Nuff Atas

15 Mei 2012

Baju Zirah Dunia Islam


BAJU zirah berhias dari Mindanao, Filipina (Abad ke 19 Masihi / abad ke 13 Hijrah)

BAJU zirah juga dikenali sebagai baju besi. Pakaian ini digunakan oleh para kesatria atau tentera di seluruh dunia untuk melindungi badan daripada kecederaan senjata tajam seperti pedang, anak panah dan tombak sewaktu pertempuran.

Sebelum baju besi digunakan dengan meluas, kebanyakan tentera menggunakan kulit haiwan sebagai pakaian untuk melindungi diri mereka dalam peperangan. Seperti di China, tentera berjalan kaki khususnya menggunakan baju zirah yang diperbuat daripada kepingan kulit tebal yang dijahit menjadi baju.

Baju yang menggunakan cengkerang kura-kura dan besi digunakan oleh golongan bangsawan yang terdiri daripada para panglima dan keluarga diraja.

Baju besi yang pertama dipercayai dicipta oleh orang Celt pada tahun 300 Sebelum Masihi. Walaupun baju besi mula dipakai di Barat, ia juga telah digunakan oleh tentera Islam seperti di Iran, India, Turki dan Asia Tenggara.


Terdapat tiga jenis baju zirah yang digunakan oleh tentera dalam dunia Islam iaitu baju besi berantai, baju besi bersisik dan baju besi yang menggabungkan rantai dan plat.

Baju besi berantai diperbuat daripada jalinan besi bentuk cincin. Jalinan ini kemudiannya disusun dalam bentuk baju yang digunakan oleh tentera sewaktu peperangan. Terdapat baju yang mempunyai satu lapis rantai besi dan ada yang mempunyai dua lapis dan lebih.

Baju yang mempunyai lapisan rantai besi yang lebih daripada satu mempunyai tahap keselamatan yang lebih baik berbanding yang hanya mempunyai selapis rantai. Jalinan rantai ini juga boleh menghasilkan seluar dan sarung tangan untuk tujuan perlindungan bagi para tentera.

Bentuk rantai besi yang dihasilkan oleh tukang besi boleh mempengaruhi rekaan baju besi yang dihasilkan. Sebagai contoh terdapat dua jenis rekaan rantai besi yang digunakan oleh tukang besi dalam menghasilkan baju besi seperti rantai yang dihasilkan daripada cecincin kecil yang bulat dan yang kedua ialah cecincin besar leper yang akan menghasilkan bentuk seperti sisik.

Baju besi bukan mampu dimiliki oleh semua tentera yang menyertai peperangan. Baju besi yang halus buatannya digunakan oleh pemimpin tentera yang selalunya terdiri daripada raja dan panglima sesebuah kerajaan. Ini kerana proses pembuatannya yang rumit dan harganya yang mahal.

Baju besi bersisik pula diperbuat daripada kepingan kecil besi atau besar yang disusun secara berlapis dan melintang di atas sekeping kulit haiwan untuk dijadikan baju. Susunan kepingan besi yang dibuat perlu diberi perhatian supaya ia tidak mengganggu pergerakan seseorang tentera.

Jenis yang ketiga ialah baju besi yang menggabungkan rantai dan plat besi. Keseluruhan baju akan diperbuat daripada rantai besi manakala sesetengah bahagian badan akan dilindungi dengan plat besi seperti di bahagian dada.

Terdapat juga baju besi yang menggunakan plat besi di keseluruhan badan dan rantai di bahagian tangan. Baju zirah juga mendapat sentuhan hiasan terutamanya bagi golongan bangsawan. Teknik dan hiasan baju zirah juga dapat membezakan status tentera di medan peperangan.

Sebagai contoh, baju zirah yang menggunakan kepingan kulit di bahagian dada dihiasi dengan kepingan besi yang dipotong dalam pelbagai bentuk. Jalinan rantai yang menggunakan kombinasi warna dan susunan yang menarik dapat menghasilkan kesan seperti tenunan di atas baju besi.

Baju zirah boleh dilihat oleh para pengunjung di Galeri Senjata dan Perisai, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) yang dibuka setiap hari kepada para pengunjung.

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia
Sumber: Utusan

3 comments:

KorN berkata...

agak2 ade jual lagik x baju ni skang kat bundle?
hehe

zana berkata...

ade x jual kat mane2 kedai2 :) hihi

caliph shuriken berkata...

slalu tgk kt komik2 baju cmni ^^