14 Oktober 2012

Aksi Bahaya Terjunan BASE


Aksi berbahaya tetapi menyeronokkan

TERJUNAN BASE merupakan sukan ekstrem yang berbahaya, mudah mendatangkan kecederaan atau membunuh para pesertanya.

BAGI kebanyakan kita, aktiviti terjunan base adalah sangat ekstrem. Ini kerana terjunan BASE dilakukan pada ketinggian yang sangat rendah berbanding terjunan biasa yang dilakukan dari kapal terbang.

‘Mereka yang berminat dinasihatkan untuk berfikir banyak kali sebelum menceburi sukan ekstrem ini. Kami tidak mencadangkan sukan ini kepada sesiapa pun. Anda bertanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri.’


Itulah amaran laman web basejumper.com kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk menceburi sukan tersebut.

Terjunan BASE merupakan sukan yang menggunakan payung terjun untuk melompat dari ketinggian objek atau tebing tetap. BASE merupakan akronim bagi lokasi peserta untuk melompat atau terjun iaitu bangunan (building), antena (antenna), rentangan seperti jambatan (span) dan tebing bumi (earth).

Untuk menyertai sukan ekstrem itu bukanlah sesuatu yang senang dilakukan. Seseorang perlu terlebih dulu melakukan lebih 150 terjunan dari kapal terbang atau helikopter.

Selain itu, untuk mendapatkan jurulatih yang berpengalaman yang sudi meluangkan masa untuk mengajar juga tidak mudah.

Peserta juga kadangkala perlu memandu jauh, berjaga malam dan menunggu dalam kereta berjam-jam lamanya bagi menuju ke lokasi ideal. Semua itu demi mendapatkan keseronokan melakukan terjunan BASE.

Lokasi Terjunan BASE

Aktiviti itu mula diterima masyarakat tempatan selepas penganjuran program terjunan BASE yang melibatkan 50 peserta dari seluruh dunia di Menara Kuala Lumpur (KL) pada tahun 2001. Kejayaan program itu telah membuka peluang kepada penggemar sukan ekstrem untuk memperkembangkan aktiviti itu di negara ini.

Di Malaysia, lokasi sesuai untuk terjunan base adalah sangat terhad. Yang sesuai hanyalah terjunan dari bangunan tinggi. Malangnya untuk mendapatkan kebenaran membuat terjunan di bangunan berkenaan hampir mustahil kerana polisi dan situasi bangunan di sini tidak membenarkan aktiviti seperti itu dilakukan.


PELAPIK lutut untuk terjunan BASE.


TOPI keledar menjadi kelengkapan wajib.

Cuma, terdapat sedikit peluang untuk membuat terjunan base dari menara-menara tinggi, itupun pada hari keraian tertentu sahaja.

Setakat ini, hanya Menara KL sahaja yang menjadikan terjunan base sebagai acara tahunan anjuran mereka dan itupun kerana menara itu mempelopori sukan terjunan bebas di negara ini. Terjunan bebas sedikit berbeza dengan terjunan base kerana penerjun sempat memusingkan badan, berbanding terjunan base yang mana penerjun tidak sempat berbuat demikian.

Perasaan takut

Meskipun amaran tentang bahayanya agak keras dan nyawa menjadi taruhan, sukan ekstrem tersebut tetap mempunyai kelompok peminatnya.

Baru-baru ini bertempat di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selangor, seramai 27 peserta dari tujuh buah negara iaitu England, Australia, Jerman, New Zealand, Rusia, Amerika Syarikat, Britian dan Malaysia berkumpul di situ bagi melakukan terjunan dari ketinggian 96 meter.

Di bawah tebing lokasi terjunan itu, para peserta kelihatan bergurau senda dan bergelak tawa, namun segalanya berubah 100 peratus apabila mereka mula mendaki bukit untuk menuju ke tebing terjunan.

Di kedudukan itu, mereka menjadi begitu serius, memberi tumpuan sepenuhnya termasuk mengenal pasti keadaan angin sebelum membuat lonjakan nekad melepasi tebing tersebut.


PERASAAN takut menyelubungi para penerjun kerana sedikit kecuaian boleh mengundang maut atau cedera parah. 

Ketika terjun dan payung telah terbuka dengan sempurna, segalanya seakan-akan indah buat mereka sekali gus mencuri tumpuan orang ramai yang menikmati keunikan sukan tersebut.

Peserta mengambil masa kira-kira 10 hingga 12 saat sebelum mendarat di kawasan yang ditetapkan bergantung kepada teknik yang digunakan.

Sejurus selamat mendarat, wajah ceria dan kepuasan terpancar pada wajah masing-masing.

Seorang peserta dari Sydney, Australia, Scott Hiscoe, 27, berkata, melakukan terjunan BASE merupakan aktiviti yang menakutkan tetapi mengujakan.

“Ketika hendak melakukan terjunan, sukar digambarkan perasaan takut tetapi selepas itu semuanya indah.

Hiscoe yang juga seorang jurulatih terjunan bebas terbabit dalam sukan terjunan BASE sejak empat tahun lalu dan kunjungannya ke negara ini merupakan kali kedua sejak kunjungan sulung pada tahun 2010.

Jelasnya, pembabitan dalam sukan ekstrem tersebut tidak dipengaruhi sesiapa tetapi atas inisiatif sendiri.

Kos tinggi

Untuk membabitkan diri dalam sukan ekstrem tersebut, kosnya bukanlah murah terutamanya bagi peminat di negara ini.

Peralatan-peralatan seperti payung terjun dan aksesori lain diimport dari luar negara yang membabitkan kos antara RM10,000 hingga RM15,000.

Jika payung koyak perlu dihantar ke luar negara kerana tukang jahit payung dikehendaki mempunyai lesen tertentu bagi membolehkan mereka memberikan khidmat tersebut.

Peserta negara, Azuan Taharudin, 41, berkata, peserta di Malaysia perlu membayar harga yang agak tinggi kerana semua peralatan tersebut diimport dari negara luar.

“Jika payung koyak, saya bukan sahaja kena membayar kos perkhidmatan menjahit malah kos penghantaran,” katanya yang telah melakukan sebanyak 300 terjunan.

Menurutnya, bilangan mereka yang terbabit di negara ini adalah kira-kira 50 orang, namun mereka yang benar-benar aktif jumlahnya tidak ramai.

Sukan yang berbahaya itu, katanya memerlukan disiplin yang tinggi dan dia sendiri pernah beberapa kali tercedera.

Rentak tiupan angin adalah antara beberapa faktor yang perlu diambil kira ketika hendak melakukan terjunan.

“Bagi saya, payung yang terbuka saat menghadap tebing batu paling berbahaya kerana pelanggaran boleh terjadi sekali gus menyebabkan kecederaan,” katanya yang sangat menyukai aktiviti itu kerana disifatkan boleh mengawal perasaan takut.


BEGINILAH pemandangan dari platform terjunan BASE di Taman Rekreasi Gua Damai. 

Aktiviti terjunan BASE yang melibatkan peserta dari pelbagai negara merupakan salah satu cara menarik kedatangan pelancong ke negara ini.

Bagi peserta Rusia, Vadin Patrov, 25, dia telah pergi ke beberapa buah negara seperti China, Jepun dan beberapa negara lain semata-mata melakukan aktiviti terjunan sama ada di atas jambatan, bangunan dan lain-lain.

Pertama kali berkunjung ke negara ini, Patrov terpesona dengan keunikan Taman Ekstrem Gua Damai.

“Sudah lebih 200 terjunan saya lakukan tetapi di sini merupakan satu-satunya lokasi terjunan yang memerlukan peserta melalui gua. Ia nyata pengalaman yang menyeronokkan.

“Saya menggemari terjunan di tebing berbanding bangunan kerana persekitaran alamnya yang cantik,” katanya yang sempat melakukan dua terjunan pada hari tersebut.

Patrov pernah melakukan terjunan pada aras terendah iaitu 42 meter, namun baginya ketinggian sesuatu terjunan tidak menjadi isu sekiranya seseorang itu mempunyai kemahiran dan berpengalaman.

Ketepatan pendaratan

Seorang peserta wanita dari Perancis, Justine Edde, 22, juga sempat melakukan terjunan di Sabah sebelum datang ke Kuala Lumpur.

Terjunan di lokasi Gua Damai itu lebih kepada aktiviti latihan santai sebelum menyertai acara terjunan BASE tahunan di Menara Kuala Lumpur pada tarikh 27 hingga 30 September 2012 lalu.

Selain itu, dia pernah menyertai dan memenangi beberapa pertandingan terjunan BASE yang diadakan di Istanbul dan Sepanyol.

“Dalam pertandingan terjunan BASE, saya menumpukan perhatian dalam ketepatan melakukan pendaratan,” katanya.

Dalam pada itu, penganjur acara terjunan tersebut, Mustapha Al Bakri Omar memberitahu, Taman Ekstrem Gua Damai telah diwartakan Kementerian Pelancongan Malaysia sebagai lokasi terjunan BASE.

“Kita rasa berbangga kerana tempat ini merupakan satu-satunya lokasi terjunan yang terletak di tengah-tengah bandar raya di dunia dan dibuka 24 jam sehari.

“Justeru, kita menjemput peserta antarabangsa ini bagi menjalankan latihan di tempat ini sebelum melakukan terjunan di Menara Kuala Lumpur,” katanya.



Oleh NASRI JAMALUDIN dan ASMARUDDIN JAMALUDDIN
Sumber: Kosmo [30/09/2012], Kosmo [31/01/2009]

0 comments: