17 Januari 2013

MRT Dan Keupayaan Herrenknecht

MRT
"My Rapid Transit" (MRT)

Satu daripada cabaran utama yang sering dihadapi oleh bandaraya moden zaman sekarang ialah bagaimana menangani masalah kesesakan lalulintas berikutan bertambahnya penduduk dan bertambahnya pengguna kenderaan peribadi di jalan raya.

Di ibu negara Kuala Lumpur, pihak berkuasa telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani persoalan ini termasuk pembinaan jejambat, jalan lingkaran luar dan lingkaran tengah selain usaha memperbaiki sistem pengangkutan awam.

Langkah-langkah ini diambil kerana permasalahan kesesakan lalulintas didapati berpunca daripada ramainya penghuni kota yang bekerja di kawasan pusat perniagaan yang padat dengan bangunan, yang kebanyakannya mempunyai jalan-jalan sempit.


Kesesakan lalulintas juga berpunca daripada kurangnya kemudahan ruang letak kereta berbanding jumlah kenderaan, orang ramai kurang menggunakan pengangkutan awam - sama ada kerana mereka tidak selesa dengan kemudahan itu atau mereka tidak begitu percaya dengan kemudahan itu disebabkan perkhidmatan yang tidak begitu cekap - selain bertambah ramainya penghuni kota yang menggunakan kenderaan peribadi.

Bagi menarik minat orang ramai beralih menggunakan pengangkutan awam, pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak berkuasa di peringkat kerajaan pusat dan kerajaan tempatan melalui sokongan dan peranan syarikat swasta dengan memperkenalkan perkhidmatan yang lebih selesa seperti teksi, bas Rapid KL, sistem transit laju ringan (LRT), monorel dan kereta api elektrik Komuter antara bandar.

KEPADATAN PENDUDUK

Berdasarkan jangkaan masa depan bahawa penduduk di Lembah Klang akan bertambah menjadi 10 juta orang menjelang tahun 2020 berbanding enam juta orang pada masa ini, pihak kerajaan telah membuat keputusan untuk membangunkan kemudahan sistem pengangkutan awam Transit Laju Massa (MRT) sebagai penyelesaian kepada masalah lalulintas.

Sememangnya penduduk Lembah Klang terutama ibu kota Kuala Lumpur memerlukan satu rangkaian pengangkutan yang cekap dan bersepadu untuk menangani masalah kesesakan lalulintas kerana masalah itu kini sudah mencapai tahap kritikal terutama pada waktu puncak.

Sistem transit menawarkan pengangkutan awam yang beroperasi menggunakan rel dan berkeupayaan mengangkut lebih 40,000 orang sejam sehala dan mempunyai kekerapan perkhidmatan yang tinggi.

Manakala MRT pula menawarkan perkhidmatan bersepadu yang menggabungkan perkhidmatan rel dalam terowong bawah tanah, di permukaan bumi separas jalan raya dan di laluan trek struktur bertingkat di atas tiang-tiang tinggi, yang menyediakan laluan-laluan yang membelah pelbagai destinasi dalam kota dan banyak tempat di antara bandar-bandar.

Dalam hubungan ini, tidak dapat dinafikan bahawa langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia adalah satu keputusan yang tepat kerana kotaraya besar di dunia yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, sememangnya menggunakan sistem MRT bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas.

Malah sebahagian daripada kotaraya besar dunia sudahpun memperkenalkan sistem ini sejak sekian lama, antaranya perkhidmatan transit laju "London Underground" yang popular dengan nama "Tube" di kota raya London, yang turut menyambungkan rangkaian rel dengan stesen kereta api bawah tanah tertua yang telah dibangunkan pada tahun 1863.

Di pelbagai kota raya besar lain, perkhidmatan serupa dikenali dengan pelbagai nama lain dan antara nama yang popular ialah "subway" seperti di New York dan "Metro" di Moscow (Rusia), Tokyo (Jepun) dan Shanghai (China).

Metro Tokyo, yang mula beroperasi pada tahun 1927, misalnya pernah dilaporkan sebagai perkhidmatan MRT yang paling sibuk di dunia kerana berupaya mengangkut 3.6 bilion penumpang setahun dengan purata 8.7 juta penumpang sehari.

Di Lembah Klang, faktor kepadatan penduduk dan pembangunan pesat telah mendesak kerajaan untuk memikirkan satu sistem rangkaian pengangkutan awam bersepadu yang serupa, yang kelak akan menjadi tulang belakang kepada rangkaian pengangkutan awam bersepadu di koridor tenggara dan barat laut.

Sistem pengangkutan awam bersepadu ini yang akan dikenali sebagai "My Rapid Transit" juga dijangka menjadi satu kemudahan yang penting untuk menggerakkan ekonomi di ibu negara Malaysia, kata Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corporation, Amir Mahmood Razak.

PERLU MRT

Menurut Amir, My Rapid Transit (MRT) adalah projek infrastruktur awam terbesar yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi.

MRT adalah strategi penting untuk memastikan sistem pengangkutan awam yang cekap dan selesa di sesebuah bandar kerana melalui sistem ini, kadar penggunaan pengangkutan awam akan meningkat dan penyambungan perhubungan dalam Lembah Klang akan bertambah kukuh.

Menurut beliau, jajaran MRT boleh berada di atas tanah, bawah tanah ataupun atas struktur bertingkat. Biasanya jajaran MRT berada di bawah tanah di kawasan pusat bandaraya dan di atas tanah ataupun di atas struktur bertingkat di luar pusat bandaraya.

Dalam usaha MRT untuk mencapai objektifnya, ia perlu menyediakan jaringan kepada kawasan-kawasan yang sibuk dan pesat membangun di Lembah Klang, kata Amir.

Selain membantu meningkatkan nilai hartanah dan mewujudkan kira-kira 1.2 juta kaki persegi pembangunan komersial dan kediaman, ia juga dijangka mewujudkan lebih 130,000 pekerjaan semasa pembinaannya.

Ia juga dijangka akan menghasilkan RM3 billion hingga RM4 billion setahun dari segi sumbangan kepada pendapatan negara kasar langsung daripada pembinaan dan operasi serta RM8 billion hingga RM12 billion lagi dijana daripada kesan limpahan.

LALUAN MRT PERTAMA

Jajaran MRT pertama iaitu jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Julai 2011.

MRT Sungai Buloh-Kajang, yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2017, bakal menjadi pengangkutan terkemuka di rantau ini kerana ia disiapkan untuk kegunaan 1.2 juta pengguna dan dianggarkan dapat mengangkut lebih 400,000 penumpang sehari menjelang tahun 2020.

Jajaran MRT lain akan dibina pada tahun-tahun mendatang setelah dikenalpasti menerusi Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Kawasan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, yang dirangka oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Secara keseluruhan projek MRT melibatkan sistem MRT sejauh 150km dengan tiga jajaran yang menggabungkan pelbagai destinasi dalam kota raya Kuala Lumpur.

Projek MRT pertama mempunyai skim jajaran laluan sejauh 51 km dengan 9.5 km daripadanya membabitkan pembangunan terowong laluan bawah tanah (dijadual siap dalam tempoh dua tahun) dan melalui 31 stesen.

Daripada 31 stesen itu, tujuh stesen terletak di bawah tanah iaitu KL Sentral, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang Sentral, Pasar Rakyat, Cochrane dan Maluri.

Jajaran itu akan melalui pusat bandar dan menghubungkannya dengan kawasan yang berpendudukan padat di pinggir kota sepanjang Sungai Buloh ke Kajang dengan jumlah penduduknya 1.2 juta orang.

KEMUDAHAN DI STESEN

Dengan pelbagai kemudahan yang akan disiapkan di semua stesen MRT seperti laluan pejalan kaki berbumbung, lif , eskalator, surau, kedai, telefon awam dan tempat letak kereta, serta pengendalian perkhidmatan yang cekap melalui kemudahan armada kereta api yang secukupnya dan jadual waktu yang tepat serta beberapa kemudahan lain yang lebih mesra penumpang, tidak ada sebab kepada orang ramai untuk menolak perkhidmatan MRT ini nanti.

Antara lainnya MRT akan menawarkan Kemudahan Akses Universal, yang bukan sahaja untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU), malah kepada warga emas, wanita mengandung, ibu bapa bersama anak yang menggunakan kereta sorong dan mereka yang membawa bagasi.

Kemudahan untuk OKU termasuklah pintu tiket yang cukup luas untuk dilalui oleh kerusi roda, lif dari aras bawah sehingga ke ruang legar dan platform, tanda 'Braille' pada butang kawalan lif dan akses bebas langkah ketika menurunkan penumpang.

Kemudahan paling penting yang akan dinikmati penumpang ialah penambahan bilangan stesen pertukaran bagi membolehkan penumpang bertukar dari satu perkhidmatan rel ke perkhidmatan rel yang lain dengan lebih mudah.

Kemudahan ini melibatkan jaringan rel bersepadu Lembah Klang yang terdiri daripada LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang, KTM Komuter, Monorel, KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata kajian kemungkinan sedang dilakukan bagi mengetahui sama ada penyambungan sistem MRT ke Johor Baharu dan Pulau Pinang, adalah berdaya maju atau tidak.

Inisiatif itu, katanya adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang SPAD bagi memastikan sistem MRT dan rangkaian pengangkutan yang lebih meluas boleh digunakan oleh setiap lapisan masyarakat.

TEROWONG DIPERLUKAN

Sebagaimana di kotaraya besar lain di dunia, pembinaan terowong tidak dapat dielakkan bagi membina jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang, kerana ia membabitkan jajaran yang melalui kawasan di tengah-tengah kota Kuala Lumpur yang padat dengan bangunan.

Pembinaan terowong malah merupakan pilihan yang terbaik kerana projek itu tidak menghalang pembangunan pengangkutan di permukaan dan tidak menghadkan penggunaan tanah.

Bagaimanapun, laluan jajaran kerja-kerja pembinaan terowong akan melalui formasi geologi berbeza iaitu batu kapur karstik dan Bukit Kenny.

Mesin Penggerek Terowong (TBM), yang dihasilkan oleh sebuah syarikat terkemuka dari Jerman, Herrenknecht AG, akan digunakan untuk menggerek tanah serta batu-batu, bagi menyediakan terowong untuk jajaran MRT Lembang Klang ini.

Untuk memastikan kerja-kerja pembinaan terowong itu berjalan dengan baik, urusan ini dipertanggungjawabkan pengendaliannya kepada jurutera terlatih dari MRT Corp dan kontraktor kerja bawah tanah MMC-GAMUDA Joint Venture Sdn Bhd.

Terowong MRT: Keupayaan Herrenknecht AG Tidak Diragui

Schwanau hanyalah sebuah kota kecil di daerah Ortenaukreis, Baden-Wurttemberg, Selatan Jerman dengan berkeluasan 38.34 km persegi dan dihuni kira-kira 6,800 penduduk sahaja.

Namun, seperti kata pepatah Melayu "kecil-kecil cili padi", Schwanau bukanlah calang-calang kota kecil kerana di sini ada sebuah syarikat gergasi dunia yang tersohor sebagai pengeluar mesin berteknologi tinggi untuk kerja-kerja bawah tanah.

Diasaskan pada 1977, sebelum dikenali sebagai Herrenknecht AG pada 1998 dan beribu pejabat di Allmannsweier, ia sememangnya terkenal sebagai pemimpin teknologi dan pemasaran dalam sistem penjenteraan terowong.

Setakat ini Herrenknecht AG membekalkan Mesin Penggerek Terowong (Tunnel Boring Machine - TBM) dalam pelbagai saiz diameter dari 0.10 hingga 19 meter dan menyiapkan terowong sejauh lebih 1,900 km.

Malahan pada 2005, Herrenknecht AG menyandang rekod dunia apabila menghasilkan mesin penggerek tanah terbesar dengan saiz diameter 19 meter (62 kaki). Syarikat ini juga bertanggungjawab dalam pembinaan terowong SMART, di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Baru-baru ini mesin TBM, yang pertama, bagi projek My Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang telah siap untuk dihantar ke Malaysia dari Schwanau bagi memulakan kerja-kerja menggerek terowong projek MRT yang dijangka bermula kira-kira lima bulan lagi iaitu pada Mei 2013.

Pengiriman mesin TBM ini untuk perjalanan ribuan kilometer ke Malaysia adalah susulan telah lulusnya Ujian Penerimaan Kilang (FAT), yang dikendalikan oleh jurutera dari MRT Corp dan kontraktor kerja bawah tanah MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd serta pengeluar TBM, Herrenknecht AG, di Schwanau baru-baru ini.

KEPENTINGAN TBM UNTUK PROJEK MRT

Menurut Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corporation, Amir Mahmood Razak, landasan MRT pertama, yang mempunyai 31 stesen termasuk tujuh stesen bawah tanah memerlukan kerja-kerja menggerek terowong melalui batu kapur karstik dan pembentukan Bukit Kenny.

Fakta yang ditemui melalui siasatan geoteknikal mendapati bahawa sebahagian besar lapisan bawah tanah kawasan timur Kuala Lumpur terdiri daripada batu kapur karstik (batu-batan berongga, gua dan permukaan berbatu) manakala bahagian lain ialah Bukit Kenny (granit, batu pasir luluhawa dan batu lumpur).

Berdasarkan struktur tanah dan batu-batan itu, penggunaan mesin penggerek yang sesuai adalah penting untuk memastikan hasil kerja yang baik.

Justeru terowong-terowong MRT akan dibina menggunakan dua jenis TBM, iaitu enam buah Variable Density (VD) TBM yang moden dan dua Earth Pressure Balance (EPB) TBM, bagi memastikan keselamatan pekerja dan pembinaannya menjadi lebih selamat.

VD TBM menggunakan teknologi yang diperbaiki bagi mengatasi cabaran keadaan tanah batu kapur karstik, manakala EPB TBM diguna di kawasan geologi Kenny Hill, jelas Amir.

TIBA DI MALAYSIA MAC

TBM, yang pertama daripada 10 buah kesemuanya, akan digunakan untuk pembinaan landasan MRT Sungai Buloh-Kajang.

Ia bersaiz diameter 6,620mm, panjang 135m, seberat 1,100t dan kuasa pemotong muka 1,280kW.

MRT Corp dan MMC-Gamuda membuat tempahan bagi TBM berkenaan pada Mac 2012, yang mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan sehingga lulus FAT.

Mesin penggerek ini akan dilerai dan dihantar dengan kapal ke Malaysia selepas kelulusan FAT dan dijangka tiba pada awal Mac depan (Mac 2013), kata Amir.

Mesin TBM yang pertama ini dan sebuah lagi, yang masih dalam pembinaan, akan ditempatkan untuk kerja-kerja menggerek terowong dari kawasan Cochrane, Kampung Pandan hingga ke Pasar Rakyat di Kuala Lumpur.

Sepuluh mesin TBM, bernilai kira-kira RM450 juta akan digunakan untuk kerja-kerja penggerekan terowong sepanjang 9.5 km dari stesen Semantan ke Maluri, melintasi tujuh stesen bawah tanah (KL Sentral, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang Sentral, Pasar Rakyat, Cochrane, Maluri).

Lapan daripada TBM itu akan dihasilkan oleh Herrenknecht AG manakala dua lagi oleh China Railway Tunnel Engineering Ltd.

Kira-kira dua pertiga daripada 3,300 orang bekerja di ibu pejabat Herrenknecht AG dan 300 lagi di tiga lokasi berlainan di China.

APA DIA MESIN PENGGEREK TEROWONG

Mesin Penggerek Terowong (TBM) adalah mesin canggih yang boleh digunakan untuk menggerek lubang tidak kira struktur tanah atau batu, jelas pengurus projek bagi MMC Gamuda Joint Venture Sdn Bhd (MGJV), Gusztav Klados kepada wartawan Malaysia yang melawat kilang di Schwanau baru-baru ini.

"Ia berbentuk silinder yang ditempatkan mendatar dan mempunyai kepala penggerek yang berpusing di hadapan. Kepala penggerek memotong dan mengeluarkan sisa tanah atau batu semasa ia berputar dan serentak dengan itu TBM bergerak ke hadapan.

"TBM juga mempunyai satu sistem yang memasang dinding konkrit bagi terowong sejurus selepas TBM melaksanakan kerja-kerja menggerek," katanya.

Ini terdiri daripada satu anggota mekanikal yang mengangkat dan memasang dinding konkrit pasang siap untuk membentuk satu bulatan konkrit di bahagian terowong yang digerek. Ini mengekalkan kekuatan struktur terowong dan mencegahnya daripada runtuh.

TBM juga mempunyai satu set bicu hidraulik yang menekan dinding konkrit terowong dengan perlahan-lahan untuk menolak TBM ke hadapan.

Satu lagi komponen penting TBM adalah sistem yang mengeluarkan sisa tanah dan batu yang digerek oleh TBM. Bergantung kepada jenis mesin yang digunakan, bahan-bahan yang digerek boleh dibawa keluar dari bahagian belakang mesin melalui tali sawat penyampai atau dimuat ke dalam gerabak yang kemudian dibawa keluar, atau dicampur dalam tanah liat cecair yang dikenali sebagai bentonite dan dipam keluar, katanya.

TEKNOLOGI PENGGEREK YANG SELAMAT DAN CEPAT

Gusztav menjelaskan bahawa dengan menggunakan perisai EPB, tanah dikorek oleh mata pemotong di kepala pengorek yang berputar di muka terowong dan tanah akan masuk ke dalam ruang pelupusan melalui liang-liang di kepala pengorek.

Di situ, ia bercampur dengan sisa tanah yang lain.

Tekanan daripada silinder tujahan dipindahkan melalui dinding tekanan ke permukaan tanah untuk menyokong muka terowong dan kawal kemasukan material ke dalam ruang mengorek.

Sisa tanah dan batu dikeluarkan oleh tali sawat penyampai berbentuk skru daripada ruang mengorek. Bersama bantuan sebuah penegak, segmen dinding terowong dibina di belakang perisai. Kesemua aktiviti dipantau daripada kabin pengawal.

Perisai EPB, yang diperbuat oleh Herrenknecht AG berfungsi dengan cekap di tanah lembut. Tanah melekit dan tidak melekit bersama kandungan tinggi tanah liat atau kandungan kelodak serta ketertelapan air yang rendah menawarkan situasi ideal bagi penggerekan terowong EPB.

Gusztav menjelaskan bahawa, tanah yang digerek oleh kepala penggerek diguna untuk menyokong muka terowong. Buih yang disuntik di hadapan kepala penggerek menukar tanah ke bentuk pes, menjamin kawalan lengkap terhadap tekanan sokongan selain pengeluaran cekap tanah dan batu yang digerek.

ADAKAH ALTERNATIF BAGI TBM?

Satu lagi cara untuk membuat terowong bagi MRT tanpa perlu menggunakan TBM adalah dengan mengorek daripada permukaan tanah, kata Amir.

Kaedah ini lazimnya dikenali sebagai "potong dan tutup" kerana ia sebenarnya membabitkan kerja memotong dan mengorek tanah atau batu daripada permukaan, dan kemudian menutup permukaan atas untuk membentuk terowong apabila ketinggian tertentu dicapai.

Ini jelas bukan kaedah yang sesuai dalam membina terowong MRT, ataupun apa-apa jenis terowong lain, merentasi bandar raya sibuk seperti Kuala Lumpur memandangkan kaedah "potong dan tutup" ini banyak menjejaskan aktiviti di permukaan.

Kaedah ini jika dilaksanakan bermakna banyak jalan raya perlu ditutup dan bangunan-bangunan dirobohkan dalam laluan terowong itu.

FAT

"FAT adalah pencapaian penting dalam projek MRT kerana ia menandakan lengkapnya proses pengeluaran TBM. MRT Corp dan MMC-Gamuda telah memeriksa TBM untuk memastikan yang ia mematuhi spesifikasi yang ditetapkan selain berfungsi dengan baik. TBM kini sudah bersiap sedia untuk beraksi di Malaysia", kata Amir.

Semasa FAT, para jurutera meneliti satu senarai semak 450 perkara yang disenaraikan dalam 43 mukasurat. Penelitian ini termasuk pemeriksaan visual mudah permukaan luar TBM sehinggalah memastikan setiap satu injap TBM berfungsi dengan baik.

Menurut Amir, satu daripada ciri unik adalah hakikat yang TBM pertama, dengan nama kod S-774 bagi projek MRT juga adalah 'TBM Kepadatan Boleh Ubah' yang pertama dikilangkan di dunia. Rekabentuk TBM ini adalah hasil usahasama antara MMC-Gamuda dan Herrenknecht AG serta diperbuat khusus untuk menggerek menerusi lapisan batu kapur bawah tanah di bahagian timur Kuala Lumpur.

"Rekabentuk TBM Kepadatan Boleh Ubah adalah hasil gandingan kebijaksanaan Malaysia dan Jerman. Ini sesuatu yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia," kata Amir.

NASIB MESIN PENGGEREK TEROWONG

Amir berkata pemilik TBM mempunyai beberapa pilihan selepas kerja-kerja menggerek siap. Satu daripadanya adalah untuk menamatkan khidmat TBM dan menguraikan komponen-komponennya. Komponen-komponen yang boleh diguna semula akan disimpan.

Pilihan kedua adalah secara menutup dan membiarkannya dalam tanah.

Ketiga, mengurai komponan-komponen TBM dan dipasang semula untuk tatapan umum.

Pilihan keempat adalah untuk mengurai komponen-komponen TBM, pindahkannya ke kilang untuk diperbaharui bersama komponen-komponen ganti yang perlu, dan menyampaikannya untuk kegunaan projek lain yang memerlukan TBM lebih kurang sama, selepas diuji, katanya.

Oleh Cik Rashidah Abd Ghani
Sumber: BERNAMA [28/12/2012], BERNAMA [27/12/2012]

0 comments: