Nuff Atas

05 Julai 2012

Pastikan Anda Kira Baki Wang Sebelum Beredar



Masyarakat di ibu kota serta bandar besar yang lain di negara ini sememangnya tidak asing malahan kian selesa dengan gaya hidup 'makan di kedai'. Mungkin kerana faktor-faktor seperti kesuntukan masa, lokasi premis makan yang menjanjikan akses mudah dan pilihan makanan yang banyak menyebabkan 'budaya' itu muncul dan menular.

Atau juga warga kota mungkin rasa terlalu penat selepas bekerja seharian menyebabkan ramai di kalangan mereka memilih gaya hidup sebegini.

"Bila balik dan sampai rumah, nak kena masak lagi..." itulah antara keluhan ramai warga kota yang mempunyai kerjaya. Lantaran itu, ramai yang memilih untuk makan di kedai, dapat pilih makanan ikut selera masing-masing dan tidak payah bersusah-susah untuk menyediakan makanan.

"Sebenarnya lebih murah dan lebih cepat," kata seorang warga pengguna.


KOMPLEKS BELI-BELAH

Ketika anda membeli belah di kompleks membeli belah atau makan di medan selera, anda mungkin pernah mengalami pengalaman seperti berikut.

Anda dan isteri telah memesan makanan di sebuah kedai dan menunggu di kaunter bagi mengambil makanan dan membayar harga.

"RM14," kata si juruwang akan jumlah yang perlu  anda bayar di kaunter itu.

Isteri anda menghulurkan sekeping wang RM100 dan juruwang memulangkan baki.

Seketika kemudian anda rasa tidak sedap hati dan dengan pantas menyuruh isteri anda, yang telah hampir memasukkan wang baki tersebut ke dalam beg tangan, untuk mengira jumlah wang yang dipulangkan.

Rupa-rupa wang baki yang dipulangkan adalah hanya RM81, bukan RM86 seperti yang sepatutnya.

Bila diberitahu, juruwang dengan pantas menjawab: "Oh RM5 lagi ya," dan terus memulangkan tambahan RM5 lagi.

Apa yang perlu anda perhatikan di sini, juruwang memang sudah tahu wang baki adalah RM5 kurang daripada yang sepatutnya.

Kalaulah perkara yang sama berlaku kepada 20 pelanggan sehari, sudah tentu juruwang itu dapat mengumpulkan RM100 daripada 'kealpaan' para pelanggan sahaja!.

Sebab itulah pelanggan dinasihatkan mengira terlebih dahulu wang baki mereka sebelum beredar dari mana-mana kaunter bayaran.

KIRA DULU

"Sebaiknya pelanggan kena kira dulu baki wang mereka sebelum meninggalkan kaunter. Kalau dah pergi jauh atau jarak masanya sudah agak lama, segala aduan anda tidak akan dilayan walaupun episod di mana pelanggan diberi tidak cukup wang baki adalah benar berlaku," jelas Gurmukh Singh, seorang aktivis pengguna dan sosial.

Satu tabiat pelanggan di kedai makan adalah apabila siap makan, kebiasaannya mereka akan panggil pelayan untuk 'kira'.

"Bos kira". Di kota, sudah menjadi lumrah pelanggan memanggil pelayan atau tuan punya kedai sebagai 'bos'. Itu sudah satu kebiasaan bila makan di warung atau kedai tidak kira kedai masakan Thailand, mamak atau yang lain.

Maka datanglah pelayan itu bawa kertas dan pen. Yang lebih canggih lagi, ada yang bawa mesin kira (kalkulator).

"RM 18.50", kata pelayan berkenaan dan tanpa bercakap banyak pelanggan pun hulur wang dan pelayan itu kembali dengan duit baki dan tanpa bercakap banyak pelanggan pun mengambil tanpa mengira dan terus memasukan baki wang ke dalam saku.

"Kita tidak sedar yang mungkin wang baki itu tidak cukup. Katakanlah sehari pelanggan ditipu sebanyak RM1.00. Kalau 50 pelanggan sehari dah maknanya jumlah ialah RM50.00. Bayangkan dalam sebulan berapa ? Itu baru RM1. Kalau lebih bagaimana?" kata Gurmukh.

SEGAN

Ramai di antara pelanggan rasa segan atau malu nak kira satu-satu baki wang yang dipulangkan.

"Bukan apa, takut orang kata saya terlalu berkira sangat. Tetapi selepas saya melihat seorang pelanggan lain bising bila dia mendapati wang baki yang dipulangkan tidak mencukupi beberapa ringgit, saya pun mulalah berhati-hati dan mengira dulu wang baki sebelum memasukkannya ke dalam saku," kata seorang pelanggan, David Lim.

Kata Lim lagi, dia akan mengira secara mental akan jumlah harga makanan dan membandingkan apa yang dikata pelayan.

"Kadang-kadang mereka datang dengan kalkulator, tapi jangan percaya sangat kalkulator tu betul. Kalau rasa sesuatu yang tidak kena, kiralah balik sendiri," ujar beliau.

Dia mengimbas kembali satu peristiwa di mana beliau satu keluarga telah pergi makan malam di satu medan selera di Petaling Jaya.

"Pelayan menyatakan bil adalah RM350, saya rasa tidak sedap hati melihat beliau menggunakan mesin kira di tangan dan saya pun kira balik. Amaun yang sebenarnya tak sampai pun RM300 Jadi pelanggan harus berwaspada dan jangan biarkan pelayan mengira dengan begitu lewa sebab kita yang kena bayar dan bukan orang lain," kata beliau lagi.

BUKAN KEDAI MAKAN SAHAJA

Kejadian 'salah kira' atau pulangkan wang baki yang kurang bukan hanya berlaku di kedai atau warung makan.

"Situasi sama boleh berlaku di kedai runcit atau membayar di tempat lain seperti ketika memperbaharui insurans kenderaan di premis ejen insurans," kata Gurmukh.

Beliau sendiri mengalami peristiwa tersebut bila memperbaharui insuran motosikal anaknya.

"Ejen insurans menyatakan bahawa saya perlu bayar RM240, dan saya bayar dengan tiga keping wang RM100. Wang yang dikembalikan itu saya terus masukkan dalam saku dan bila sampai rumah saya dapati bakinya hanya RM40 dalam bentuk empat keping RM10 di mana sepatutnya adalah RM60.

"Bila saya pergi semula jumpa ejen insuran itu, dia berkeras sudah memulangkan wang baki yang cukup dan saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana silap tidak kira dulu depan beliau," kata Gurmukh.

Bagaimanapun bukan semua pelayan atau tuan punya kedai makan yang bertindak atau berperangai sedemikian. Masih banyak kedai atau warung lain yang jujur dan tidak memberi masalah seumpama itu.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA [29/06/2012]

Catatan Pengalaman:

Sesuatu hal yang mungkin bekaitan adalah bagaimana anda tertipu dengan pandangan mata anda sendiri terhadap kemiripan warna mata wang seringgit dan RM50.

Selepas beberapa lama selepas anda meninggalkan sesuatu medan selera (sebagai contoh), anda dapati anda telah kehilangan sekeping RM50 yang anda telah letakkan di dalam dompet bersama-sama mata wang yang lain.

Anda mulai syak, pastinya ada telah tersalah 'hulur' ketika membuat bayaran di kaunter medan selera yang anda singgahi sebentar tadi. Bagaimanapun tentulah tidak munasabah untuk berpatah balik ke medan selera tersebut lalu meminta dikembalikan semula wang anda itu.

Hal ini teleh berlaku kepada saya beberapa kali di saat saya terburu-buru mahu cepat disamping perkhidmatan kaunter yang lembab di saat waktu puncak dengan pelanggan yang ramai.

Pengalaman seperti telah menyebabkan saya kini mengasingkan kompatmen penyimpanan kedua-dua mata wang tersebut di dalam dompet saya.

Di dalam benak kita di saat itu tentunya akan berfikir tentang kejujuran penjaga kaunter itu ketika menerima jumlah yang salah daripada pelanggannya. Adakah dia juga sama-sama tertipu dengan pandanga matanya juga?

Bagaimanapun peniaga juga tentunya tidak boleh dipersalahkan di saat mereka perlu melayn pelanggan yang ramai dan berasak-asak.

Semoga kita lebih berhati-hati dalam hal yang berkaitan dengan pembayaran dan baki wang di saat kita berbelanja...

9 comments:

Aishah Jahirah berkata...

kadang2 kira....kadang tak kira dah.tapi mmg betul kdg2 balance yg diberi xckp.so kalau ada duit ngam2 tu elok bg ngam2 je.

syiela berkata...

selalu kira sebab pernah terkena huhuhu

miss A berkata...

dari dulu my mom ajar kira baki..

LidiaSuraya berkata...

ha kan salu i pun main masukkan jer duit dalam wallet back... too trust wif people kan?
ok take note

LidiaSuraya berkata...

btw salam kenal
i singgah n follow kamu yer

amranaiman berkata...

biasa berlaku ni.. padahal kita percaya dgn cahsier kedai..tu mls kira.. rupanya kena tipu..kita dapat duit lebih pun kita patah balik pualg duit.. :P dia nipu pulak adeyai

Muttallif berkata...

Ramai yang mempraktikkan begitu. Ada yang ambil tak banyak mungkin 20sen tapi kalau berlaku kepada 10 setiap hari. banyak tu.

Hati2lah dengan wang. Kira dulu sebelum menyimpan baki anda. Jangan segan. Itu hak kita

sedutzone berkata...

itu sebabnya, kita kena sentiasa guna kan duit sekecil mungkin... agak2 la, xkan harga 2 ringgit, nak pakai seratas atau lima puluh?? btol x?? beringat la gak...

caliph shuriken berkata...

pnah tkena lebih kurang cmni.. kdg2 dpt syiling ngara lain, kdg2 dpt duit kertas yg dh byk conteng2, erkk...