16 Januari 2013

Caj Letak Kereta Diseragam Mengikut Empat Kategori


RAJA NONG CHIK (dua dari kiri) menunjukkan ruang letak kereta khas untuk wanita di KLCC. 

Kadar caj bayaran letak kereta di bandar raya ini diseragamkan mengikut zon dengan nilai siling yang ditetapkan bermula 15 Januari 2013.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata operator parkir diberi masa tiga bulan untuk mematuhi harga siling berkenaan.

Keputusan itu diambil selepas pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membuat kajian dan mengadakan pertemuan dengan pengusaha tempat letak kereta bagi mencari mekanisme terbaik untuk mengatasi kadar bayaran yang mahal.


Beliau berkata, kadar caj bayaran letak kereta ditetapkan kepada empat kategori iaitu parkir dalam bangunan, kawasan terbuka atau kawasan lapang, milik hotel dan lain-lain kategori.

Katanya, kawasan tempat letak kereta pula dibahagi kepada dua zon iaitu kawasan perancangan pusat bandar dan kawasan perancangan luar pusat bandar.

Caj ikut jam

Kadar siling caj letak kereta mengikut jam yang dibenarkan di kawasan perancangan pusat bandar adalah untuk jam yang pertama antara RM3 ddan RM6 (dalam bangunan), RM3 hingga RM5 (kawasan lapang), RM4 hingga RM8 (hotel) dan RM3 hingga RM6 (lain-lain kategori).

Bagi kawasan perancangan luar pusat bandar; jam pertama ialah RM1 hingga RM4 (dalam bangunan), RM1 hingga RM3 (kawasan lapang), RM3 hingga RM5 (hotel) dan 50 sen hingga RM2 (lain-lain kategori),

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman garis panduan kadar caj tempat letak kereta persendirian bagi Kuala Lumpur serta perasmian tempat letak kereta wanita dan sistem panduan tempat letak kereta KLCC.

Katanya, bagi jam berikutnya, caj dibenarkan RM1 hingga RM2 untuk semua kategori.

Bawah 15 minit percuma

“Penggunaan letak kereta di bawah 15 minit bagi mana-mana kawasan dan kategori adalah percuma.

“Bagi penunggang motosikal, caj dikenakan sekali masuk dengan caj siling antara RM1 hingga RM2 manakala bagi kawasan di luar perancangan pusat bandar tidak melebihi RM1,” katanya.

Nong Chik berkata, bagi kadar rata di kawasan perancangan pusat bandar, caj siling antara RM5 hingga RM10, tertakluk bayaran maksimum RM20 sehari. - BERNAMA

Sumber: BHarianKosmo

1 comments:

MyFreeMinded berkata...

Emmm, duduk di kawasan bandar, parking pun kena masuk dalam budget. :)