Nuff Atas

24 Oktober 2012

PLUS Perkenal Bengkel Bergerak (WOW)

Syabas PLUS. 
Semoga idea WOW ini dapat dilaksanakan oleh konsensi lebuh raya yang lain demi manfaat pengguna-pengguna lebuh raya.


NOORIZAH menunjukkan peralatan yang disediakan oleh WOW ketika melancarkan perkhidmatan itu di kawasan R&R Seremban.

Konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mewujudkan perkhidmatan bengkel bergerak (‘Workshop on Wheels’ ~ WOW) bagi memberi perkhidmatan lebih efisien dalam membantu pengguna lebuh raya yang menghadapi kerosakan kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, inisiatif itu yang merupakan khidmat sokongan kepada perkhidmatan PLUSRonda sedia ada bertujuan mengelak pengguna lebuh raya daripada menjadi mangsa penipuan trak penunda haram dan bengkel tidak bertanggungjawab yang mengenakan caj melampau.

"Sebelum ini ada pengguna lebuh raya yang mendakwa bahawa mereka diperdaya oleh kumpulan terbabit dengan mengenakan caj bayaran yang tinggi serta melampau ketika mereka mengalami kesulitan di lebuh raya.


"Justeru kita yakin inisiatif WOW ini sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah tersebut sekali gus menjadi langkah proaktif kami untuk melindungi pengguna lebuh raya," katanya selepas melancarkan WOW di kawasan Rehat dan Rawat (R&R ) Seremban.

Sumber: Kosmo

Kerjasama AAM

Katanya, perkhidmatan yang mendapat kerjasama Persatuan Automobil Malaysia (Automobile Association of Malaysia ~ AAM) itu akan memberi perkhidmatan yang lebih efisIen kepada pengguna lebuh raya pada harga atau caj yang lebih berpatutan.

Noorizah berkata, kos penundaan kenderaan keluar dari kawasan lebuh raya adalah percuma dan pengguna hanya dikenakan bayaran sekiranya kenderaan ditunda ke bengkel.

"Jika mereka menunda kenderaan mereka ke mana-mana bengkel panel AAM, mereka juga akan menikmati kos peralatan yang lebih murah dan berkualiti, malah pengguna yang merupakan ahli AAM tidak perlu membayar upah kerja," katanya.

Katanya, buat masa ini perkhidmatan WOW akan meliputi lebuh raya PLUS bagi kawasan Selatan iaitu dari Seremban sehingga ke Johor Baharu, sebelum diperluas ke kawasan lain. Ia akan diperluaskan ke kawasan Sentral dan kawasan Utara selewat-lewat Mac tahun 2013 depan.

Sumber: BHarian


Perasmian perkhidmatan ‘Workshop on Wheels’ di kawasan Rehat dan Rawat Seremban.

Perkhidmatan 24 jam

Sebanyak 10 unit pasukan WOW kendalian AAM menyediakan perkhidmatan 24 jam di sepanjang lebuh raya antara Seremban dan Johor Bahru bagi fasa pertama.

Untuk mendapatkan perkhidmatan itu, pengguna perlu mendail talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000 atau menggunakan telefon kecemasan yang disediakan.

Pasukan PLUSRonda akan ke lokasi untuk memeriksa dan cuba membaiki kerosakan kenderaan. Jika kerosakan tidak dapat diperbaiki, pasukan WOW akan ke situ untuk memberi bantuan.

Noorizah berkata, secara umumnya, perkhidmatan WOW sama seperti PLUSRonda, tetapi memberi pilihan kepada pengguna mendapatkan perkhidmatan lain.

Sumber: BHarian

3 comments:

Puteri Kasih berkata...

elok juga diadakan perkhidmatan sebegini :)

Aishah Jahirah berkata...

perkhidmatan camni bermanfaat utk pengguna,xde la kena tipu dgn pihak xbertanggjwb...

khairul berkata...

idea yg bagus