29 Mei 2012

Urus Diri Selepas Bersalin


Usah abai jagaan kesihatan selepas bersalin, elak komplikasi lain

PENGALAMAN memiliki cahaya mata amat menyeronokkan. Yang pasti perasaan teruja menyelubungi diri ibu meskipun perlu menjaga, menyusu dan menguruskan bayi, selain memastikan cepat sembuh sebaik saja melahirkan.

Dalam tempoh berpantang, khususnya beberapa hari selepas bersalin, wanita masih bergantung kepada orang lain untuk mengurus diri dan bayinya, selain ingin memulihkan kesihatan serta menyesuaikan diri dengan suasana baru.

Lazimnya, jururawat atau bidan, individu yang bertanggungjawab mengurus ibu di hospital sebaik selamat bersalin. Mereka juga berpengalaman dan terlatih untuk mengendalikan ibu melahirkan sebelum keluar dari hospital.


Menyedari ilmu perbidanan adalah satu bidang penting, Persatuan Perbidanan Kebangsaan Malaysia (NMSM), Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), telah menganjurkan program bertajuk Penjagaan Ibu dan Bayi (Mi-CARE).

Program diilhamkan Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) dihadiri jururawat dan bidan terlatih bertujuan menambah ilmu dan mengetahui teknik terkini terhadap kehamilan dan kelahiran serta mutu penjagaan kepada ibu.

Mantan Presiden Persatuan Obstretrical dan Ginekologi Malaysia, Dr Mohamad Farouk Abdullah, berkata ibu perlu berada dalam keadaan sihat, mengambil makanan berkhasiat, cergas dan mendapat penjagaan antenatal (semasa mengandung) yang baik dan penjagaan dalam pantang yang betul bagi menjamin kehamilan dan bayi sihat.

Penjagaan Selepas Bersalin

Jururawat perlu mengetahui tahap fizikal dan mental dalam tempoh beberapa minggu pesakit supaya proses pemulihan dan penjagaan selepas bersalin lebih lancar.

“Penjagaan selepas bersalin sangat dititikberatkan supaya tidak memberi kesan kesihatan buruk pada masa depan dan membantu menyembuhkan ibu berkenaan seperti sedia kala,” katanya.

Terdapat pelbagai bentuk cara penjagaan bergantung kepada cara kelahiran sama ada normal atau menerusi pembedahan.

“Bagi melahirkan anak secara normal dan ketika si ibu masih di hospital, jururawat perlu memastikan mereka berehat di atas katil untuk seketika selepas melahirkan anak. Mereka tidak perlu terlalu aktif memandangkan masih lemah.

“Jururawat juga seharusnya menasihatkan ibu bangun dan berjalan secepat mungkin mengikut keselesaan bagi mengelakkan darah beku terbentuk di dalam urat mereka,” katanya.

Ibu digalakkan menyusukan bayinya, selain memastikan tekanan darah dan nadi dipantau secara berkala sebelum dibenarkan keluar hospital.

Apa yang jururawat perlu lakukan ialah memastikan si ibu mengikut nasihat iaitu mandi dengan air suam bagi membantu melegakan rasa pedih dan mempercepatkan luka selepas bersalin.

“Bagi ibu yang melahirkan menerusi kaedah pembedahan, jururawat perlu beri mereka makan secara intravena dan menggalakkan berjalan seberapa lama yang boleh bagi mengelakkan pembekuan darah di kawasan yang dibedah.

“Jika mereka rasa sakit di tempat dibedah itu, segera maklumkan kepada doktor untuk mendapatkan ubat penahan sakit. Jika ibu tidak mengalami sebarang komplikasi, mereka boleh dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Langkah Sebelum Keluar Hospital

Sementara itu, Dr Farouk menasihatkan ibu bersalin perlu mengikuti beberapa langkah sebelum meninggalkan hospital untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini ketika di rumah.

“Apa yang perlu dilakukan ialah dapatkan nasihat doktor untuk melihat sebarang kompilasi lain seperti jahitan terbuka, menanggalkan klip atau jahitan pembedahan dan sebagainya,” katanya.

Ujarnya, dari segi penjagaan diri untuk membersihkan diri di kawasan jahitan yang masih belum pulih, mereka harus memastikan luka berkenaan benar-benar sudah sembuh untuk mengelak jangkitan kuman.

Walau apa pun mereka perlu merujuk jika berhadapan sebarang masalah sementara menunggu luka kering dan sembuh.

Ketika berada di rumah, ibu perlu mengelak daripada terlalu tertekan supaya pulih secepat mungkin, selain dapatkan bantuan sokongan daripada keluarga dan rakan dalam beberapa hari selepas keluar dari hospital.

“Jangan terlalu stress memikirkan bentuk badan dan perut yang tidak lagi ramping kerana jika melakukan senaman di perut ia mungkin akan menyebabkan pendarahan dan sebagainya. Tunggu nasihat doktor, selebihnya, mereka digalakkan makan banyak serat dan elak daripada meneran apabila berada di bilik air,” katanya.

Seperkara lagi yang perlu diketahui ibu ialah bagaimana mengetahui rahim sudah beransur pulih dan mengecut kembali seperti biasa.

Katanya, darah pada faraj akan beransur-ansur bertukar warna pucat kekuningan dalam tempoh 10 hingga 14 hari berbanding sebelumnya berwarna terang.

Dr Farouk berkata, apabila semuanya berjaya ditangani dalam keadaan yang terurus, ia akan memberi kepuasan kepada pasangan berkenaan dan seterusnya melihat tumbesaran anak dengan cepat sekali.

“Setiap anak yang dilahirkan bergantung kepada bagaimana ibu bapa menguruskannya dan yang penting kerjasama antara pasangan,” katanya.



INFO: Tips selepas melahirkan bayi

1. Ambil masa berehat ketika bayi sedang tidur.
2. Gunakan coli yang menyokong. Pek sejuk membantu melegakan payudara yang bengkak. Tuam payudara dengan benda yang suam untuk merangsang pengeluaran susu ibu.
3. Jika ada jahitan pada faraj, mandi dengan air suam dua kali sehari untuk melegakan kesakitan dan mempercepatkan proses penyembuhan.
4. Selepas pembedahan, setiap ibu perlu memastikan tempat pembedahan berada dalam keadaan kering dan bersih.

Tips hubungan suami isteri

1. Sentiasa memastikan dapat mengimbangi masa antara bayi dan pasangan.
2. Sentiasa memastikan hubungan itu sentiasa kukuh dan berjalan dengan lancar.
3. Sentiasa wujudkan sifat kekeluargaan terhadap pasangan dan bayi.
4. Pasangan jangan terlalu bersungut, luangkan masa untuk berehat.
5. Sentiasa berkomunikasi.

Oleh Saadiah Ismail
Sumber: BHarian [2012/03/21]

3 comments:

syiela berkata...

time dalam pantang keluarga dan hubby banyak membantu.. saya banyak berehat sambil membaca :)

ch000tz berkata...

lom lagiiii :p

Bawang Goreng berkata...

Betul. Sangat-sangat penting. Kena jaga betul-betul, nak nak lagi kalau ada yang kena post natal blues...