20 Ogos 2012

Puasa Enam Hari Di Bulan Syawal



Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun. (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini menjadi hujah kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari di bulan Syawal selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan penuh.

Setiap amalan ibadah akan dibalas dengan 10 kali ganda. Tiga puluh hari kita berpuasa, pahalanya seperti 300 hari. Jika ibadah ini diikuti dengan enam hari berpuasa setelahnya, maka seakan-akan kita telah berpuasa 360 hari. Dan itulah bilangan hari-hari dalam satu tahun.

Puasa Syawal ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja selagi kita masih berada di bulan Syawal. Asalkan sahaja kita tidak melakukannya pada Hari Raya Aidilfitri itu sendiri. Puasa ini boleh dilakukan berturut-turut, boleh juga terpisah-pisah. Semuanya terpulang kepada kemampuan kita.

Antara fungsi puasa sunat ini adalah menutupi kekurangan yang mungkin terdapat dalam puasa Ramadan kita seperti mengumpat atau berdusta tanpa disedari. Puasa enam di bulan Syawal dapat menutupi kekurangan-kekurangan tersebut sehingga ibadah Ramadan kita menjadi sempurna di sisi Allah SWT.


Hikmah Dari Segi Kesihatan

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan.

Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Pada hari raya, ia mencerna pelbagai jenis makanan bermula dari ketupat rendang sehinggalah kepada nasi minyak.

Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Konsisten

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah SWT, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari.

Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya.

Bulan Syawal sebenarnya merupakan bulan kesinambungan ibadah-ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadan. Beribadah di bulan Syawal membuktikan bahawa tarbiyah Ramadan benar-benar berkesan di dalam diri kita. Benih-benih keimanan yang kita taburkan sepanjang bulan Ramadan seharusnya tumbuh dan mengeluarkan buahnya pada bulan ini.

Para ulama mengatakan bahawa beribadah di bulan Syawal merupakan pertanda ibadah Ramadan kita diterima oleh Allah SWT.

Berkata Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Lataif al-Ma'arif: "Apabila seseorang selesai daripada satu amalan ibadah, maka tanda ibadah itu diterima oleh Allah adalah ia menyambungnya dengan ibadah yang baru. Dan tanda ibadah itu tertolak adalah ia menyambung ibadah itu dengan amalan maksiat."

Justeru, beberapa amalan ibadah sangat dianjurkan untuk kita laksanakan pada bulan ini. Semuanya merupakan kelanjutan amalan kita di bulan Ramadan.

Puasa Enam dan Puasa Ganti

Persoalan puasa qada dan puasa enam di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal.

Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Syeikh Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya tentang persoalan ini menyatakan bahawa sudah cukup bagi seorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat puasa qada di bulan Syawal, dan ia akan diganjari dengan dua ganjaran sekali gus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qada terlebih dahulu.

Ini adalah kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Kebanyakan ulama Syafi'iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperoleh kurang daripada seorang yang berniat kedua-duanya.

Di dalam kitab As-Syarqawi 'Alat Tahrir yang dikarang oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan bahawa jika seseorang berpuasa qada yang tertinggal di bulan Ramadhan atau bulan selainnya, atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam. Ini adalah kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal.

Namun, pahala yang diperoleh tentulah kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya sekali.

Namun, kebanyakan ulama berpendapat bahawa sekalipun pahala puasa enam bersama puasa qada akan diganjari bersama-sama puasa yang satu, seseorang yang melakukan kedua-duanya secara berasingan tetap akan mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah SWT.

Ini adalah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba mencari redha Tuhannya.

Puasa sunat enam hari dilakukan berselang-seli

Seterusnya, Imam an-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu Syarah al-Muhazzab bahawa dalam mazhab as-Syafii disunatkan berpuasa enam hari Syawal kerana ia ada disebutkan di dalam hadis. Mereka berpendapat, sunat berpuasa secara berturut-turut.

Tetapi jika seseorang melambatkannya, ini dibolehkan kerana ia masih mengikut garis panduan hadis. Kami tidak pertikaikan pandangan ini, malah ia juga adalah pandangan Ahmad dan Daud.

Oleh itu, bukanlah suatu syarat untuk melakukan puasa enam hari pada Syawal secara berturut-turut. Sekiranya puasa berkenaan dilaksanakan secara berasingan, maka perkara itu dibolehkan. Sekiranya dapat dilakukan dengan segera tanpa melengah-lengahkan, maka perkara itu adalah lebih baik.

Allah SWT berfirman dalam beberapa ayat antaranya dalam surah Ali Imran ayat 133 (yang bermaksud): Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan-mu.. Begitu juga dalam surah al-Maaidah ayat 48 (yang bermaksud): Maka berlumba-lumbalah membuat kebajikan.

Justeru, kita seharusnya menyegerakan puasa enam kerana dibimbangi sekiranya kita melengah-lengahkan akan menyebabkan kita terlupa atau kemungkinan berlaku pelbagai masalah mendatang.

Namun tidaklah menjadi kesalahan jika dibuat pertengahan bulan atau akhir bulan. Ini adalah pandangan Imam Syafii dan Hambali.

Membaca Al-Quran

Melanjutkan bacaan al-Quran yang kita baca pada bulan Ramadan. Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: seseorang bertanya kepada Nabi Saw: "Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah?"

Baginda menjawab: "Orang yang segera berangkat setelah tiba. Yakni orang yang membaca al-Quran dari awal hingga ke akhir. Apabila ia tiba di akhirnya, ia memulai bacaan kembali dari awalnya."

Al-Quran bukan untuk dibaca hanya di bulan Ramadan sahaja, malah ia mesti dibaca di bulan-bulan yang lain juga.

Terbukti sesiapa yang melanjutkan bacaan al-Qurannya di bulan Syawal, insya Allah ia akan dapat beristiqamah untuk terus membacanya ke bulan-bulan yang lain.

Sumber:
http://www.iluvislam.com/tazkirah/bulan-islam/846-puasa-enam-syawal-.html, BHarian dan Utusan

2 comments:

Kak Mahh berkata...

Selamat berpuasa 6

Cik Kay Jue berkata...

insya Allah.. ckj pun nk puasa 6.. :)