16 Januari 2013

Kemewahan Ekosistem Galapagos


IGUANA marin antara haiwan natif yang mudah ditemui di kebanyakan kawasan di pulau ini.

MESKIPUN nama pulau ini tidak sepopular Kepulauan Mauritius atau Maldives dari aspek pelancongan komersial, ia tidak bermakna Galapagos langsung tiada aset atau pertaruhan menarik untuk dimuatkan dalam agenda pelancongan, khususnya di Amerika Selatan.

Terletak kira-kira 1,000 kilometer di sebelah barat benua tersebut, Galapagos merupakan gugusan 19 pulau yang mengandungi gunung berapi. Wilayah ini merupakan salah satu kawasan gunung berapi paling aktif di dunia.

Mendiami Lautan Pasifik lebih 10 juta tahun lalu, secara geografinya, gugusan kepulauan ini berada di bawah pemerintahan Ecuador yang merupakan negara ketiga terkecil di benua itu.


Kepulauan ini terbahagi kepada dua garis iklim iaitu sejuk di bahagian utara yang bertemu dengan titik khatulistiwa di bahagian selatan Pulau Isabela.

Ia mula terkenal selepas Charles Darwin menjalankan penyelidikannya tentang evolusi kehidupan di situ pada tahun 1835.

Mendapat status taman negara pada tahun 1959, hanya tiga peratus daripada keluasan pulau ini boleh didiami manusia. Selebihnya, kawasan tersebut dirizabkan sebagai taman terbuka yang bebas menjadi kediaman pelbagai spesies haiwan.

Bermula dengan 200 orang penduduk ratusan tahun lalu, angka ini bertambah kepada kira-kira 20,000 orang, kebanyakannya nelayan dan pengusaha rumah tumpangan.

Kali pertama melangkah ke Kepulauan Galapagos, pasti anda terpukau melihat pemandangan dramatiknya yang kaya dengan tarikan spesies natif yang unik di kawasan umpama syurga ini.

Dengan pantai yang sedikit terhakis akibat pukulan ombak laut, landskap indahnya didominasi tebing yang curam, serakan batu hitam akibat aliran lahar dan karangan laut di sebahagian besar pesisir pantainya.

Keindahan Galapagos tidak hanya terletak pada kebiruan air lautnya ataupun kepelbagaian warna pasir pantainya, sebaliknya, ia memiliki kekayaan flora dan fauna yang sangat luar biasa.

Daripada iguana marin, singa laut, penguin dan puluhan spesies unggas, ia cukup untuk menjadikan Galapagos diiktiraf sebagai satu-satunya muzium hidup yang mempamerkan evolusi kehidupan.

Tidak hairanlah, gugusan kepulauan ini diiktiraf sebagai Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1978.

Zon gersang

Menurut seorang naturalis kapal persiaran MV Galapagos, Henry Alexander, 40-an, di pulau tersebut, pengunjung boleh melihat tumbuhan pelbagai warna yang tumbuh di sepanjang pesisir pantai, lagun air masin yang rendah yang bercantum dengan kawasan paya bakau dan zon lembap muncul di kawasan yang gersang.

"Bukan itu sahaja, pengunjung boleh melihat kepelbagaian warna yang terhasil daripada tumbuhan menjalar. Selain itu, terdapat juga beberapa lagun air masin yang sentiasa menjadi lokasi persinggahan dan penghijrahan pelbagai spesies burung dari seluruh dunia.

"Di bahagian puncak pulau yang lebih besar pula, kawasannya yang lebih lembap secara tidak langsung merangsang pertumbuhan puluhan jenis paku pakis dan rumput bermacam-macam warna.

"Lingkungan ekosistemnya yang berbiodiversiti dijaga rapi oleh Taman Negara Galapagos hinggakan tiada seorang pun manusia dibenarkan mendiami pulau-pulau tersebut, kecuali di dua pulau besar yang menjadi pusat pentadbiran dan komersial," ujarnya yang merupakan anak jati Galapagos.

Peraturan yang ditetapkan oleh Taman Negara Galapagos memang cukup ketat. Selain perlu mendaftar dengan pihak berwajib, pengunjung pulau tersebut perlu mempunyai pas khas selain membeli polisi insurans sebelum memasuki perairan Galapagos.

Lebih 180,000 pengunjung mengunjungi Galapagos setiap tahun untuk menikmati keunikan dan keindahannya selain mendekati haiwan-haiwan di situ.

Sepanjang lima hari belayar dengan MV Galapagos, penulis sempat berkunjung ke beberapa buah pulau yang mempunyai tarikan berbeza, antaranya Santa Cruz, Florena, Baltra, Cristobal, Santa Fe dan Espanola.

Singa laut


KEPULAUAN Galapagos yang terletak kira-kira 1,000 kilometer dari Quito merupakan penyumbang terbesar sektor pelancongan bagi Ecuador.

Di kapal yang boleh menampung 100 penumpang dengan 70 anak kapal itu, agak mustahil untuk melawat kawasan pantai secara solo.

Mengikut sistem sedia ada, kami dibahagikan kepada enam kumpulan, mengikut nama beburung. Melalui pembesar suara, kumpulan yang terdiri daripada 10 pengunjung bersama seorang naturalis dipanggil untuk melawat pulau-pulau di situ dengan menaiki bot getah atau dinghy.

Selain menghirup udara segar dan melihat habitat asal haiwan yang tidak terusik, kami juga berpeluang mendekati spesies burung seperti albatros, burung berkaki biru, frigat, iguana marin dan darat, penyu, penguin, singa laut dan ikan pari manta.

"Di Galapagos, walaupun cuacanya panas, air lautnya sentiasa sejuk. Kerana itu, anda boleh melihat penguin dan singa laut bersantai di pesisir pantai," kata Henry.

Demi menjamin kebersihan alam semula jadinya, pengunjung dilarang membawa makanan ke setiap pulau yang dikunjungi.

Selain itu, kami diingatkan supaya tidak memberi makan kepada haiwan serta memetik atau membawa pulang tumbuh-tumbuhan dan batu.

Kami juga sentiasa beritahu supaya tidak terlalu hampir dengan haiwan sebaliknya perlu berada sekurang-kurang dua meter daripadanya.

"Kesemua haiwan di sini tidak pernah menerima ancaman pemangsa semula jadi, kerana itu burung, iguana, singa laut dan penguin di sini semuanya jinak dan tidak takut dengan manusia.

"Begitupun, kita sebagai tetamu perlu menghormati keselesaan haiwan-haiwan ini dan jangan sekali-kali mengganggunya. Ditakuti ada yang akan bertindak balas secara agresif, terutamanya singa laut jantan yang menjadi ketua kepada koloninya di sini," jelas Henry.

Selain itu, Galapagos juga terkenal sebagai habitat kepada spesies kura-kura gergasi yang diiktiraf sebagai yang terbesar di dunia.

Dianggarkan lebih 20,000 kura-kura gergasi daripada 13 subspesies masih mendiami pulau ini. Jun tahun lalu, Lonesome George - seekor kura-kura gergasi Galapagos ditemui mati di Puerto Ayora, Pulau Santa Cruz.

Lonesome yang berstatus duta Kepulauan Galapagos itu merupakan kura-kura terakhir daripada subspesies Geochelonenigra abingdoni.

Sumber: Kosmo

Tikus ancam Galapagos


HELIKOPTER digunakan untuk menyebarkan palet racun tikus di pulau yang tidak didiami oleh manusia.

TIKUS merupakan bukan hidupan asli di rangkaian Kepulauan Pasifik. Kini, ia hampir melenyapkan populasi kura-kura dan ancamannya semakin menuju kepupusan menyeluruh.

"Haiwan itu memusnahkan telur-telur dan membunuh spesies tersebut yang masih muda. Ia mengganggu keseimbangan ekosistem semula jadi yang lemah seperti di Galapagos," kata pengarah Taman Alam Semula Jadi Galapagos, Edwin Naula.

Racun tikus telahpun dilepaskan menggunakan helikopter di Pulau Pinzon yang tidak dihuni sebagai eksperimen bagi membuka jalan membasmi masalah kebanjiran makhluk perosak itu.

Setakat ini, kesemua kura-kura di taman alam itu menetas melalui kaedah eraman, kemudian ia dibesarkan dalam kurungan sebelum dilepas ke hidupan liar ketika berumur empat atau lima tahun.


RACUN tikus dicampur dengan makanan dan bahan antigumpalan dalam usaha menghapuskan populasi tikus yang semakin meningkat.

"Kami masih belum bernasib baik dalam usaha membiakkan spesies asal itu dalam habitat liar kerana kehadiran tikus tetapi berharap ia akan berubah sebaik semua tikus tersebut dihapuskan," kata penyelia program konservasi, Christian Sevilla.

Galapagos yang terletak 1,000 kilometer dari pesisir pantai Ecuador merupakan kepulauan yang merangkumi 13 buah pulau dan lebih 100 batu-batuan serta pulau-pulau mikro.

Ia menjadi terkenal apabila pakar evolusi, Charles Darwin melawat kawasan tersebut pada tahun 1835 bagi menjalankan kajian penandaan kawasan. Kajian tersebut telah menjadi faktor tercetus teori-teori evolusi yang sangat radikal.

Kepulauan itu tidak dihuni apabila orang Eropah mula-mula melawat tempat tersebut pada abad ke-16 tetapi kini populasinya sudah mencapai kira-kira 25,000 orang.

Pakar-pakar menganggarkan terdapat lebih 300,000 ekor kura-kura raksasa tetapi populasi menyusut ketika abad ke-18 dan ke-19 selepas haiwan itu diburu oleh pemburu paus serta lanun sebagai bekalan makanan segar.

Tanpa disedari, penceroboh-penceroboh itu secara tidak sengaja turut membawa makhluk perosak yang lain seperti tikus ke kepulauan itu.

Kaya spesies

Pada hari ini, antara 30,000 hingga 40,000 penyu dan kura-kura masih hidup di Galapagos. Kawasan semula jadi itu diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1978 kerana keunikan tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar.

Bagaimanapun, UNESCO telah mengisytihar persekitaran rangkaian kepulauan itu terancam pada tahun 2007 kerana kenaikan dalam bidang pelancongan dan kemasukan spesies invasif.

Renjer penjaga Galapagos telah melakukan banyak usaha untuk menghapuskan tikus-tikus di seluruh rangkaian pulau itu yang menjadi rumah bagi sekurang-kurang 1,500 spesies flora dan 500 jenis fauna.


PEMANDANGAN kepulauan Galapagos dari udara.

Para pakar menganggarkan terdapat antara lapan hingga 12 ekor tikus untuk setiap hektar di kawasan-kawasan serangan.

Selain memberi ancaman pada kura-kura, tikus juga turut menyerang iguana dan cicak. Para penyelidik amat gusar terhadap kemungkinan yang berpunca daripada makhluk perosak itu.

Terdapat juga kebarangkalian bahawa tikus-tikus itu telahpun menghapuskan beberapa spesies yang masih belum ditemui dan direkodkan.

Sebagai langkah memulihara ekosistem Galapagos, organisasi dan kumpulan Konservasi Pulau Amerika Syarikat telah membantu menyebarkan bertan-tan gentelan racun tikus di Pinzon.

Terdapat beberapa kelemahan dalam pendekatan itu termasuk mengelakkan umpan tersebut dimakan oleh penduduk peribumi atau spesies-spesies lain.

Dalam usaha menangani perkara itu, strategi menggunakan burung pemangsa pernah dicuba. Lebih kurang 60 helang dipelihara dalam sangkar di kawasan cerun Pulau Pinzon.

Namun begitu, ahli-ahli alamiah di situ berkata, sekurang-kurangnya seekor burung pungguk ditemui mati selepas memakan seekor tikus yang tercemar dengan racun.

"Itu adalah harga yang perlu dibayar untuk sebuah rancangan bagi membolehkan sistem semula jadi dibaik pulih," kata salah seorang pegawai yang terlibat dalam pengurusan seharian Galapagos, Danny Rueda.

Beberapa jenis burung dan haiwan dilindungi sepanjang usaha membasmi tikus-tikus, ia akan dilepaskan dalam tempoh lebih kurang lima hari, waktu yang cukup untuk racun itu melalui proses biodegradasi.

Jika skim penghapusan itu berjaya di Pinzon, ia akan dipanjangkan ke pulau-pulau lain di rangkaian Galapagos termasuk kawasan yang tidak berpenghuni. - AFP

Sumber: Kosmo

0 comments: