30 Mei 2012
Rawatan Ibu Kanggaru Untuk Bayi Pramatang
CARA kanggaru membesarkan anak di dalam kantung perutnya diadaptasi dalam rawatan ibu kanggaru untuk bayi pramatang.
KELAHIRAN bayi pramatang dengan kurang berat badan memang cukup merisaukan lebih-lebih lagi apabila doktor mengesahkan si anak memiliki masalah saluran jantung sempit.
Bagi seorang ibu muda, Noor Azlina Jaafar, 34, hanya Allah yang mengetahui rawan di hati mereka.
“Saya lahirkan Nur Iman Damia pada 8 April 2012 lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada minggu ke-31 kehamilan. Tarikh itu jauh lebih awal daripada yang dijangkakan doktor iaitu antara minggu ke-39 dan 40. Ketika dilahirkan, berat Nur Iman Damia cuma 1.6 kilogram,” kata Noor Azlina yang melahirkan anak keduanya itu secara normal.
Beliau memberitahu, pakar perubatan pediatrik telah mengesyorkan supaya bayi mereka menjalani rawatan menggunakan teknologi inkubator yang berupaya memberi kehangatan dan mengawasi bayi pramatang sehingga mencapai tahap berat badan normal dan cukup bulan.
Selain itu, mereka juga digalakkan mencuba rawatan alternatif khusus untuk bayi pramatang yang dikenali sebagai penjagaan ibu kanggaru.
“Selain dimasukkan ke dalam inkubator, saya dan bayi turut menjalani rawatan ibu kanggaru. Menurut pakar pediatrik berkenaan, rawatan alternatif ini sangat membantu pertumbuhan dan perkembangan otak serta berat badan anak saya,” ujar Noor Azlina yang memulakan sesi ibu kanggaru selepas 30 minit atau sejam anaknya diberi susu badan menggunakan tiub khas.
Bagi mengelak jangkitan kuman atau bakteria, susu badan perlu dimasak terlebih dahulu mengikut prosedur yang ditetapkan.
Bagaikan sesi terapi sentuhan antara ibu dan anak, rawatan ibu kanggaru memerlukan ibu meletakkan bayi yang hanya dipakaikan topi dan dibalut dengan lampin di atas dada yang terbuka.
RAWATAN ibu kanggaru memberi peluang kepada ibu membelai dan menjadi penghangat paling baik untuk bayi pramatang. - Gambar hiasan
Penghangat
Belaian kasih dan kehangatan tubuh ibu bukan sahaja merangsang dan mengukuhkan jalinan kimia antara ibu dan anak sebaliknya kaedah itu juga dipercayai berupaya memberi semangat kepada si bayi untuk sentiasa berada dalam keadaan stabil supaya proses tumbesarannya berjalan lancar.
“Sebelum ini saya memang sedih apabila mengenangkan Nur Iman Damia terpaksa ditinggalkan di hospital. Kalau boleh, saya mahu ada di sisinya setiap masa.
“Namun, selepas beberapa kali menjalani rawatan ibu kanggaru bersamanya, emosi saya semakin stabil. Walaupun hanya boleh mendakapnya beberapa jam seminggu, saya dapat rasakan hubungan kami sangat erat.
“Agak kekok juga hendak memegangnya buat pertama kali kerana keadaannya yang pramatang, namun selepas ditunjuk ajar, kini saya selesa membiarkannya meniarap di atas dada saya. Bagi saya, rawatan ini sangat bagus dan mudah. Saya dapat membelai anak saya dengan penuh kasih sayang.
“Memandangkan sesi rawatan ini hanya sejam, saya manfaatkan sepenuhnya masa itu dengan berbual, memberi kata-kata semangat dan mengalunkan zikir sambil mengusapnya. Alhamdulillah, melalui kaedah ini, berat badannya semakin bertambah,” ujar Noor Azlina.
Sementara itu, Pakar Pediatrik Hospital Pantai Ampang, Dr. Wan Khairina Wan Mohd. Nowalid, memberitahu, rawatan ibu kanggaru bukan penemuan baharu dalam dunia perubatan.
“Rawatan ini diperkenalkan oleh pakar kanak-kanak Colombia, Dr. Edgar Rey pada tahun 1978. Pada mulanya, kaedah ini digunakan untuk menstabilkan suhu badan bayi pramatang dan menggalakkan penyusuan di negara yang kekurangan inkubator serta kemahiran mengendalikan bayi tidak cukup bulan.
“Namun, apabila kaedah ini dilaksanakan kepada bayi pramatang, ia dilihat dapat membantu membina hubungan antara ibu bapa dan anak selain memberinya semangat untuk terus membesar. Bayi pramatang atau kurang berat ketika dilahirkan berisiko tinggi untuk mengalami hipotermia apatah lagi keadaan fisiologi organ mereka masih belum matang untuk mencegah komplikasi tersebut daripada berlaku.
“Melalui rawatan ibu kanggaru, bayi dapat berkongsi kehangatan yang lebih bersifat semula jadi daripada ibu bapa jika dibandingkan dengan inkubator. Cara ini juga dilihat berupaya mengurangkan jangkitan kuman, menghasilkan fisiologi jantung dan pernafasan yang stabil selain meningkatkan daya tahan penyakit bayi.
“Selain itu, emosi bayi juga lebih stabil melalui hubungan rapat dengan ibu yang dikenali sejak dalam kandungan. Malah, dalam beberapa kajian, kaedah ibu kanggaru ini juga dapat mengurangkan kadar kematian dan komplikasi pramatang. Ia kaedah lama namun hasilnya cukup menakjubkan,” ujar beliau.
Oleh KUMARA SABAPATTY
Sumber: Kosmo
Labels:
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 comments:
dah macam2 teknologi sekarang ni :) terharu pulak tengok gambar bayi kecil tu :)
haha :))
banyak sebab yang membuatkan bayi lahir kurang matang....ibu mengandung atau bakal ibu perlukan lebih peka beleum dan sedang mengandung untuk mengelakkan kejadian begini berlaku. Tapi hakikatnya bayi yang lahir kurang matang selalunya tidak secergas bayi yang lahir cukup bulan..
tiba².....mengomen ngalahkan mak bidan hahahah
Catat Ulasan