Nuff Atas

07 Julai 2012

Ucapkanlah Terima Kasih Kepada Semua

Di kalangan masyarakat hari ini terutama generasi muda, ungkapan 'terima kasih' begitu sukar diucapkan dalam kehidupan seharian. Mengapa?


'Let us be grateful to people who make us happy; they are the charming gardeners who make our souls blossom.'

Mudah sahaja sebutannya malah kanak-kanak kecil pun sudah mampu melontarkannya dengan baik. Namun, ia masih berat dan kelu untuk dijadikan pakaian lidah bagi segelintir manusia. Walhal, ia hanyalah sekadar dua patah perkataan, terima kasih, dan rasanya tidak memerlukan pergelutan lidah bagi menyebutnya.

Kalau diajukan 'mengapa', semuanya berbalik kepada realiti semasa yakni, hampir kebanyakan daripada kita mengambil mudah atau sambil lewa akan perkataan itu. Sikap sedemikian akhirnya menjurus kepada pembentukan sahsiah keperibadian diri, merasakan tiada keperluan ucapan itu, lantas menyebabkan segelintir kita tidak ambil kisah untuk mengungkapkannya.

Namun, tanpa disedari adakalanya kita turut mempersoalkan keperibadian seseorang berikutan tiada ucapan terima kasih dipertuturkan, sekali gus memberi erti bahawa ucapan itu sangat bermakna. Bagaimanapun, sebelum menimbal kepada orang lain, tanya diri sendiri dahulu sama ada sudahkah kita mengucapkan terima kasih hari ini ataupun adakah ia menjadi amalan seharian kehidupan kita?


MAHALNYA TERIMA KASIH

Begitu mahalnya ucapan itu, sehingga adakalanya perlu diingatkan terlebih dahulu untuk berbuat demikian dan ia adalah satu keadaan yang sangat 'menyedihkan'. Sebagai masyarakat timur, ia bukanlah satu senario 'asing' pengamalan budi bahasa dan nilai-nilai murni termasuklah pengucapan terima kasih kerana ia menjadi kebanggaan warisan masyarakat terdahulu.

Namun, cabaran globalisasi dan peralihan sikap yang memperlihatkan kepada penjurusan sahsiah individualistik, materialisme, menyebabkan segelintir daripada kita 'lupa' atau sengaja membuat lupa akan kepentingan penggunaan nilai itu.

Walhal, nilainya tidak pernah lapuk dek zaman malah diguna seluruh dunia. Ia dituturkan oleh semua bangsa dari dahulu sehinggalah sekarang. Yang membezakannya, hanyalah bunyi ucapan itu sahaja.

Bagi orang Cina, ia disebut 'xie xie', bangsa Arab, 'syukran jazilan', bahasa Inggeris, 'thank you' dan bangsa France pula menyebutnya 'merci'.

Biar apa pun sebutannya, namun tujuannya tetap sama, yakni sebagai lambang penghargaan betapa kita menghargai apa yang dilakukan oleh orang itu kepada kita. Ucapannya mudah, namun nilai di sebalik perkataan ini sangat bermakna kepada seseorang dan boleh memberikan kebahagiaan, kegembiraan kepada si penerima.

Dalam Islam juga, terima kasih turut disesuaikan dengan kalimah 'syukur', yakni diucapkan bagi menyatakan perasaan gembira sebaik menerima sesuatu nikmat, rezeki sebagai menghargai anugerah pemberian Allah.

TIADA SALAHNYA, WALAU DI JALAN RAYA

Tidak dinafikan terdapat segelintir pemandu di Malaysia membentuk senario 'kurang hormat' kepada pemandu lain di jalan raya. Perilakunya itu, mungkin berpunca daripada keperibadian diri (bukan semua), selain alasan hendak cepat sampai ke destinasi, tekanan jalan sesak, sekali gus membentuk senario negatif itu.

Justeru, ringankan tangan sebagai tanda, isyarat "terima kasih" kepada pemandu lain kerana bersabar apabila anda melakukan kesilapan semasa memandu, memberi laluan di jalan yang sempit dan sebagainya. Itu bukan sekadar menunjukkan tanda hormat, malah akan mengelakkan pemandu lain memarahi anda dan mengeluarkan perkataan kesat yang tidak sedap didengar.

Thank You quotations
'Kindness is the language which the deaf can hear and the blind can see.'

MOTIF, TERIMA KASIH?

Secara jujurnya, berapa ramai antara kita mempratikkan pengucapan kalimah itu kepada pemandu bas, teksi, petugas tol, kaunter dan seumpamanya? Berapa ramai juga yang mengucapkan terima kasih kepada pengawal keselamatan yang membuka pintu untuk anda?

Pernahkah anda menuturkan perkataan itu kepada pembantu kafeteria yang menolong mengutip pinggan atau gelas kotor yang kita gunakan? Dan terucapkah anda terima kasih kepada pencuci pejabat apabila meja tempat kerja anda dibersih dan dikemaskan?

Ambil masa dan fikir sejenak. Itu hanya sebahagian sahaja kerana masih banyak lagi senario yang memerlukan pengucapan terima kasih itu dilontarkan namun dipandang 'remeh' oleh segelintir manusia.

Paling tidak dimasuk akal apabila ada bermentalitikan pekerja-pekerja ini tidak sewajarnya menerima ucapan terima kasih kerana sudah menjadi kewajipan mereka. Biar apa alasannya sekali pun, tiada salahnya untuk menzahirkan terima kasih kerana ia menandakan seseorang itu mempunyai nilai-nilai serta moral yang tinggi dalam dirinya.

TERIMA KASIH CIKGU!

Menariknya, budaya menzahirkan perkataan itu kepada golongan pendidik bermula sejak usia tujuh tahun lagi sehinggalah pelajar itu melangkaui umur 17 tahun. Selama 12 tahun kalimah itu bergema di halwa telinga pelajar, namun ia berubah sebaik sahaja menjejakkan kaki ke menara gading.

Tiada lagi ucapan kebiasaannya dizahirkan kepada golongan pensyarah sebaik sahaja habis kelas. Senario yang menjadi kebiasaan sejak zaman persekolahan itu dilihat seolah-olah tiada lagi nilainya untuk dipraktikkan.

Ucapan terima kasih hanya diberikan kepada pensyarah sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan mahupun lulus subjek itu, itu pun kalau jumpa dengan pensyarah itu.

Mungkin bukan semua, namun amalan berterima kasih dalam pengucapan yang sempurna dan berakhlak seharusnya menjadi pakaian lidah mahasiswa kerana ia akan menambahkan lagi keberkatan serta memudahkan proses pembelajaran.

KADANG-KALA KITA LUPA

Terlalu menjaga hati orang lain, rakan, pihak atasan, adakalanya kita 'lupa' untuk menghargai ahli keluarga, walhal ibu bapalah yang bertungkus-lumus tanpa mengira perih dan sukarnya membesarkan anak.

Bagaimanapun, anak (bukan semua) merasakan pemberian berbentuk 'kebendaan' sudah cukup sebagai erti kasih, hormat dan lambang balasan terhadap masa, wang dan sayang yang dicurahkan oleh orang tua mereka.

Hakikatnya, ucapan terima kasih itu sangat bererti dan merupakan hadiah paling mahal, bermakna bagi seseorang berstatus ibu dan ayah. Untuk itu, keluarga merupakan 'kunci' dalam proses penyemaian nilai-nilai murni dalam keperibadian anak.

Didik sejak kecil, ringankan mulut untuk menuturkan ucapan terima kasih kepada anak biarpun ia hanyalah sekadar menolong mencuci kereta, mengambil surat khabar kerana ini juga boleh mengeratkan silaturahim antara keluarga.

Tidak mustahil, pengucapan terima kasih akan sentiasa terucap di bibir anak mereka biarpun sudah melangkaui dewasa.

TINGKAT MOTIVASI

Tidak salah bagi seorang 'ketua' menzahirkan perkataan itu kepada pekerjanya di atas tugasan yang telah disiapkannya. Biarpun ketua, tidak semestinya ucapan terima kasih itu tidak perlu dipraktikkan kerana selagi anda menghormati pekerja, sejuta kali mereka akan menghormati anda.

Selain mewujudkan atmosfera harmoni di tempat kerja, ia juga psikologi terbaik untuk menghargai pekerja anda, kata Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, Pakar Perunding Psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kepada Bernama.

Ia sebutan mudah lagi ringkas, yang dapat menambah rasa hendak memberi dan menghulur sesuatu berulang kali malah lebih baik daripada sebelumnya, sekali gus meningkatkan lagi produktiviti pekerja.

"Dalam sesuatu organisasi, budaya apresiasi penting kerana akan membuatkan mereka lebih bersemangat, bermotivasi untuk bekerja dengan lebih kuat sekali gus akan meningkatkan lagi kecemerlangan organisasi," katanya.

Namun, pekerja pula jangan sekadar mengharap 'ketua' sahaja mengalunkan ucapan itu kerana diri anda juga seharusnya menjadikan kalimah itu sebagai pakaian lidah dalam kehidupan seharian.

Walaupun ia hanyalah sekadar dua patah perkataan, namun nilai tersembunyi di sebalik ucapan 'terima kasih' itu tidak patut dipandang remeh kerana ia lebih berharga daripada wang ringgit!

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA [25 Jun 2012]

8 comments:

miss A berkata...

terima kasih

PariPariPutih berkata...

Terima Kasih KODING ko selalu berkunjung ke blog PPP tak kira siang atau malam... and I THANK U for that ^^

Puteri Kasih berkata...

jangan kata nak ucap terima kasih..kadang-kadang nak senyum pun payah..macam mahal betul senyuman diorang.

terima kasih untuk entri ini..hehe

Aishah Jahirah berkata...

terima kasih...perkataan yg mampu buat org terharu..

caliph shuriken berkata...

nice sharing.. satu perkataan yg mampu merubah suasana menjadi positif ^^

Encik Zaharin berkata...

jangan bakhil mengucapkan "terima kasih" ... x rugi apa pun

Muttallif berkata...

Terima kasih sebenarnya 2 patah kata yang menunjukkan keikhlasan dan redanya hati kita kepada setiap perkara.

CikZaitul berkata...

terima kaseyyyyyy............. :P