkap dengan trailing arm dan coilovers. Pemanduan di lebuh raya berombak tidak menjadi gangguan kepada keselesaan dan fokus pemandu.
Menggunakan mod S pada transmisi CVT ProTonic dan beralih pada paddle shifters, tidak mengurangkan kejituan pengendalian dan dibantu oleh kemudi stereng yang lebih bertindak balas, kita jadi terlupa sebentar bahawa Preve hanyalah berkapasiti 1.6 liter kerana ia berfungsi seperti model 2.0 liter.
Proton Preve adalah hasil teknologi terbaik pernah dikeluarkan oleh Proton sehingga kini. Bermula dari reka bentuknya yang kontemporari, ciri-ciri aksesori dan keselamatan pada badan sehinggalah kepada keupayaan enjin dan prestasi pemanduan, Proton Preve pasti jadi pilihan ramai dan boleh dieksport ke luar negara dalam erti kata sebenar. Pakej pada Preve adalah lengkap dan memenuhi cita rasa serta kehendak pembeli hari ini.
Oleh JOHARDY IBRAHIM
Sumber: Utusan [18 April 2012]
Sedan terbaik Proton setakat ini
Prevé tidak menggantikan mana-mana model Proton. Sebaliknya, ia diposisikan antara model Persona dan Inspira. Banyak betul sedan Proton. Tidak mengapa, setiap model ada peminatnya tersendiri.
Memandangkan Prevé ialah model global, maka pembinaannya perlulah memenuhi standard dunia. Itulah cabaran paling besar yang terpaksa ditempuh Proton. Standard itu pastinya meliputi aspek keselamatan, teknologi, keselesaan, rekaan, kualiti binaan dan sebagainya.
RUANG kokpit mengaplikasikan tona hitam dengan kemasan kayu dan calitan perak.
Jentera itu dibina berasaskan kepada kerangka Exora. Bezanya hanyalah penggunaan suspensi roda belakang jenis multi-link yang pastinya lebih sesuai untuk sebuah sedan. Sedia maklum bahawa kereta Proton memang boleh diharap jika bercakap tentang kualiti pemanduan dan pengendaliannya.
5 Bintang MyVAP
Ciri keselamatan adalah antara ciri yang paling diberi perhatian oleh Proton untuk Prevé. Banyak betul sistem keselamatan yang ada padanya. Sebagai contoh, kerangka yang diperkukuh diberi nama RESS (Reinforced Safety Structure) , dua beg udara, sistem brek ABS, EBD, malah BA (brake Assist), kawalan cengkaman (traction control) Electronic Stability Control (ESC) dan ISOFIX untuk varian Premium. Jangan lupa juga bahawa Prevé mendapat penarafan lima bintang daripada Malaysian Vehicle Assessment Programme (MyVAP).
Sudah boleh dilihat secara dekat di bilik-bilik pameran Proton seluruh negara, sedan itu ditawarkan dalam tiga varian menerusi dua pilihan enjin dan tiga jenis transmisi. Varian tertinggi ialah model Premium yang dipasang dengan enjin 1.6 liter CFE, iaitu enjin sama pada model Exora Bold.
Cuma, ia telah ditala semula bagi memberikan kuasa yang lebih linear dan sesuai dengan karekter sebuah sedan.
Enjin dengan sistem 'soft turbo' itu menawarkan kuasa seperti enjin bersesaran 2.0 liter. Lebih tepat lagi, ia mampu mencecah kuasa 138hp dan tork puncak 205Nm.
Lebih menarik, enjin itu dipadankan dengan transmisi Protronic CVT tujuh kelajuan. Transmisi VT3 itu turut diberikan paddle shifter untuk membenarkan pemandu menukar gear secara manual.
Kalau hendak melihat dari segi prestasi, padanan tersebut membolehkan Prevé mencapai kelajuan maksimum 190 kilometer sejam (km/j). Sementara tempoh sedan itu untuk sampai ke kelajuan 100km/j dari kedudukan statik adalah 9.6 saat. Menyentuh aspek penggunaan bahan api pula, Proton mendakwa varian Prevé berenjin CFE ialah 6.6 liter bagi setiap 100km.
PINTU but belakang kini boleh dibuka dengan memicit butang pada kunci kenderaan.
Mahu memikat seramai mungkin pembeli berpotensi, Proton turut menawarkan varian 1.6 Executive CVT (VT2 enam kelajuan) dan 1.6 Executive bertransmisi manual lima kelajuan. Enjin yang digunakan pula ialah Campro IAFM, sama seperti yang ada pada model Saga 1.6.
Meninjau ke ruang kabin, Prevé menggunakan warna hitam sebagai temanya. Papan pemuka, stereng, fabrik tempat duduk dan panel sisi diberi warna hitam, di sebalik kemasan kayu dan calitan warna perak pada konsol tengahnya.
Bagi mereka yang memilih varian dengan enjin CFE, anda pasti berpuas hati dengan semua ciri yang ada pada kokpit Prevé.
Senarainya bolehlah dimulakan dengan butang Start/Stop, pemain cakera padat bersama sambungan Bluetooh, USB dan iPod, selain lampu hadapan, penggilap cermin dan pendingin hawa yang dikawal secara automatik. Tidak terkecuali, unit navigasi dengan skrin sentuh.
Prevé ditawarkan pada harga bermula RM RM59,540 hingga RM72,990 seunit bergantung kepada varian. Anda boleh memilih salah satu daripada enam warna yang ditawarkan iaitu hitam, putih, biru, merah, perak dan coklat.
Proton boleh dianggap berada di landasan yang betul untuk dipandang lebih serius sebagai pengeluar kenderaan berpengaruh. Sekurang-kurangnya di rantau ini. Namun, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.
Cabaran utama Proton pastinya untuk menghilangkan saki-baki rasa skeptikal pengguna terhadap kereta keluarannya. Paling tidak pun, membuatkan kelompok yang gemar mengutuk dan menghentam apa jua yang keluar daripada kilang Proton terdiam serta menutup mulut mereka.
UNTUK menghidupkan enjin, anda hanya perlu menekan butang penghidup.
Perkara itu jugalah yang saya anggap masih belum berjaya direalisasikan sepenuhnya oleh Proton. Sebabnya, kalau benar Proton sudah mampu menghapuskan persepsi negatif terhadap produknya, tidaklah seorang rakan bertanya kepada saya: "Ada Internet di dalam kereta? Kalau rosak macam mana?"
Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
Sumber: Kosmo [21/04/2012]
Labels:
Teknologi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
bergaya..pasti mendapat sambutan
Catat Ulasan