16 Ogos 2012

Persaraan Sektor Swasta Pada Umur 60 Tahun Mulai 2013



Umur persaraan 60 tahun bagi sektor swasta dijangka dilaksanakan pada tahun depan iaitu enam bulan selepas undang-undang berkenaan diwartakan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (gambar) berkata, pihak industri bagaimanapun boleh menangguhkan pelaksanaannya selama setahun atas permintaan majikan.

''Sebelum ini kita menemui wakil daripada industri yang berbeza, ada yang minta kita beri tempoh kelonggaran selama dua tahun atau lima tahun selepas akta ini dilaksanakan.

''Tetapi hasil perbincangan dengan pihak kementerian, masing-masing bertolak ansur dan bersetuju bahawa tempoh kelonggaran yang diberikan adalah selama setahun," katanya.


Mesyuarat yang turut disertai wakil majikan dan pekerja itu membincangkan beberapa isu termasuk pelaksanaan umur persaraan 60 tahun, gaji minimum dan kemungkinan mewujudkan tabung khas untuk membantu pekerja yang diberhentikan kerja tanpa bayaran pampasan.

Dalam perkembangan berkaitan, Subramaniam berkata, selepas umur persaraan 60 tahun dilaksanakan, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mempunyai pilihan untuk mengeluarkan caruman mereka selepas 55 tahun atau 60 tahun.

Beliau berkata, akta berkaitan juga akan dipinda supaya pekerja swasta boleh mencarum sehingga 60 tahun selari dengan perubahan umur persaraan.

''KWSP telah membuat keputusan bahawa baki caruman boleh dikeluarkan pada 55 tahun tetapi mereka yang tidak mahu keluarkan caruman boleh menyimpan sehingga 60 tahun," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan terus mengadakan perbincangan dengan para majikan mengenai pelaksanaan gaji minimum pada 1 Januari 2013 tahun depan.

''Satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan dialog akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan untuk selesaikan isu-isu pelaksanaannya.

''Saya berharap semua pihak akan bertolak-ansur untuk pastikan gaji minimum dapat dilaksanakan mengikut jadual asal," katanya. [Utusan 14/08/2012]

Carum KWSP Sampai 60

Kakitangan swasta yang bekerja sehingga usia 60 tahun diwajibkan mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun dibenar mengeluarkan caruman pada usia 55 tahun. Pencarum juga boleh mengeluarkan 30 peratus caruman ketika berusia 50 tahun dan baki 70 peratus lagi selepas berusia 55 tahun seperti termaktub dalam akta.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata berikutan keputusan itu, KWSP akan meminda akta berkaitan bagi melanjutkan usia pengeluaran sehingga 60 tahun.

“Selepas berbincang dengan kementerian, KWSP membuat keputusan bahawa pengeluaran wang caruman kekal pada usia 55 tahun.

“Namun, mereka mempunyai pilihan sama ada mengeluarkan caruman pada usia 55 tahun atau mengeluarkan semuanya pada usia 60 tahun,“ katanya

Subramaniam berkata, pelaksanaan persaraan wajib sektor swasta pada usia 60 tahun akan bermula tahun 2013 depan, iaitu selepas enam bulan atau setahun ia diwartakan. [BHarian]

TNB GLC pertama laksana had umur bersara 60 tahun

Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini muncul sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama melanjutkan had umur persaraan wajib daripada 56 tahun kepada 60 tahun bermula pada tahun ini. Hal ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di majlis perhimpunan warga kerja TNB di Kompleks Sukan TNB pada 3 September 2012.

Lembaga Pengarah dan Pengurusan TNB bersetuju menaikkan kadar caruman KWSP majikan untuk pekerja TNB dalam tempoh umur 56 hingga 60 tahun. Ini membolehkan mereka yang akan bersara dalam tempoh empat tahun lagi, menikmati manfaat daripada caruman itu. [BHarian]

Bagi warga kerja baharu TNB, mereka akan dicarumkan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 Sept 2012 [Bernama]

0 comments: