Nuff Atas

15 Julai 2012

Kelab Yoga Ketawa Dilarang Beroperasi


POPULARITI yoga ketawa telah berkembang di serata dunia selepas ia diperkenalkan oleh doktor bernama Madan Kataria di Mumbai, India. 

KIRA-KIRA 17 tahun lalu, sebuah kelab yoga ketawa ditubuhkan di India bagi mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan hidup. Bagi ahli kelab tersebut, aktiviti berkenaan dipercayai mampu meningkatkan aura positif dalam kehidupan mereka.

Namun bagi sebilangan anggota masyarakat pula, tindak-tanduk ahli kelab tersebut cukup menjengkelkan. Lebih-lebih lagi aktiviti ketawa itu dilakukan pada awal pagi di kawasan kediaman mereka.

Berikutan itu, baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Bombay di India telah memerintahkan sebuah kelab yoga ketawa di Mumbai menghentikan sesi gelak ketawa mereka selepas menerima aduan daripada jiran-jiran.


Mahkamah tersebut mengarahkan pihak polis menghentikan sesi yoga berkenaan selepas seorang warga emas berusia 78 tahun mengadu senaman ketawa itu menyebabkan ''seksaan jiwa, kesengsaraan dan kacau-ganggu awam'', lapor akhbar DNA.

''Adalah tidak wajar berkumpul di luar rumah seseorang dan bergelak ketawa," kata hakim tersebut semasa mendengar tuntutan saman berkepentingan awam yang difailkan oleh Vinayak Shirsat dari Kurla di pinggir bandar Mumbai.

Mengikut petisyen Vinayak yang juga merupakan seorang peguam, sejumlah 10 hingga 30 ahli kumpulan tersebut berkumpul pada pukul 6 pagi untuk menyanyikan lagu-lagu kerohanian, saling bertepuk tangan dan ketawa dengan kuat di depan kediamannya yang berdekatan dengan sebuah tasik.

''Mereka ketawa sekuat hati dengan setiap ahli kumpulan itu digalakkan ketawa sekuat yang boleh,'' menurut warga emas berkenaan dalam aduannya.

Menurut laporan agensi asing, mahkamah tersebut memberi tempoh seminggu kepada pihak polis untuk memaklumkan kepada hakim mengenai perancangan mereka bagi menghalang kelab itu daripada menimbulkan masalah.

Mengikut peguam pengadu, Veena Thadani, masalah yang dihadapi oleh anak guamnya itu bukanlah satu bahan gelak ketawa.

''Memang benar ketawa 'boleh berjangkit', tetapi jika 30 orang bergelak ketawa setiap hari di jendela rumah kamu dan kamu terjaga disebabkan bunyi sumbang tersebut, kamu tidak akan ketawa.

''(Kerana) Mereka digalakkan ketawa sekuat-kuat hati mereka - mereka bersahut 'ketawa melalui perut kamu! ketawa melalui mata kamu! ketawa melalui telinga kamu!,'' kata Veena.

Walaupun beberapa arahan telah dikeluarkan sebelum ini, namun pihak polis masih tidak mengambil tindakan terhadap ahli-ahli kelab tersebut kerana mereka bukan kelab yang berdaftar. Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Mumbai turut menyuarakan kekecewaan mereka mengenai perintah yang tidak dilaksanakan.

''Selesaikan masalah ini 'orang datang dan ketawa di luar rumah kamu', masalah seperti ini sepatutnya tidak diperlukan,'' kata salah seorang daripada hakim terbabit.

Yoga ketawa dipopularkan sebagai rutin senaman oleh seorang doktor perubatan India, Madan Kataria pada 1995, atas dasar ketawa akan memberikan banyak manfaat dari segi psikologikal. Madan memulakan kelab itu dengan lima pengikutnya sebelum popularitinya berkembang di seluruh dunia dan menjadi inspirasi kepada penubuhan 8,000 kelab ketawa di 65 buah negara.

Bagaimanapun mengikut Veena, di Kurli yang terletak di pinggir bandar Mumbai, tiada sesiapa yang ketawa kerana para penduduknya berjuang bagi menuntut hak menikmati kehidupan dengan aman.

''Ia adalah pencerobohan pendengaran. Kamu tidak boleh dipaksa mendengar bunyi-bunyian yang kamu tidak mahu dengar. Sesiapapun akan sengsara disebabkan aktiviti sebegini di luar rumah mereka setiap pagi.

''Bagaimana rasanya sekiranya kamu mahu bangun lewat atau tidak sihat pada pagi itu? Mereka akan tetap mengejutkan kamu dengan ketawa terkekek-kekek,'' kata Veena.

Susunan AMIRUDDIN HARUN
Sumber: Utusan

4 comments:

khairul berkata...

tu la gelak sangat !

meh tengok sapa yg Glamer dlm latest edition ICEMAG ( VOL 23 ) ..
Click here..http://gilamodified.blogspot.com/2012/07/glamer-lagik.html

QweensheesZ berkata...

ahahahaa !
http://myhuhuhabuu.blogspot.com

YaYaNsMuM a.k.a YM berkata...

Huhuhu...tu lar, sape soh gelak sangat...ekekeke...:)

Cik Rongoks berkata...

ketawa banyak sgt pon tak boleh gak.huhu